ZAINAL RASHID AHMAD/ASTRO AWANI/JANUARI 28.2020

KALAU bercakap mengenai buku – saya mengimpikan sesi melepak dengan tokoh politik; berbual soal buku merentasi isu politik partisan.

Malah, kalau ada pilihan – tentunya saya mahu melewati waktu berbual dengan tokoh-tokoh pilihan.

Kalau bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad – saya akan bertanya secara investigatif: “Apakah pesona yang Tun perolehi ketika membaca buku A Street Cat Named Bob (ASCNB)?”.

Sudah tentu amat berharga kalau dapat mendengar komen seorang negarawan yang menghabiskan cuti Disember 2018, membaca biografi kisah gelandangan dan kucingnya.

ASCNB ialah catatan James Bowen – penagih dadah dan pemuzik jalanan yang putus asa dan hidup di lorong-lorong dan tangga apartmen sekitar kota London.

Dunia Bowen berubah apabila bertemu seekor kucing jalanan yang cedera dinamakan Bob.

Selain merawat dan mengisi kesunyian hidup seekor kucing jalanan – pengalaman bersama Bob turut mengaspirasikan kehidupan baharu buat Bowen sendiri.

Dari kisah ketagihan heroin dan metadon, Bowen berjuang mengubah kehidupannya. Semuanya demi survival seekor kucing jantan berwarna kuning keemasan.

Dr Mahathir pasti punya sebab yang cukup mendalam apabila memilih buku ini.

Bowen bekas penagih dadah dan pemuzik jalanan yang  bergelandangan. Bukunya diterbitkan pada 2012 dan difilemkan pada 2016.

Apabila negarawan seperti Dr Mahathir memilih membaca kisah manusia kecil di jalanan kota London tentu ada magis luar biasa pada buku ini.

Kalau bertemu Datuk Seri Hadi Awang pula – tentulah saya mahu minum kopi dan berbual mengenai novel Lorong Mirdaq karya Naquib Mahfouz.

Saya mahu bertanya: “Apakah Tuan Guru juga berpandangan prejudis terhadap sikap dan ideologi kesasterawanan Mahfouz yang dituduh liberal dan anti Islam?”

Saya tahu Hadi sangat suka membaca. Genre bacaannya merentas kepelbagaian budaya dan gaya pemikiran. Saya mahu tahu, sebagai pembaca: Apakah pandangan Hadi terhadap novel Lorong Mirdaq (terbitan 1947) yang kontroversi itu.

Kalau ketemu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pemimpin ini punya waktu berborak soal buku – tentu sangat mengujakan.

Guan Eng pasti mempunyai pandangan yang kritis terhadap buku The World Is Flat(TWIF) tulisan Thomas Friedman.

Friedman dianggap ahli ekonomi paling berpengaruh dekad ini. TWIF adalah karya rentas kajian mengenai tabiat jahat kapitalis.

Friedman mengasah fikiran pembaca untuk melihat manipulasi pemodal yang membelenggu kehidupan pengguna di seluruh dunia.

Buku setebal 488 halaman ini mengisi dekad pertama alaf 21 dengan teguran dan kritikan yang penuh kejujuran serta kejutan. TWIF mendedahkan betapa manusia dimangsakan secara jahat oleh struktur ekonomi kapitalis yang tidak terkawal.

Sebagai Menteri Kewangan, saya percaya – Guan Eng pasti membaca TWIF kerana ia dianggap buku “paling jernih” dan memberikan pencerahan mengenai kelicikan ekonomi kapitalis.