BLOG

Pemimpin Boleh Bertukar, Tapi Perasuah Tetap Berkeliaran!

Pemimpin Boleh Bertukar, Tapi Perasuah Tetap Berkeliaran!

KERAJAAN telahpun bertukar. Mulai 10 Mei lalu, kita bernaung di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat memberi peluang kepada PH kerana berasakan kerajaan Barisan Nasional sudah tidak bermaya dan para pemimpinnya sudah hilang jiwa rakyatnya.

Kerajaan Pakatan Harapan pula dipilih kerana ia memberi harapan melalui janji-janjinya. Dan di antara tokoh yang dirasakan boleh membawa harapan adalah Tun Mahathir sendiri. Oleh kerana ramai yang  beranggapan kerajaan yang lalu sudah tak boleh diharap, maka mereka ingin mencuba yang baharu.

Apa salahnya bergantung harap kepada seorang pemimpin yang begitu tua dari segi usia biologinya asalkan ia memberi alternatif yang lebih baik daripada pemimpin yang terdahulu. Mereka yang menganggotai pasukannya itu ramai yang belum pernah memimpin di peringkat nasional.

Namun, mereka percaya seorang tua yang bernama Tun Mahathir. Beliau masih seorang insan yang punyai wawasan, pantas dan kemas dalam tindakannya.  Tentu sekali segala pertimbangan telah diambil oleh beliau hingga sanggup memimpin sebuah pasukan yang baharu, yang rata-rata adalah musuh-musuhnya yang terdahulu.

Tun Mahathir menyusun Majlis Penasihat Kerajaan yang berperanan sebagai sebuah jawatankuasa pemandu. Anggotanya mempunyai pengalaman mengurus.  Mereka mengkaji dan memberi maklumat sebagai panduan kepada anggota kabinet kerajaan yang baharu.

Semua mata memerhati. Para pengundi Pakatan Harapan tak sabar untuk melihat mimpi mereka menjadi nyata. Mereka yang mengundi Barisan Nasional pula menanti untuk mengkritik apa yang dilihat menyeleweng daripada yang telah dijanjikan. Dunia pun melihat. Pihak yang menyanjung demokrasi melihatnya dengan kagum. Pihak yang sentiasa sinis menanti-nanti akan ada langkah yang tersasar agar dapat disensasikan.

Pendek kata, rakyat Malaysia tiba-tiba begitu meminati politik dan perkembangan tindakan pemerintah. Internet yang membekalkan segala maklumat terkini dan semasa menjadi perhatian. Kemudahan telefon pintar membolehkan rakyat melihat detik demi detik segala peristiwa yang sedang berlaku.

Tidak syak lagi pada waktu ini, kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang paling dipantau rakyatnya di dunia ini. Tetapi, selama manakah semua ini akan bertahan? Dalam apa jua perubahan, manusia akan teruja malah menggila-gila terhadap apa yang baharu. Akan tiba masanya kegilaan itu akan hilang.

Kepantasan rentak kehidupan akhir zaman ini menjadikan manusia mudah lupa kerana saban hari diasak dengan sesuatu yang baharu. Setelah menteri-menteri kabinet saban hari muncul di kaca televisyen dan juga You Tube serta Facebook, mereka akan hilang gemilangnya. They will lose their lustre.

Bayangkan apabila pak menteri menjadi seperti pelakon realiti TV, apa lagi takjubnya kita dengan mereka? Akan tiba masanya kita tidak akan peduli dengan mereka. Malah, kita lebih cepat akan berasa jemu dengan mereka kerana pemimpin Pakatan Harapan sudah lama dikenali melalui media sosial. Rasa jemu akan menjelma.

Apabila kita sudah menaruh keyakinan kepada mereka, kita akan anggap mereka akan memikul amanah yang diberikan. Jangan lupa, musuh yang ada bukan hanya musuh politik. Sebaliknya golongan oportunis yang makan keliling akan berkeliaran. Ketika kerajaan dahulu, mereka bermaharaja lela. Bila berkerajaan baharu pun mereka duduk menanti peluang.

