Siapakah Dia Di Belakang Kamera?
MAAFCAKAP 11.7.2023
Media sosial pada hari ini telah membuka ruang yang luas kepada para netizen untuk memperkenal dan melariskan perniagaan. Ia juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengekspresi diri. Dalam konteks ini, media sosial juga berperanan sebagai satu bentuk terapi selagi seseorang itu ingat tujuan dia menggunakan media sosial.
Oleh kerana sudah biasa menggunakan medium itu sebagai tempat untuk mencurah perasaan, terdapat di kalangan netizen yang semakin mahir berlakon untuk menghidupkan posting masing-masing.
Kerana itu, tidak hairan jika terdapat posting seorang kenalan yang melakar sebait puisi sedih di sebuah poster yang memaparkan dirinya duduk merenung memandang laut senja. Kepandaiannya berlakon akan seterusnya memperlihatkan dirinya bersimpuh di tebing sungai, meniti di atas permatang sawah atau terbaring di padang lalang bersama bait-bait puisi sedih pada posting-posting berikutnya.
Posting-posting sebegini mudah sekali memanipulasi minda kawan-kawan yang menatapnya. Masing-masing boleh berasa sedih kerana cakna dengan apa yang dilalui oleh ‘si pelakon’ itu sedangkan orang berkenaan meminta kawan atau adiknya untuk memetik kamera hingga berkali-kali bagi merakam momen dan mood yang sesuai.
Si empunya akaun sendiri, membuat posting untuk suka-suka. Dia tidak berniat pun untuk mengenakan orang lain. Sebaliknya kitalah yang tidak kena apabila tercurah simpati yang melampau kerana percaya dengan apa yang dipaparkan akibat persepsi sendiri. Dia berkarya semata-mata, kita pula menatap hingga berjurai air mata.
Ramai di kalangan kawan-kawan kita yang pandai membuat pengeditan foto. Dengan kemahiran dan aplikasi komputer yang semakin canggih, seseorang itu boleh menjadikan gambarnya berdiri di depan pokok kelapa, menghasilkan fotonya berdiri penuh gaya berlatarbelakangkan Menara Eiffel! Perisian Artificial Intelligence terkini pula boleh menghasilkan imej yang tidak terjangkau fikiran. Tiba-tiba kawan kita boleh menjadi adiwira dengan kostum besi berkilau!
Pada hari ini, kita lebih kerap menatap skrin daripada menatap alam. Imej di skrin penuh dengan kemungkinan kepalsuan berbanding dengan paparan realiti alam yang asli. Namun, tanpa sedar, kita membiarkan diri kita terpesona dengan ‘dunia tipu-tipu’ ini. Kita tahu tetapi kerap terlupa. Kita maklum, namun selalu terjerlus dengan magis yang terpapar di skrin.
Dari sudut yang lebih serius, kita perlu berhati-hati apabila menatap sesuatu yang begitu mempersona. Baru-baru ini timbul berita bagaimana beberapa orang usahawan berkongsi menyewa jet sebagai prop penggambaran.
Maka terpaparlah foto usahawan melangkah menaiki jet, berposing dengan beg penuh berisi duit dan berbincang sakan dengan rakan niaga untuk memateri perjanjian bisnes di dalam pesawat. Seseorang netizen yang peka telah membuat penyelidikan dari foto-foto yang terhasil. Maka terbongkarlah lakonan sebenar. Jet yang digunakan itu adalah jet yang disewa. Ia tidak terbang di udara, sebaliknya hanya diheret dari hangar atau bangsal simpanan untuk tujuan fotografi.
Tetapi sudah berpuluh foto diguna dan dikongsi oleh usahawan-usahawan ini untuk aksi penggambaran semata-mata. Ia adalah penarik untuk merekrut ahli baharu. Bisnes, entah untung entah tidak, entah betul entah tidak. Namun, netizen yang tidak sedar, ada orang di sebalik kamera yang merakam. Ini menunjukkan bahawa ia hanyalah lakonan.
Banyak imej yang terpapar di media sosial dipetik dengan cara swafoto. Tetapi, foto-foto yang diambil dengan pelbagai pose biasanya menggunakan khidmat jurufoto profesional atau amatur. Untuk apa pun tujuan, sesiapa sahaja yang berdepan dengan kamera akan mempamerkan sisi wajah yang paling baik.
