MAAFCAKAP 7.2,2024

Saya teringat sewaktu di zaman remaja, ketika kawan-kawan meminati para penyanyi pop yeh-yeh seperti Jeffrydin, A Halim, A. Rahman Hassan dan Broery Marantika, saya meminati para pemain bolasepak Inggeris seperti Alan Ball, George Best, Peter Shilton dan Gordon Banks. Minat generasi saya dan teman sebaya ketika itu hanyalah sekadar mengumpul keratan akhbar foto mereka yang diselit pada fail sekolah.

Tetapi generasi abang-abang saya pula lebih hebat kerana mereka mengikuti stail berpakaian mereka yang diminati. Mereka mengikuti gaya peragaan penyanyi Elvis Presley, pelakon Dean Martin dan berambut ala-The Beatles. Ada juga yang meminati pelakon Bollywood Shammi Kapoor. Namun, stail P. Ramlee memang paling banyak menjadi ikutan.

Orang tua-tua pada generasi selepas merdeka pula lebih serius dalam meminati mereka yang berpengaruh. Mereka meminati para pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail dan Presiden Sukarno. Gambar-gambar mereka terlekat di ruang-ruang tamu.

Menyanjung dan meniru tingkah laku seseorang yang berpengaruh merupakan salah satu cara seseorang membina identiti dan agar berasa hebat dan penting. Imej yang dibawa pempengaruh itu dijadikan rujukan dan ikutan.

Jika dahulu, minat seseorang terhadap pempengaruh itu hanya sekadar meniru cara berpakaian dan gaya nyanyian, pada hari ini, minat seseorang terhadap pempengaruh yang diminati itu mencakup seluruh kehidupan idola itu.

Media sosial menjadi medan yang amat berkesan dalam mempengaruhi seseorang. Ini adalah kerana, seseorang pempengaruh itu biasanya mempunyai pasukan media sosial yang bertugas siang dan malam menyampaikan perkembangan seseorang idola itu.

Justeru itu, tidak mustahil bila seseorang peminat itu bukan sahaja tahu drama atau filem baharu lakonannya, malah kehidupan peribadinya. Apa makanan kegemaran idolanya, ke mana dia bercuti, majlis apa yang dihadiri, dengan siapa dia bertemu, akan dapat diikuti dengan rapi oleh seseorang peminat, dari celik mata hingga masuk tidur.

Minat yang begitu mendalam terhadap seseorang pempengaruh itu tentu akan meresapi jiwa seseorang hingga terbawa-bawa ke dalam dunia nyata dan fantasi termasuk mimpi. Justeru itu, minat sebegini boleh mencetus gangguan emosi bila ia sudah tidak dapat dikawal. Kita lihat betapa tindakan seseorang pempengaruh itu boleh menimbulkan polemik malah membentuk kabilah pro dan kontra seseorang pempengaruh itu. Di luar negara, sudah terjadi kes mencabut nyawa kerana mengikuti tindakan pempengaruh yang membunuh dirinya. Nauzubillah.

Ini tentunya tidak baik, malah tindakan bodoh. Jika tujuan awal seseorang mencari pempengaruh untuk dijadikan rujukan bagi membina identiti diri, kini si peminat seseorang pempengaruh itu sudah merosakkan identiti yang hendak dibina hingga menjadi hamba perasaan dirinya sendiri. Maaf cakap… apakah yang dimaksudkan sebagai idol worship atau idola sembahan? Apakah kita meminati eseorang pempengaruh itu hingga ke tahap ‘sembahan?’

Betapa pun, terkini, sudah ada pempengaruh yang mempamerkan tindak-tanduk yang baik. Penyanyi Alif Satar dengan program Geng Subuh Macam Jumaat telah mencetus fenomena yang amat positif. Begitu juga dengan Khairul Aming yang telah mempamerkan sikap keusahawanannya. Inilah golongan pempengaruh yang harus dicontohi, malah dijejaki.

Kita seharusnya faham apa yang kita mahu. Jika meminati seseorang pempengaruh sekadar suka-suka, kita hanya berkongsi gembira apabila sesuatu yang baik terjadi pada dia yang diminati itu. Jika tidak setuju pada apa yang dilakukan oleh idola itu, cukuplah sekadar menyuarakan rasa terkilan dan kesal. Jika idola yang diminati itu tidak berubah, eloklah kita tinggalkannya. Cari sahaja yang lain yang boleh dicontohi. Selama ini pun, setiap klik kepada hantaran seseorang pempengaruh itu mendatangkan sumber kewangan baginya!

Dia menjual ceritanya dan kita yang membeli! Bila kita lihat perhubungan itu adalah di antara pelanggan dan pembeli, agak mudah kita membuang emosi separuh mati bila menoleh dan pergi dari pempengaruh yang sudah tidak disukai lagi.