MAAFCAKAP 21.6.23

Baru-baru ini tular video pempengaruh media sosial Ebit Lew bersama seorang gadis bernama Mondy. Video yang disyot di Indonesia itu memaparkan Ebit Lew menghampiri Mondy yang sedang tidur di sebuah kawasan lapang beralaskan kertas.

Apabila gadis itu bangkit, kita yang menonton video itu berasa kaget kerana tubuh gadis itu bertatu dan bertindik. Beliau memakai rantai, gelang dan cincin pada tiga jarinya. Rambutnya pula, berkarat. Kasihannya gadis yang sofisticated begitu adalah seorang gelandangan!

Barangkali hidup Mondy terbiar. Beliau mempamerkan imej punk yang ganas sebagai cara mempertahankan diri. Dan dia menangis apabila Ebit menghulurkan bantuan wang. Sejuk hati yang memandang pada adegan seterusnya apabila beliau muncul dari bilik dengan pakaian yang menutup aurat.


Namun persepsi umum yang pada awalnya cakna mula berubah apabila Mondy dibawa ke Malaysia. Selang beberapa hari,  Ebit dan Mondy kelihatan mempromosikan Sambal Tempoyak Petai Bilis! Kalangan netizen yang mula mempersoalkan ‘keikhlasan’ Ebit Lew dan ‘kesahihan’ kegelandangan Mondy, segera mengorek maklumat siapakah gadis itu..

Ternyata, Mondy adalah seorang pempengaruh yang mempunyai lebih sejuta pengikut di TikTok. Berikutan itu, ramai yang mula mempersoalkan kejujuran Ebit Lew dan lakonannya bersama Mondy. Malah ada yang menuduh Ebit sebagai penunggang agama. Betapa pun, yang jelas, kesemua adegan itu adalah lakonan demi konten.

Ebit Lew tentu tahu latar belakang gadis itu sebelum menemuinya. Ada video yang menunjukkan Ebit menyerahkan mikrofon kiub tanpa wayar kepada Mondy sebelum adegan bermula. Mereka berdua melakonkan drama itu dan kita yang menonton telah mengikutinya dengan penuh terharu.

Ebit Lew menggunakan pendekatan drama untuk melakonkan babak yang menyentuh perasaan itu. Yang pasti, kesemua kunjungan beliau menemui mereka yang menderita sebelum ini sudah tentu telah dirancang. Maksudnya, setelah mendapat sesebuah maklumat, team Ebit Lew akan membuat pemeriksaan dan pengesahan lanjut sebelum kunjungan diadakan.

Apabila Ebit Liew sampai, segala-galanya sudah tersedia. Mangsanya, settingnya, malah kedai tempat membeli barangan bantuan tentunya sudah dihubungi terlebih dahulu. Jika terdapat masalah, segala suntingan dibuat agar video bantuan Ebit Lew dilihat berjalan lancar dan kemas.

Soalnya, salahkah Ebit Lew menggunakan pendekatan drama dan lakonan untuk menyampaikan bantuan? Jika salah, tidak kena jugalah rancangan Jejak Kasih misalnya, di mana segala pencarian, persediaan dan pertemuan di antara dua pihak yang terpisah itu dirancang terlebih dahulu hingga ke hari siaran. Dengan muzik latar yang sayu, adegan pertemuan jejak kasih itu begitu menginsafkan kita semua sebagai penonton.

Bagaimana pula bila bantuan kepada mangsa perang, misalnya dihebahkan? Bukankah ia juga dilakonkan? Berperiuk dan berkawah nasi dan lauk disediakan untuk sekalian mangsa. Kemudian kelihatan mereka berebut menerima makanan. Untuk program bantuan bencana alam pula, berguni beras dan gandum disusun setinggi rumah agar nampak besar. Sepanduk dipampang menjalar untuk memberitahu nama NGO yang menyampaikan bantuan. Ada bendera Malaysia dan negara berkaitan dipacak di kiri dan kanan pentas.

Dalam iklan video mangsa kebuluran, mangsa yang kurus kering diambil penuh dramatik. Mangsa tidak berbaju, tulang rusuknya kelihatan merangka dan pasti ada seekor dua lalat berterbangan yang turut diambil ‘berlakon’ untuk menghidupkan adegan kesengsaraan.

Dunia akhir zaman kini dipertontonkan melalui skrin; samada ia di skrin layar perak, skrin televisyen mahupun skrin telefon. Rasa empati dan keinginan untuk membantu dipacu melalui sebuah tayangan video yang mempunyai ramuan sebuah filem; ada bunyi, suara, muzik, pencahayaan dan skrip dibuat bagi meruntun perasaan hingga rasa ingin membantu penonton membuak-buak. Kesemua ini akan meningkatkan jumlah derma dan sedekah mereka yang menonton persembahan itu. Jika segala kesan itu membuat kita bertindak untuk membantu, ia sudah cukup baik. Yang salah ialah apabila pihak yang mempersembahkannya itu menyalahgunakan bantuan. Itu sisi lain.

Berbalik pada kisah Mondy, apa salahnya jika dia kaya tetapi berlakon miskin? Bukankah ramai di kalangan kita yang miskin tetapi berlakon kaya?