Yang menaikkan pemimpin adalah rakyat. Yang menjatuhkan pemimpin pun adalah rakyat jua. Rakyat yang bertamaddun akan menaik atau menjatuhkan pemimpin melalui jalan yang sah. Tetapi golongan yang mencari kesempatan ini memakan dari dalam secara haram.

Mereka akan datang dengan cadangan projek. Mengendeng dan mengipas sehingga projeknya terpilih untuk disenarai pendek. Mereka tak malu menabur dedak. Pada mulanya secara segan-segan kepada mereka yang ada di sekeliling pemimpin.

Sekali, dua kali dan tiga kali dicuba akhirnya mereka memberi hadiah, cenderahati atau apa jua yang mulanya disampaikan secara tidak langsung kepada seseorang pemimpin.  Apabila semuanya lancar, mereka akan cuba secara langsung. Akhirnya pemimpin itu terjerut lehernya bila dia sendiri mengelepet bahagiannya hingga menjadi seorang kleptokrat. Sedar tak sedar, andainya ramai pemimpin jadi begini, kita sebenarnya mengulangi sejarah hitam yang baharu sahaja kita rentasi. Sejarah akan berulang andainya kita tidak belajar daripada kesilapan.

Tugas kita semua adalah untuk meneropong pemimpin di bawah mikroskop. NGO-NGOlah yang patut memainkan peranan ini. Jangan berehat terlalu lama kerana meraikan kemenangan perjuangan yang baharu lalu. Perjuangan tak akan selesai!

Cerita-Ceriti Dunia Buku

Cerita-Ceriti Dunia Buku

Selamat datang ke Layar Minda – Portal Cerita-Ceriti Dunia Buku berbahasa Melayu! Kami akan membawakan berita terbaru dunia penulisan, aktiviti-aktiviti yang anda boleh sertai dan juga tips-tips penulisan terbaik!

BENGKEL PERTAMA LAYAR MINDA

Alhamdulilah. Selesai sudah bengkel pertama Layar MInda Publications. Bengkel MEMBARA KARYA berkongsi dengan para penulis mengenai cara-cara berkesan untuk memasarkan karya masing-masing.

Bagaimana pun, sebelum karya itu dipasarkan, seseorang itu perlulah mengetahui kedudukannya di minda para pembaca. Hanya dengan mengetahui kedudukannya, baharulah seseorang penulis itu boleh bertindak setepatnya untuk menempatkan dirinya di minda pembaca.

Bengkel sehari itu sememangnya tak cukup. Namun, ia adalah suatu permulaan. Dan, permulaan itu perlukan penyudah melalui tindakan yang konsisten.

Terima kasih kepada Khairiah Razali, Norra Hassan Novelis, Mimi Sahila Norbit, Ayim Novelis, Syauqie MK, Hambali Idrus, Balqis Sanusi, Zalita Mohd Nor, Shahida Mat Khasim dan Hasrul Azam Mokhta.

Tidak lupa jua kepada Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid yang sudi tampil untuk special appearance.

Bengkel MEMBARA KARYA berlangsung di Makers Space, UMXcelerate, Universiti Malaya, K. Lumpur pada 29.9.18

NORDEN MOHAMED dilahirkan di Mersing, Johor pada tahun 1957. Setelah menamatkan pelajaran sekolah di Sekolah Menengah Sri Mersing, beliau melanjutkan pelajaran di ITM (kini UiTM) dalam bidang Senireka Perusahaan. Minatnya dalam bidang penerbitan buku membolehkan beliau ditugaskan sebagai Pengurus Besar Alaf 21 hingga berjaya menempatkan syarikat itu terkenal sebagai penerbit novel popular di Malaysia. Beliau kemudian bertugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Sinar Harian sebelum diambil bertugas sebagai Penasihat Editorial Grup Buku Karangkraf.

Salam Aidilfitri

Layar Minda PublicationsĀ mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua. Kami berharap semoga Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut penuh dengan kesyukuran dan keikhlasan bersama keluarga dan sahabat handai tercinta.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]