MAAFCAKAP 12.1.2022

Laporan Statistik Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pengangguran Malaysia menurun pada kadar 4.3 % pada Oktober tahun lalu. Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi secara berterusan telah mendorong kedudukan tenaga buruh menurun dari kadar 4.8 % pada Jun tahun lalu.

Apakah trend menurun ini berlaku kerana semakin ramai di kalangan pencari kerja mengambil keputusan untuk tidak mendaftar di Jabatan Tenaga Buruh tetapi sebaliknya mencari kerja sendiri? Jika benar, ia berita baik buat pemerintah kerana itu petanda kian ramai  di kalangan rakyat tahu mencari kerja sendiri. Pemerintah boleh fokus pada program industri yang memerlukan kurang tenaga buruh dalam program IR 4.0nya.

Apabila pelbagai sektor ekonomi mula aktif, kalangan pencari kerja pada hari ini lebih peka akan peluang pekerjaan dengan mencari kerja melalui pelbagai saluran di internet. Banyak sektor seperti industri penghantaran dan perusahaan-perusahaan kecil pembuatan, mengiklankan peluang pekerjaan secara sedemikian.

Ramai juga di kalangan mereka yang diberhentikan kerja pula memperoleh pendapatan dari klien di kawasan perumahan sendiri dengan memberi perkhidmatan membaik pulih barangan elektrik, komputer, mengecat dan menebas. Kerja yang popular kini ialah sebagai penghantar makanan. Ia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan penganggur. Seseorang juga boleh mula berniaga secara kecil-kecilan menguruskan pelbagai produk secara dropship.

Apabila rakyat semakin mudah mendapat kerja, maknanya mereka juga boleh memilih. Apakah pula kesannya pada majikan khususnya majikan-majikan kecil? Beberapa orang teman yang mempunyai bisnes di sektor Industri Kecil dan Sederhana mula kompelin mengenai sukarnya mereka mendapat pekerja yang setia dengan tempat kerjanya. 

Kian ramai yang bekerja semata-mata untuk mendapat gaji dan bukan membina kerjaya atau masa depan. Pada bila-bila masa, peluang bekerja di tempat lain terbuka luas dan seseorang pekerja mudah berhenti kerja mahupun tiba-tiba menghilangkan diri dengan tidak datang kerja. 

Ketua keluarga kecil barangkali lebih perlukan kerja kekal untuk membina masa depan dengan bertugas di sesebuah tempat. Sebaliknya dari kalangan orang bujang samada para graduan mahupun yang tamat SPM ‘sama naik’ tidak mahu ambil peduli untuk menseiringkan matlamat syarikat dengan diri sendiri. 

Asalkan dapat menyiapkan tugasan, itu sudah memadai. Disiplin yang ketat tidak perlu dipatuhi kerana bila tak suka, boleh sahaja angkat kaki dan esok boleh dapat kerja lain. Trend begini tidak positif untuk pihak majikan dan juga kepada golongan pekerja sendiri. 

Sikap mudah berhenti kerja akan membuatkan pihak majikan terpaksa melatih semula pekerja yang baharu. Kos melatih akan meningkat dan kelancaran produksi akan terganggu kerana seseorang staf baharu perlukan masa untuk mahir menjalankan kerjanya. Faktor 4M dalam pengeluaran iaitu ‘man, material, machine dan method’ sudah tentu terjejas kerana faktor man.

Dalam pada itu, sikap seseorang yang mudah berpindah kerja, atau job-hopping bukannya kerana mengejar peluang yang lebih baik, sebaliknya mahukan peluang bekerja yang lebih releks akan menjejaskan masa depan kerjaya seseorang. Pengalaman kerjanya meskipun di pelbagai tempat akan dilihat majikan sebagai pekerja yang sukar setia kepada tempat kerjanya. Dia bukan pekerja pilihan untuk dinaikkan pangkat.

Akibatnya, peningkatan gajinya tidak stabil. Ini bakal mengganggu perancangannya membina ekonomi diri, apatah lagi keluarganya. KWSPnya mungkin sudah entah ke mana kerana perpindahan kerjanya yang kerap akan menjejaskan rekod carumannya. Meskipun seseorang itu boleh dapat apa yang dia ingini, dia hanya peroleh instant gratification, yang berupa ganjaran yang kecil.  Tetapi dia tidak sedar yang dia telah meletakkan dirinya agar kais pagi makan pagi untuk sepanjang hayatnya.