Kerana selalu bergambar, kita yang biasa-biasa inipun sudah pandai berposing. Kalau dipinta membuat posing freestyle, kita mudah aje melenggokan badan lalu tersengih dari pipi ke pipi walaupun hati sakit orang tak tahu.
Kerana itu, selagi ia adalah foto mahupun video janganlah mudah terpesona apatah lagi percaya membabi buta. Imej sedih, gembira mahupun sakit yang dipaparkan itu diambil oleh seseorang di sebalik kamera. Apabila kamera terlibat, kebarangkalian ia adalah tulin dan benar boleh dipersoalkan.
Oleh kerana itu, cara terbaik untuk mengetahui keadaan sesuatu atau seseorang adalah dengan menemui sendiri secara berdepan; orang kata ‘melihat dengan batang hidung.’ Cara begitu meskipun sedikit cerewet, tetapi ia cara untuk mendapat bukti yang sahih kerana realiti tidak pernah menipu.
Pelajar Intern Aset Sementara
MAAFCAKAP 5.7.23
Seorang pelajar universiti Rashifa Aljunied, bimbang seandainya menjalani latihan amali tanpa diberi apa-apa elaun di syarikat tempatnya bertugas. Lantas pelajar ini menzahirkan kebimbangannya dengan cara menggantung kad di lehernya yang tertulis ‘Intern bukan buruh percuma’ untuk menarik perhatian umum.
Dan, tindakannya telah benar-benar menarik perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri yang memberi ulasan bahawa pihak majikan sekurang-kurangnya harus mempertimbangkan sumbangan untuk menampung kos perjalanan dan perbelanjaan harian para pelajar intern.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pula berkata, pelajar intern tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma. Menurutnya, Persidangan Buruh Antarabangsa telah menggesa pihak kerajaan di seluruh dunia memandang serius akan hal ini.
Latihan industri dimasukkan sebagai salah satu komponen kebanyakan jurusan pengajian. Ia penting kerana peratus tinggi pendidikan di universiti adalah dalam bentuk teori. Jadi, latihan industri itu perlu bagi mendedahkan para pelajar supaya dapat mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari di alam pekerjaan.
Ada majikan yang melihat para pelajar intern sebagai mereka yang datang untuk belajar. Justeru, mereka tidak harus dibayar. Sebaliknya, para pelajarlah yang patut membayar kerana mendapat ilmu dari syarikat yang mengambil mereka.
Sebenarnya tiada paksaan bagi sesebuah syarikat untuk mengambil pelajar intern. Jika tidak mahu rugi satu sen, usah ambil walau seorang pun. Oleh kerana tiada paksaan tetapi mereka hendak ambil juga pelajar intern dan tidak mahu mengeluarkan wang elaun, apa niat mereka?
Logikkah alasan bahawa pelajar intern yang datang untuk berlatih dan menimba ilmu semata-mata? Apakah para pelajar itu sendiri tidak punyai ilmu langsung untuk dipindahkan kepada pihak syarikat?
Saya punyai pengalaman yang pelbagai dengan para pelajar intern ini. Di sepanjang tempoh berkhidmat, saya telah mengambil lebih 20 orang pelajar intern. Ada ketikanya, saya mengambil empat orang sekali gus. Sebabnya, saya yakin akan memperoleh sesuatu daripada mereka dan saya juga boleh mengajar mereka. Ilmu kita akan bertambah bila kita mengajar orang lain..
Seseorang pelajar intern itu harus dilihat sebagai aset sementara, bukannya mereka yang tidak tahu apa-apa. Apabila mereka datang sarat dengan ilmu-ilmu teori, inilah masa pihak majikan menyemak apakah pendekatan bisnes yang dilakukan selama ini masih mempunyai lunas-lunas dan prinsip perniagaan yang sepatutnya.
Pelajar intern itu pula akan dapat menyemak atau membuat rumusan apakah ilmu teori yang dipelajarinya di universiti itu boleh dipraktikkan di alam pekerjaan. Ini adalah proses timbal balik, knowledge sharing yang menghasilkan win-win situation. Pelajar intern dan majikan sama-sama untung dapat berkongsi ilmu.
