Pada hari ini, diskusi, mesyuarat dan seminar secara maya boleh diadakan di pelbagai platform seperti Zoom, Google Meet, Skype dan juga Zoho Meeting. Jika kita ingat, ia mulai popular sekitar tahun 2020 bila dunia dilanda pandemik Covid-19.
Manusia sebagai makhluk yang hidup berkumpulan tidak boleh duduk sendirian. Maka jalan bertemu ketika perintah berkurung dapat dilakukan juga dengan berinteraksi melalui platform konferensi secara maya itu.
Maka perbincangan video secara maya melalui kamera komputer yang diperkenalkan oleh Tim Dorcey dari Universiti Cornel1 pada 1992 menjadi satu gaya hidup dan gaya kerja. Pada tahun 2022, jumlah pengguna aplikasi sidang video ini mencecah 1.26 bilion pengguna di serata dunia.
Kini, perbincangan secara maya melalui aplikasi-aplikasi ini sudah menjadi keperluan. Selain berbincang dan bermesyuarat, semakin banyak kuliah diadakan dengan cara ini. Dengan capaian internet, seseorang itu boleh berhubung dari mana sahaja pada bila-bila masa.
Kesibukan seseorang juga membolehkan dia turut serta dalam satu-satu perbincangan. Sambil memasak di rumah pun, seseorang boleh menghadirinya. Seseorang yang masih dalam kesesakan lalulintas pun boleh menghadirkan dirinya dalam sesebuah perbincangan video itu.
Barangkali, oleh kerana kos kehidupan yang kian meningkat akhir-akhir ini, fenomena work from home akan kembali popular kerana ia praktikal, menjimatkan masa dan efektif dari segi kos. Banyak syarikat seperti perakaunan, sumber manusia, penerbitan, ilustrasi dan pencipta konten akan dapat beroperasi secara efektif melalui pertemuan dalam format perbincangan video ini.
Begitu pun, cara ini juga mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri. Selain daripada capaian internet yang tiba-tiba boleh mengganggu perbincangan, tiada sesiapa pun yang tahu samada kesemua hadirin memberi perhatian pada apa yang dibincangkan.
Yang lain boleh sahaja secara curi-curi membuat hal sendiri dengan memadam skrin langsung menghilangkan wajahnya. Dengan kecanggihan AI, akan ada nanti hadirin yang memapar imej yang konon dirinya menghadiri perbincangan dengan begitu asyik, padahal itu bukannya dia!
Bagaimana pun, interaksi secara berdepan akan tetap menjadi pilihan utama. Ia adalah semata-mata kerana interaksi secara langsung itu membolehkan mereka yang sedang berbincang boleh memberi maklumbalas dalam suasana in situ.
Perbincangan akan menjadi lebih bermakna apabila dalam komunikasi secara live itu, semua gerak laku fizikal dapat diperhati dan ia membantu dalam komunikasi yang berkesan. Berbanding dengan sidang video, pengalaman seseorang menonton persembahan di skrin akan mengelirukan fikiran bahawa apa yang berlaku itu seperti lakonan.
Lagi pun, perbincangan secara berdepan itu menjadikan suasananya lebih terkawal, mengurangkan gangguan, mengawal disiplin dan meningkatkan fokus. Justeru, ia lebih telus dan jujur.
Perbincangan boleh dilakukan secara maya sekiranya ia adalah lanjutan bagi mendapat maklumat mengenai perkembangan sesebuah projek. Begitu juga, kuliah secara maya itu sesuai untuk sesuatu pengetahuan lanjutan dan bukan untuk sesuatu ilmu yang khusus atau baharu.
Selain dari itu, apa sahaja pertukaran ilmu dan tugasan patut diadakan secara berdepan dan semasa. Tambahan pula dalam dunia yang semakin canggih pada hari ini, penipu atau scammer turut canggih dalam menyalut kepalsuan seolah-olah ia betul dan benar.
Dengan teknologi AI, para agamawan yang memberi kuliah feqah dan hadis pun boleh bercakap mengenai prostat dan ubat yang disyor untuk digunakan. Pakar kewangan yang sah, boleh bercakap mengenai pelaburan dengan cara skim Ponzi. Syarahan yang diberi mereka itu seolah-olah benar sebab ia datang dari mulut mereka yang berkelayakan. Padahal yang terpamer hanyalah suara dan gerak laku komputer janaan AI.
Perguruan di antara Rasulullah saw dan Jibril berlaku secara talaqqi atau berdepan. Jika kita ingat pada riwayat bagaimana Jibril bertanya Rasulullah saw mengenai Islam, Iman dan Ihsan, Jibril duduk rapat hingga bersentuh lutut dengan baginda. Ketika Jibril memeriksa bacaan Al-Quran Rasulullah saw, malaikat itu duduk berdepan. Justeru, interaksi cara berdepan harus diutamakan berbanding dengan interaksi secara maya.
Kita tidak boleh mengenepikan teknologi. Malah segala perkembangannya perlu kita rangkul dan gunakan. Cuma kita perlu ingat bahawa jika orang dahulu tinggal di hutan belantara yang penuh dengan bahaya binatang buas, pada hari ini kita tinggal di belantara kota yang penuh juga dengan bahana manusia buas! Justeru perbincangan secara berdepan lebih selamat dari yang berkamera.