MAAFCAKAP 21.2.2024
Ahad lalu, saya dan teman-teman penulis, Heidi Abdul Hadi dan Norra Hassan bertemu untuk bersembang mengenai buku dan penulisan. Oleh kerana tugas hakiki yang mengekang masa, bidang penulisan kreatif yang kami minati selalunya terpaksa diketepikan.
Oleh kerana itu, kami bersama beberapa orang teman penggiat dalam industri kreatif iaitu Aqila Masti, Kelly Telly, Shah dan Tasya telah mengikat diri dengan nama Bookoo People agar komited untuk menyatukan sedikit masa yang ada.
Di antara perkara yang dibincang dalam pertemuan itu ialah mengenai buku dan e-buku. Kita maklum, buku fizikal masih mempunyai kelebihan meskipun dengan kehadiran e-buku sebagai platform membaca yang terkini. Pelbagai survei yang ditemui memperlihatkan buku fizikal lebih disukai kerana ia memberi lebih kepuasan membaca berbanding dengan e-buku.
Agak pelik tetapi kenyataan, ramai responden di mana-mana survei memberi maklumbalas iaitu bau kertas dan dakwat adalah satu nikmat dan memberi pengalaman membaca yang unik buat penggemar buku. Membaca buku fizikal kurang memenatkan kerana cahaya datang dari luar, berbanding telefon atau komputer di mana cahayanya datang dari alat itu.
Bagaimana pun, yang paling mengganggu buat peminat e-buku ialah iklan. Banyak aplikasi memaparkan iklan-iklan ‘pop-up’ yang biasanya mengalih perhatian pembaca e-buku. Meskipun seseorang boleh melanggan aplikasi e-buku tanpa iklan, tidak ramai yang serius untuk melanggannya.
Dek biasa diganggu iklan, pembaca e-buku boleh menerima kemunculannya berbanding pembaca buku fizikal yang memperuntukan masa membaca sebagai ‘me time’ yang begitu peribadi tanpa gangguan.
Betapa pun, apabila golongan pembaca mempunyai pilihan untuk menatap buku secara fizikal mahu pun dari komputer atau telefon, timbul pula persoalan apakah perlunya terdapat perbezaan pendekatan gaya penulisan yang sesuai bagi kedua-dua medium itu?
Ramai penulis yang mula memaparkan karya mereka dalam format e-buku biasanya menggunakan bahasa yang ringkas dan langsung. Perenggan-perenggan yang digunakan juga mengandungi kurang dari 50 perkataan. Buku-buku mereka juga kebanyakannya kurang dari 150 halaman.
Berbeza dengan penulis-penulis buku fizikal, sesebuah perenggan boleh menjangkau 100 perkataan dan halaman bukunya melebihi 250 halaman, malah hingga melebihi 1,000 halaman. Sebab itulah, mereka yang tidak biasa dengan e-buku akan berasa pelik bila mendapati e-buku yang diubah ke format buku fizikal kelihatan begitu nipis.
Dalam pada itu, mereka yang menggemari e-buku akan mudah mengenepikan buku-buku fizikal yang sudah diubah ke format e-buku kerana didapati begitu tebal dan memenatkan pembacaan. Nampaknya, terdapat perbezaan minat yang ketara di antara pembaca e-buku dan buku fizikal. Pembaca e-buku sukakan bahasa yang ringkas, langsung dan pendek. Pembaca buku fizikal pula sukakan buku yang menggunakan bahasa yang santai dan berlenggok serta panjang.
Barangkali penulis yang menghasilkan novel fizikal setebal 500 halaman, harus memendekkan separuh karyanya jika dia ingin novel dalam bentuk e-buku mendapat sambutan. Dia harus menulis menggunakan pendekatan minimalis. Pembaca e-buku adalah spesis manusia yang ingin tahu jalan dan kesudahan cerita. Mereka insan left-brain yang analitikal dan mempunyai pemikiran yang logik. Sambil membaca, mereka rajin mencari fakta-fakta tambahan yang dibaca di internet.
Golongan pembaca buku fizikal pula adalah dari kategori yang mempunyai imaginasi, intuisi dan mampu menjiwai apa yang ditulis pengarang ke dalam fikirannya. Membuat rujukan sambil membaca itu tidak penting kerana ia mengganggu kenikmatan membaca.
Jadi, penulis e-buku pula harus memperincikan tulisannya agar ia lebih panjang dan lebih santai, sesuai untuk khalayak pembaca buku fizikal. E-buku karyanya yang hanya 50 halaman perlu dikembangkan kepada lebih 200 halaman kerana bagi pembaca buku fizikal, buku yang kurang 100 halaman itu ‘bukan sebuah buku!’
Justeru, golongan penulis pada hari ini yang ingin mempersembahkan karya mereka dalam bentuk buku fizikal dan e-buku seharusnya menghasilkan dua versi juga jika mahu ia mendapat sambutan bagi kedua-dua khalayak ini. Maknanya, menulis satu buku, dua versi? Ya!