Pelajar intern biasanya adalah mereka yang akan taat dan patuh kepada majikan sementelah kerana dia mahu keputusan latihan dengan markah yang baik. Barangkali ada pelajar yang degil. Tetapi bukankah itu adalah proses pendidikan bagi pelajar itu dan juga pihak majikan? Kalau pun mereka kompelin tentang cara kerja tempatnya menjalani latihan, ia baik jika dilihat sebagai maklum balas.
Pelajar intern yang tidak mencapai kehendak syarikat akan meninggalkan premis tempat dia menjalankan latihan bila tamat tempohnya. Jadi, usah gusar dengan kehadiran sementara mereka. Jika pelajar intern itu bertugas dengan cemerlang, pihak majikan mempunyai pilihan untuk menawarkan jawatan kepadanya.
Dalam situasi ini, majikan tidak perlu bersusah payah membuat iklan mencari kerja, menemuduga, memberi latihan dan tempoh percubaan kepada pelajar intern. Sebaliknya, pelajar intern yang menjalani latihan akan mudah diserapkan bekerja kerana dia sudah sebati dengan budaya kerja, SOP, misi dan visi syarikat. Dari segi kos melatih pekerja, pihak majikan sudah membelanjakannya.
Baik atau tidaknya kehadiran seseorang pelajar intern di dalam sesebuah syarikat itu bergantung pada persepsi syarikat itu sendiri. Jika majikan melatih dan melayani mereka sebagai pekerja sendiri, majikan berpeluang mendapat sumber tenaga baharu. Sebaliknya jika majikan hanya menyuruh pelajar intern itu membuat teh atau menjilat setem, majikan sebenarnya membuang masa. Mereka tidak perlu pun membuka peluang untuk menerima pelajar intern.
Mereka yang Dibeli, Mereka yang Dibelanja
MAAFCAKAP 28.6.23
Saya berkenalan dengan Nisah di kafe Tea Amo bila dia menemani seorang sahabat penulis, Nurul untuk satu perbincangan mengenai buku. Sebuah panggilan tiba di telefon Nurul. Oleh kerana ia mengenai urusan pejabatnya, dia memohon izin untuk beralih seketika ke meja sebelah di kafe itu untuk menjawab panggilan.
Kerana itu, saya mengisi masa untuk mengenali Nisah dengan lebih dekat. Saya terpempan seketika bila gadis itu bercerita yang dia baharu sehari berhenti kerja! Puncanya, baru-baru ini dia dinaikkan pangkat. Ini menimbulkan rasa iri hati teman-temannya kerana dia kini menjadi ketua kepada mereka sedangkan sebelum ini mereka kesemuanya setaraf dalam perjawatan.
Oleh kerana satu kesilapan, Nisah telah tersalah hantar sebuah dokumen sebutharga kepada syarikat pelanggan. Harga yang ditawarkan oleh syarikatnya adalah harga lama yang lebih rendah, sedangkan harga baharu adalah lebih tinggi mencecah ribuan ringgit!
Mujurlah syarikat pelanggan memahami dan bersedia untuk menerima harga baharu yang lebih tinggi bila menerima surat baharu sebut harganya. Malangnya, kesilapan Nisah itu menjadi isu ketidakcekapannya sebagai seorang ketua.
Rakan-rakannya menjauhkan diri dan tidak mahu mengeluarkan pendapat dalam perbincangan. Malah, mereka tidak lagi mahu mengajaknya bersama untuk makan-makan atau pergi menonton. Mereka tidak lagi bekerja sebagai satu pasukan dan berekreasi sebagai sahabat.
Selama ini, Nisah menganggap rakan-rakan sepejabatnya seperti saudara. Mereka sentiasa bersama di waktu pejabat dan di luar pejabat. Malah, seandainya mereka berjauhan pun, mereka tetap dapat berhubung melalui Zoom.
Walaupun bercerita dengan ringkas, saya dapat melihat wajah sugul dan kesalnya kerana terlalu baik dengan rakan-rakannya itu. Kata orang; teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar didapati.
