INDUSTRI buku turut menyumbang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumbangannya dalam ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320 bilion tahun lalu dengan pertumbuhan 10.4 peratus (2020) berbanding 7.3 peratus (2019).
Pandemik COVID-19 menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri buku menjadi kumpulan paling terjejas. Kesannya, ada kedai buku gulung tikar kerana tidak mampu bertahan.
Selepas dua tahun pelbagai aktiviti buku berkait secara langsung dengan ekonomi dan PKS tertangguh, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan kembali dianjurkan, 11 hingga 20 Februari depan.
Kali ini, ia menjadi pesta buku norma baharu dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar pesta buku selamat kepada pengunjung serta pempamer.
PBAKL adalah satu-satunya pesta buku terbesar di negara ini dan bertaraf antarabangsa.
Anggaran lambakan stok bernilai RM74.2 juta membabitkan 138 syarikat penerbitan seluruh negara mempengaruhi aliran tunai syarikat dan berkemungkinan besar boleh membawa kepada penutupan operasi sebahagian penerbit.
Pada tahun ini PBAKL menerima penyertaan 111 pempamer, mencatatkan jualan melebihi sasaran, iaitu 156,959 naskhah dalam tempoh 17 hari penganjuran.
Mengikut rekod jualan, statistik jualan buku pada tiga hari pertama menunjukkan peningkatan sangat memberangsangkan, iaitu 178 peratus berbanding tahun lalu. Ini pencapaian sangat baik bagi jualan buku melalui platform e-dagang secara kolektif di peringkat nasional.
Tahun lalu, pesta buku dalam talian berlangsung dengan 48 pempamer dan mencatatkan jualan 59,000 naskhah. Ini bermakna sambutan pencinta buku tetap menggalakkan walaupun dibuat dalam talian.
Justeru, PBAKL 2022 menjadi keperluan untuk menyuntik kembali ekonomi industri buku bagi tempoh pemulihan. Ia menjadi permulaan sangat baik dan sesuai bagi industri buku mengembalikan semula rentak penghasilan serta jualan seperti sebelum pandemik atau jauh lebih baik berbekalkan pengalaman jatuh bangun berkenaan.
Artikel asal: MOHD KHAIR NGADIRON . BERITA HARIAN 25.11.2021