MAAFCAKAP 14.2,2024
Minggu lalu, tular polemik di laman-laman sosial Cyberjaya. Ia bermula apabila seorang netizen memuat hantaran mempersoalkan promosi Car Boot Sale (Jualan Bonet Kereta) pasaraya Malakat Mall yang menggunakan frasa ‘Lorong Hadapan’ di dalam poster promosinya. Beliau mempersoalkan mengapa Malakat Mall menggunakan frasa ‘Lorong Hadapan’ kerana ia seolah-olah meniru gelaran ‘Lorong Belakang’ sebuah pasar malam yang kini paling popular di Cyberjaya.
Malakat Mall mempunyai alasan yang sah kerana pasar jualannya memang bertempat di lorong hadapan pasaraya itu. Dengan maksud suka-suka meningkah nuansa, ‘Lorong Belakang’ dan ‘Lorong Hadapan’ dimainkan kerana projek pasar itu juga seharusnya menimbulkan mood gembira dan suka ria. Frasa ‘Lorong Hadapan’ pada poster Malakat Mall itu pun hanya bertulisan kecil.
Tetapi bila orang kata, ‘hendak dijadikan cerita’ maka tercetuslah polemik para netizen yang lebih ramai menyokong bisnes ‘Lorong Hadapan’ kerana ia sudah terkenal. Para netizen yang menyokong projek Malakat Mall pula melihat tidak ada salahnya menggunakan nama ‘Lorong Hadapan’ oleh kerana ia bukannya jenama yang telah didaftarkan.
Untuk tidak memanjangkan polemik, pihak Malakat Mall telah mengambil sikap beralah kerana tidak mahu memanjangkan isu. Lagi pun, projek Car Boot Sale anjuran Malakat Mall baharu sahaja bermula. Netizen asal yang mula-mula membuat hantarannya di Facebook turut menurunkan catatannya kerana tidak mahu perbalahan itu melarat.
Dalam lanskap bisnes, jenama seringkali menimbulkan perbalahan kerana ia adalah identiti yang melibatkan harta intelelek dan juga bahagian pasaran. Jenama yang seakan-akan sama yang diperkenalkan oleh pemain baharu itu bertujuan untuk menumpang kepopularan jenama yang terkenal sebagai jalan mudah melariskan jualan. Pengguna pula yang menjadi mangsa kerana terbeli barangan yang mempunyai jenama yang seakan-akan sama kerana keliru.
Perkembangan e-niaga menimbulkan lebih banyak komplikasi. Dengan adanya ratusan ribu jenama yang muncul di laman-laman e-niaga, seseorang netizen yang tentunya mahu cepat dalam segala urusan akan mudah ‘tersilap jari’ hingga terbeli barangan dari jenama yang bukan pilihannya. Ini yang menjadi kebimbangan tuanpunya jenama asal.
Dalam sebuah kes jenama yang seakan-akan serupa, baru-baru ini di Malaysia, usahawan Khairul Aming telah mengambil tindakan terhadap pengeluar Sambal Nyet Khairi kerana menggunakan nama dan pakej yang hampir serupa dengan jenama ciptaannya Sambal Nyet Berapi. Beliau mendakwa syarikat itu telah melanggar hakcipta intelek.
Sebelum itu, di negara kita terdapat dua kes besar yang melibatkan identiti jenama. Pada 2001, syarikat makanan segera McDonald’s telah menyaman restoran McCurry kerana mendakwa restoran McCurry menggunakan nama yang seakan-akan serupa hingga mengelirukan pengguna. Dalam kes ini, syarikat McCurry berjaya menafkan segala dakwaan.
Empat tahun berikutnya iaitu pada tahun 2005, syarkat Starbucks telah menyaman restoran Starbung Coffee yang didakwa melanggar hakcipta jenama. Nama dan logo Starbung didakwa menyamai syarikat antarabangsa itu. Kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah.
Dalam banyak kes jenama-jenama yang seakan sama dibawa ke mahkamah, banyak juga kes yang tidak dibawa ke muka pengadilan. Syarikat gergasi Coca Cola tidak menyaman syarikat Pepsi Cola meskipun Pepsi menggunakan nama ‘Cola’ yang sama. Coca Cola muncul di pasaran pada tahun 1886 sementara Pepsi Cola pula dipasarkan 12 tahun kemudian iaitu pada 1898.
Pada waktu dahulu, soal hakcipta yang melibatkan harta intelek tidak menjadi soal sehinggalah pada kurun ke-19. Kini ia menjadi sesuatu yang penting dalam sistem perundangan. Kita beruntung sangat kerana soal hakcipta tidak menjadi kerenah generasi terdahulu. Apa jua idea dan ciptaan dikongsi dan digunakan sesama manusia. Jika ada idea yang lebih kurang sama, ia dirai, malah dihormati.
Bagaimana jika Karl Benz yang mencipta kereta menyaman penciptakereta yang lain kerana membuat model kenderaan yang hampir serupa? Gottlieb Daimler, Karl Benz, Nicolaus Otto dan Emile Levassor turut mencipta kereta yang mempunyai empat tayar dan sebuah stereng!
Betapa pula jika Archytas dari Tarentum menyaman setiap mereka yang meniru semua bentuk skru yang diciptanya? Jika dia berbuat demikian, tentu satu dunia pada hari ini tidak akan mempunyai bentuk dan saiz skru yang sama hingga menyukarkan dunia arkitektur.
Kerana itu, berterima kasihlah kita pada seorang makcik yang mencipta masakan asam pedas yang enak hingga kita dapat membuat resepinya tanpa membayar apa-apa royalti mahupun disaman oleh beliau mahupun generasi beliau!