Kawan, walaupun betapa baik pun, hanya seorang-dua sahaja yang benar-benar dapat bertahan di sepanjang hayat. Sebaliknya, lebih ramai akan meninggalkan semakin masa berlalu. Dugaan besar akan tiba bila kita berdepan dengan musibah. Ramai yang segera menghilang.
Saudara-mara pula, walaupun sebilangan besar sentiasa tiada di sekeliling kita, mereka yang akan tampil apabila kita berdepan dengan musibah, sekurang-kurangnya untuk menghulurkan simpati.
Kesilapan yang ramai di antara kita lakukan ialah membelanja kawan tetapi hanya membeli persaudaraan. Kita sanggup siang malam bersama kawan-kawan sedangkan selagi mereka hanya kawan, mereka tidak berasa rugi bila kita tiada. Sebaliknya, bila kita hanya ‘membeli’ saudara, mereka sukar dicari apabila kita hilang arah.
Sebab itu, kita seharusnya merapati saudara-mara sementelah perhubungan dengan mereka adalah perhubungan silaturrahim. Orang kata, air dicincang tidak akan putus. Sekiranya kita membelanja saudara melalui masa dan tenaga kita, wang menjadi perkara ketiga.
Kebanyakan perhubungan yang terbina hasil dari kerjasama kerja, perniagaan mahupun perjuangan adalah persahabatan yang hanya ‘dibeli.’ Sebaliknya, perhubungan yang terbina dari jalur kekeluargaan adalah persaudaraan yang harus kita ‘belanjakan.’
Kita perlu membuat anjakan dengan memperbetul jajaran perhubungan. Kawan-kawan hanya perlu dibeli, tetapi kepada saudara-maralah yang harus kita belanjakan. Bunyinya agak kasar, tetapi kita akan fahami realitinya apabila tiba masanya.
Kita Dalam Dunia Tipu-Tipu?
MAAFCAKAP 21.6.23
Baru-baru ini tular video pempengaruh media sosial Ebit Lew bersama seorang gadis bernama Mondy. Video yang disyot di Indonesia itu memaparkan Ebit Lew menghampiri Mondy yang sedang tidur di sebuah kawasan lapang beralaskan kertas.
Apabila gadis itu bangkit, kita yang menonton video itu berasa kaget kerana tubuh gadis itu bertatu dan bertindik. Beliau memakai rantai, gelang dan cincin pada tiga jarinya. Rambutnya pula, berkarat. Kasihannya gadis yang sofisticated begitu adalah seorang gelandangan!
Barangkali hidup Mondy terbiar. Beliau mempamerkan imej punk yang ganas sebagai cara mempertahankan diri. Dan dia menangis apabila Ebit menghulurkan bantuan wang. Sejuk hati yang memandang pada adegan seterusnya apabila beliau muncul dari bilik dengan pakaian yang menutup aurat.
Namun persepsi umum yang pada awalnya cakna mula berubah apabila Mondy dibawa ke Malaysia. Selang beberapa hari, Ebit dan Mondy kelihatan mempromosikan Sambal Tempoyak Petai Bilis! Kalangan netizen yang mula mempersoalkan ‘keikhlasan’ Ebit Lew dan ‘kesahihan’ kegelandangan Mondy, segera mengorek maklumat siapakah gadis itu..
Ternyata, Mondy adalah seorang pempengaruh yang mempunyai lebih sejuta pengikut di TikTok. Berikutan itu, ramai yang mula mempersoalkan kejujuran Ebit Lew dan lakonannya bersama Mondy. Malah ada yang menuduh Ebit sebagai penunggang agama. Betapa pun, yang jelas, kesemua adegan itu adalah lakonan demi konten.
Ebit Lew tentu tahu latar belakang gadis itu sebelum menemuinya. Ada video yang menunjukkan Ebit menyerahkan mikrofon kiub tanpa wayar kepada Mondy sebelum adegan bermula. Mereka berdua melakonkan drama itu dan kita yang menonton telah mengikutinya dengan penuh terharu.
