SEKALI lagi Thessaloniki International Book Fair datang lagi. Pestabuku yang dianjurkan sejak tahun 2003 di bandar pelabuhan Thessaloniki, Greece ini menemukan pelbagai syarikat penerbit akan berlangsung dari 9 – 12 Mei 2019.

Para pengunjung membelek buku di Tessaloniki International Book Fair – pic: ikathimerini

Pestabuku yang paling gemilang di Greece ini akan menganjurkan lebih 500 acara yang melibatkan 300 orang penulis dan 250 penerbit. Para penulisnya akan terlibat di dalam pameran buku, perbincangan, pesta, bengkel dan juga tayangan filem.

Sebahagian daripada para penulis datang daripada luar negara termasuk Perancis, German, Britain, Ireland, Italy, USA, Russia, Romania, Croatia, Slovenia, Slovakia, Iraq, Turki, Iran dan juga Sweden.

Di antara tetamu kehormat adalah Éric Vuillard dari Perancis, novelis László Krasznahorkai dari Hungary, penulis, wartawan dan juga aktivis Aslı Erdoğan dari Turki.

Tema: Rakyat Sebagai Protagonis Sastera dan Sejarah – pic: pixabay

Negara Russia hadir secara besar-besaran pada tahun ini kerana negara itu dan tuan rumah menganjurkan Tahun Bahasa dan Sastera Greece-Russia.

Tajuk bicara untuk pestabuku ini ialah ‘Rakyat sebagai Protagonis Sastera dan Sejarah.’ Tajuk ini dipilih kerana dalam pelbagai keadaan khalayak lazimnya digambarkan sebagai golongan yang tidak peduli.

Kerana itu pada kali ini, tajuk bicara melihat peranan pablik sebagai pemangkin kepada kemeriahan dunia sastera dan bahasa.

Tajuk Bicara: Pestabuku Greece mengangkat isu pelarian – pic: voiceofthecape

Untuk empat tahun berturut-turut, fokus kepada pelarian dengan tema ‘Imagine All the People’ yang melibatkan bengkel, tema daripada lagu nyanyian John Lennon dari The Beatles itu memfokus kepada suara kehidupan pelarian. Pihak jawatankuasa pameran dengan UNHCR Greece akan menganjurkan pelbagai bengkel yang disertai oleh kanak-kanak pelarian.

Usaha pihak penganjur Tessaloniki International Book Fair untuk mewujudkan acara berpandukan temanya ini amat menarik. Tema pelarian yang dipilih bukan sahaja membicarakan mengenai mereka, tetapi turut menghimpun dan mempamer buku-buku mengenai pelarian.

Barangkali pihak penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur boleh memilih tema-tema seperti kemiskinan, keganasan rumahtangga mahupun mengenai politik dan mengangkat tema itu sebagai tajuk bicara.

John Lennon; Penyanyi lagu Imagine All the People yang menjadi tajuk bicara pestabuku ini – pic rollingstone.com

Bila isu kemiskinan dibicarakan, buku-buku ilmiah dan fiksyen mengenai kemiskinan dipamer khas, pertandingan video pendek mengenai isu itu juga boleh diadakan termasuk pertandingan karangan bagi pelajar sekolah.

Tajuk-tajuk yang hampir pada masyarakat itu akan menjadikan khalayak rakyat melihat betapa relevannya dunia pembacaan itu sendiri.