MAAFCAKAP 31.1.2024

Dua isu yang kemudiannya tular, berlaku pada minggu lalu. Yang pertama ialah permohonan maaf Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. Ketika media bertanya beliau mengenai penganjuran konsert Sebuah Epitome yang mengemukakan penyanyi Siti Nurhaliza, beliau memberi pandangan bahawa  mengadakan konsert pada hari menghampiri bulan Ramadan itu melalaikan umat Islam. Konsert itu akan berlangsung pada 9 Mac iaitu tiga hari sebelum Ramadan.

Biasalah, para netizen segera memberi pandangan yang pro dan kontra. Ada yang menyokong kenyataan mufti tersebut. Ada juga yang mempersoalkan mengapa Datuk Seri Mufti memberi pandangan secara terbuka, langsung mengaitkan tentang konsert-konsert dari luar negara yang dianggap bebas mengadakan persembahan tetapi tidak mendapat teguran mufti.

Namun, apa yang kurang kena ialah betapa sesetengah media menyatakan bahawa Siti Nurhaliza, ‘nekad’ untuk meneruskan konsert itu. Menurut Kamus Dewan, ‘nekad’  membawa maksud keras atau kuat kemahuan, terlalu berani, tidak mempedulikan apa-apa lagi atau tidak mahu me­ngalah. Pendek kata, Siti Nurhaliza, seolah-olah tidak peduli dengan pandangan Mufti Pulau Pinang.

Mengenali personaliti Siti Nurhaliza, saya percaya beliau tidak pun ‘nekad’ meneruskan konsert itu walaupun setelah diberi pandangan dari seorang mufti. Sebaliknya beliau hanya ‘bertekad’ iaitu berazam untuk meneruskan Konsert Epitome untuk Yayasan Nurjiwa oleh kerana ia adalah konsert kebajikan. Untuk nota, ‘epitome’ bermaksud contoh yang terpuji.

Sebuah lagi isu yang tular ialah mengenai sebuah syarikat perdagangan emas, Quantum Metal. Baru-baru ini, terpapar tajuk akhbar  ‘Bank Negara Malaysia Nafi Terlibat Dengan Quantum Metal’ ‘Aktiviti Quantum Metal Tidak Diluluskan, Dilesenkan BNM’ dan ‘Tidak Benar Aktiviti Quantum Metal Diluluskan Oleh Bank Negara Malaysia.’ Tajuk berita begini menjadi heboh di kalangan para pelabur di syarikat itu, mereka yang menjalankan bisnes urusniaga emas dan para netizen yang terus menuduh mereka di dalam syarikat itu adalah ‘scammer.’

Jika diteliti, kenyataan Bank Negara Malaysia itu hanya menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Quantum Metal beroperasi dengan kelulusan institusi itu. Walhal, syarikat itu  adalah institusi pelapor yang dikehendaki melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan aktivitinya daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

Sampai bila kita hendak menjadi hakim yang terus menghukum tanpa benar-benar meneliti kesahihan sumber sesebuah berita itu, dan mereka yang membawa berita itu? Selama ini, banyak pihak yang berkata, pihak yang menjadi pelapor berita itu memilih tajuk yang sensasi sebagai click bait atau umpan supaya pembaca ‘klik’ untuk menatap berita seterusnya.

Namun kini timbul pula sesebuah berita itu menjadi isu kerana pemilihan perkataan yang tidak sesuai. Samada disengajakan untuk sensasi mahupun kerana kurangnya perbendaharaan kata pelapor dan mereka di jabatan editorial, ia menjadi sesuatu yang buruk bila ia melibatkan pihak-pihak yang mempunyai pengaruh rasmi.

Mufti Pulau Pinang adalah simbol yang mewakili  sudut pandang rasmi agama Islam. Siti Nurhaliza pula adalah ikon yang banyak sumbangannya pada dunia seni negara. Begitu juga Bank Negara Malaysia yang menjadi ‘ikon’ kewangan negara dan Quantum Metal pula syarikat sah yang dianggotai oleh ribuan para pelabur.

Pihak yang menjadi institusi pelapor berita sepatutnya lebih berhati-hati. Pihak media boleh sahaja memilih berita dari segi sensasi dan human interestnya. Bagaimana pun, jika ia melibatkan individu mahupun institusi yang sah dan berpengaruh, pihak media perlu memberi tanggungjawab itu kepada staf di peringkat Editor atau Editor Kanan bagi menanganinya. Ini adalah tanggungjawab pihak media. Maaf cakap… staf baharu apatah lagi pelajar latihan amali seharusnya ditugaskan menangani berita-berita yang lebih umum.

Kealpaan editorial media akan menghuru-harakan emosi para netizen, lalu menghakimi apa yang telah mereka baca dengan menghukum menurut emosi yang dicetuskan oleh pihak media sendiri!