Ebit Lew menggunakan pendekatan drama untuk melakonkan babak yang menyentuh perasaan itu. Yang pasti, kesemua kunjungan beliau menemui mereka yang menderita sebelum ini sudah tentu telah dirancang. Maksudnya, setelah mendapat sesebuah maklumat, team Ebit Lew akan membuat pemeriksaan dan pengesahan lanjut sebelum kunjungan diadakan.
Apabila Ebit Liew sampai, segala-galanya sudah tersedia. Mangsanya, settingnya, malah kedai tempat membeli barangan bantuan tentunya sudah dihubungi terlebih dahulu. Jika terdapat masalah, segala suntingan dibuat agar video bantuan Ebit Lew dilihat berjalan lancar dan kemas.
Soalnya, salahkah Ebit Lew menggunakan pendekatan drama dan lakonan untuk menyampaikan bantuan? Jika salah, tidak kena jugalah rancangan Jejak Kasih misalnya, di mana segala pencarian, persediaan dan pertemuan di antara dua pihak yang terpisah itu dirancang terlebih dahulu hingga ke hari siaran. Dengan muzik latar yang sayu, adegan pertemuan jejak kasih itu begitu menginsafkan kita semua sebagai penonton.
Bagaimana pula bila bantuan kepada mangsa perang, misalnya dihebahkan? Bukankah ia juga dilakonkan? Berperiuk dan berkawah nasi dan lauk disediakan untuk sekalian mangsa. Kemudian kelihatan mereka berebut menerima makanan. Untuk program bantuan bencana alam pula, berguni beras dan gandum disusun setinggi rumah agar nampak besar. Sepanduk dipampang menjalar untuk memberitahu nama NGO yang menyampaikan bantuan. Ada bendera Malaysia dan negara berkaitan dipacak di kiri dan kanan pentas.
Dalam iklan video mangsa kebuluran, mangsa yang kurus kering diambil penuh dramatik. Mangsa tidak berbaju, tulang rusuknya kelihatan merangka dan pasti ada seekor dua lalat berterbangan yang turut diambil ‘berlakon’ untuk menghidupkan adegan kesengsaraan.
Dunia akhir zaman kini dipertontonkan melalui skrin; samada ia di skrin layar perak, skrin televisyen mahupun skrin telefon. Rasa empati dan keinginan untuk membantu dipacu melalui sebuah tayangan video yang mempunyai ramuan sebuah filem; ada bunyi, suara, muzik, pencahayaan dan skrip dibuat bagi meruntun perasaan hingga rasa ingin membantu penonton membuak-buak. Kesemua ini akan meningkatkan jumlah derma dan sedekah mereka yang menonton persembahan itu. Jika segala kesan itu membuat kita bertindak untuk membantu, ia sudah cukup baik. Yang salah ialah apabila pihak yang mempersembahkannya itu menyalahgunakan bantuan. Itu sisi lain.
Berbalik pada kisah Mondy, apa salahnya jika dia kaya tetapi berlakon miskin? Bukankah ramai di kalangan kita yang miskin tetapi berlakon kaya?
Bila Lawak Makan Tuan
MAAFCAKAP 14.6.2023
Tugas pertama saya bila menyertai Kumpulan Karangkraf pada tahun 1991 ialah sebagai Pengarang Urusan majalah humor ~ Gelihati. Tanggungjawab saya ialah untuk memberi nafas baharu kepada majalah itu agar setanding dengan majalah kartun Gila-Gila iaitu majalah humor terunggul di Malaysia.
Di antara perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari definisi istilah ‘humor’ itu sendiri. Pada ketika itu tiada internet. Untuk mendapatkan maklumat mengenai humor, saya berkunjung ke Perpustakaan Negara Malaysia yang pada ketika itu bertempat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Rujukan utama kita sebelum adanya Google tentulah Encyclopedia Britannica. Di halaman-halaman itulah saya temui tidak kurang daripada 20 jenis-jenis humor. Di antara jenis humor yang saya masih ingat ialah slapstick, iaitu humor yang menggunakan aksi bodoh-bodoh alang. Aksi di dalam siri Bujang Lapok arahan P. Ramlee banyak menggunakan genre slapstick.
