MAAFCAKAP 16.4.2024

Baru-baru ini tular klip video di media sosial mengenai alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasaraya di Johor. Ramai netizen mencerca tindakan pasaraya itu kerana menjual produk yang menghina Islam.

Pasaraya itu segera tampil menerangkan bahawa produk itu adalah sejadah mini yang tersilap label sebagai alas kaki. Syarikat pembekal produk itu, sebuah perniagaan milik 100 peratus Bumiputra turut tampil menerangkan bahawa mereka adalah pengedar barangan patuh syariah termasuklah sejadah mini yang dianggap sebagai alas kaki itu.

Beberapa minggu sebelum itu, sebuah syarikat kasut dikatakan membuat logo yang menyerupai kalimah ALLAH. Para netizen segera mendesak syarikat itu diboikot sepertimana rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

Empat agensi kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Agama Johor dan juga pihak berkuasa tempatan telah bertindak merampas lebih 1,000 kasut untuk siasatan.

Bagaimana pun, hasil kajian pihak berwajib mendapati lakaran yang terdapat di tapak kasut itu tidak menyerupai kalimah ALLAH sepertimana yang dianggap ramai. Ini jelas menunjukkan bahawa kesemuanya terjadi kerana salah faham.

Sebenarnya, mereka yang memulakan tanggapan terhadap lakaran pada kasut dan juga sejadah mini yang dikatakan sebagai alas kaki itu berpunca dari kesan psikologi yang dinamakan pareidolia. Ia adalah fenomena psikologi di mana imej yang dipandang dicampur aduk dengan apa yang ada di fikiran manusia hingga terbentuk apa yang ingin dilihat oleh manusia itu sendiri.

Apabila tulisan ALLAH itu sudah tersimpan di minda, apa yang dilihat kesemuanya dikaitkan dengan lakaran khat nama ALLAH. Sehinggakan ada netizen yang memperli logo telco Maxis pun menyerupai lakaran nama ALLAH jika kita mahu mengaitkan nama agung itu pada segenap benda.

Pareidolia juga terjadi apabila kita melihat tulisan nama ALLAH pada awan, sisik ikan, pohon kayu dan apa sahaja menurut apa yang bermain di minda kita. Kita nampak tulisan nama ALLAH di mana-mana yang kita bayangkan hingga terlupa ALLAH Yang Maha Besar telah menunjukkan kebesaran-NYA melalui kejadian siang dan malam, bintang serta galaksi, malah seluruh alam semesta, bukan menunjukkan kebesarannya hanya pada sebutir batu.

Kerana pareidolia, manusia nampak salib di mana-mana hingga fobia dengan apa sahaja yang berpalang seperti palang pada tiang bendera, alang-alang di bumbung rumah, malah simbol campur (+) dalam ilmu matematik. Kerana pareidolia jugalah maka tunggul kayu disangka hantu bila pandangan mata dipermainkan oleh fikiran.

Ilusi kekerapan atau Fenomena Baader-Meinhof adalah satu lagi keadaan bila mana fikiran kita peka dengan sesuatu objek atau perkataan. Misalnya apabila kita berbaju merah, kita akan dapati ramai sungguh mereka yang berbaju merah seperti kita. Padahal, warna itu hanyalah fokus minda kita dan tanggapan kita itu adalah ilusi semata-mata.

Kita ingin lihat apa yang kita ingin lihat. Kita ingin dengar apa yang kita ingin dengar. Betapa peka pun kita, ada banyak ketika bilamana kita akan nampak sesuatu hanya dari sudut pandangan kita.

Lucu juga apabila suspek yang baru ditahan kerana cuba menembak isterinya di KLIA baru-baru ini dilihat dari kacamata politik. Beliau dikaitkan sebagai ahli sesebuah parti politik, sedangkan tindakan suspek adalah kes rumahtangga, bukannya kes politik.

Walaupun kita ingin lihat apa yang kita ingin lihat, kita tidak boleh menafikan pandangan orang lain. Sebabnya, orang lain juga akan lihat apa yang dia hendak lihat. Malah, banyak pergeseran dan salah faham terjadi apabila kita nampak apa yang kita hendak lihat tanpa mempedulikan bahawa orang lain juga punyai kacamatanya sendiri.

Yang penting ialah saling memahami bahawa setiap daripada kita mempunyai tanggapan dan pandangan kita yang tersendiri. Dengan memaklumi bahawa kita punyai hak untuk berpegang dengan pandangan masing-masing baharulah datang persefahaman. Namun, persefahaman itu perlu berpaksi, asalkan ia tidak mengganggu gugat hak-hak orang lain. Ketahuilah yang kita ini kesemuanya bukannya sentiasa betul kerana kacamata untuk minda agar kita dapat memandang dengan jelas masih belum dicipta lagi!