Ada juga situation comedy atau sitcom iaitu humor berdasarkan salah faham. Di Tik-Tok kini terdapat seorang pemilik akaun yang bermain emosi penumpang di dalam tren. Dia berpura-pura membedung bayi dalam kain selimut sambil berdiri. Akan ada penumpang yang kasihan lalu memberinya tempat duduk. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung, ‘selimut bayi’ itu dibuka dan terus disangkut ke bahu. Para penumpang lain akan tertawa kerana tertipu dengan lakonan pemuda itu.
‘Pun’ pula adalah humor berdasarkan permainan perkataan dan sebutan. Akhir-akhir ini di Malaysia, ‘pun’ ini disampaikan dalam bentuk teka-teki. Kini ia di antara jenis humor yang popular di media sosial. Contohnya, ‘Apakah air yang paling sedap sekali?’ Jawapannya; ‘I love you!’ Perkataan ‘air’ dan ‘I’ dekat-dekat konsonan katanya.
Namun, ada juga jenis humor dari genre ‘black humour.’ Humor ini agak ganas kerana ia bermain dengan situasi di antara sakit dan kelakar. Contohnya, seseorang yang tergelincir kerana terpijak kulit pisang akan berasa sakit. Namun, mereka di sekelilingnya boleh tertawa terbahak-bahak. Sakit bagi yang mengalami, lucu bagi yang memerhati.
Dalam dunia persembahan, humor itu sesuatu yang kelakar dan menghiburkan. Di negara kita, terdapat banyak sekali persembahan humor berkumpulan yang mendapat tempat di kaca televisyen seperti kumpulan Sepahtu, Shiro dan Bocey. Terdapat individu yang membuat persembahan komediri seperti Harith Iskander dan Douglas Lim. Di media sosial dua personaliti iaitu Ryan Bakery dan Dediy Sulaeman (DD Chronicle) menjadi ikutan kerana lawak mereka.
Pokoknya, humor itu ialah sesuatu yang kelakar dan menghiburkan. Ia menjadikan mereka yang menonton tertawa hingga senak perut. Sebaliknya, mereka yang membuat lawak itu biasanya tidak ketawa pun dengan aksi mereka. Bila yang membuat lawak berbuat aksi selamba, inilah yang semakin menghiburkan penonton.
Jadi, pelik sangat apabila seseorang pelawak itu lebih banyak mentertawakan lawaknya sendiri daripada penonton. Jika ini terjadi, orang yang membuat persembahan sepatutnya berundur ke belakang pentas. Apatah lagi, apabila lawak seseorang itu dicemuh, tidak kelakar, malah menimbulkan kemarahan, seseorang pelawak itu tidak profesional bila dia menyalahkan penonton kononnya tidak dapat membaca di mana kelakarnya persembahan itu.
Inilah yang terjadi pada seorang komediri bernama Jocelyn Chia yang membuat persembahan di sebuah kelab komedi di New York, Amerika. Beliau mengambil genre black humour iaitu melihat yang kelakar dari kesakitan orang lain. Dia menyentuh tragedi kehilangan MH370, syarikat penerbangan MAS dan kemajuan Singapura berbanding Malaysia.
Namun, lawaknya menjadi keterlaluan dan kelihatan dipaksa-paksa. Dia bukan melawak, tetapi mempersenda dan memperlekeh. Dia lebih banyak mencebir sambil tergelak-gelak ketika menyampaikan lawaknya.
Akibatnya, Kementerian Luar Negeri dan Pesuruhjaya Singapura di Malaysia terpaksa mengeluarkan kenyataan membidas pelawak itu. Para pelawak dari Malaysia dan Singapura pun menyuarakan kekesalan mereka. Laporan polis telah dibuat dan terkini, pihak PDRM telah meminta bantuan Interpol untuk mengenalpasti lokasi pelawak itu. Ini bukan lawak lagi!
Namun, atas nama lawak, Jocelyn Chia pula mengatakan masyarakat tidak boleh menerima jenis lawaknya. Beliau harus mengambil kira, dalam ramai-ramai pelawak, kenapa ramai yang marahkan lawaknya? Akibat berdegil dan tidak mahu mengendurkan pendiriannya, kini Jocelyn Chia sendiri yang menjadi bahan lawak!


