MAAFCAKAP 24,1,2024
Tidak lama dahulu, saya pulang ke kampung halaman bersama keluarga. Ia mengheret memori episod-episod semalam ke hari ini. Hampir 50 tahun saya meninggalkan Kampung Sri Lalang, Mersing untuk menyambung belajar di UiTM Cawangan Dungun Terengganu.
Setelah Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1975, saya berangkat dengan teksi ditemani arwah ayah. Saya nampak emak melambai di tingkap sebaik sahaja teksi melintasi rumah saya. Wajah itu, lambaian itu, masih segar lagi dalam ingatan.
Sejak itu, saya hanya pulang ke kampung pada cuti semester. Apabila saya melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam, saya semakin jarang pulang ke kampung. Ibu dan ayah telah kembali ke rahmatullah dan saya akan pulang ke Johor Bahru pula; ke rumah abang-abang yang tinggal di sana.
Kebetulan isteri saya sekampung. Jadi, untuk beberapa tahun setelah berumah tangga, saya akan pulang ke kampung. Ia menyegarkan segala nostalgia. Saya bagai pulang untuk mengutip segala yang ditinggalkan. Rumah, surau, masjid, sekolah, kedai dan segala jalan, lorong serta denai muncul secara lahiriah di depan mata.
Pernah pada suatu ketika apabila pulang ke kampung, saya berlari ke pesisiran pantai Mersing lalu terus menghirup air lautnya untuk melepaskan rindu! Di laut itulah tempat saya mandi, bermain dan bercanda dengan kawan-kawan sebelum masuk ke sekolah agama.
Imej-imej semalam berlari-lari singgah dan memapar segala gambar walau ke mana mata saya memandang. Cuma, apa yang terpapar kini sudah berlainan dari sebelum ini. Tidak mengapa kerana diri ini bagai berada di tahun-tahun lampau bila wayang semalam mula berputar ke depan mata bila ia dilonjakkan dari kotak memori.
Pernah satu kali saya dan keluarga pulang ke kampung, kononnya sebagai pelancong. Kami tidur di hotel, berjumpa kawan-kawan lama dan makan tidur semata-mata. Pada suatu ketika, saya hendak mencari sebuah restoran kampung yang tular di media sosial.
Konon-kononlah sebagai orang moden, saya gunakan GPS mencari arah. Kawasannya saya tahu tetapi tidak juga jumpa-jumpa setelah memandu beberapa ketika. Akhirnya, saya tutup GPS dan bertanya orang kampung di situ. Sebentar sahaja saya sampai ke restoran yang dituju! Rupa-rupanya kita tidak boleh abaikan yang lama sementelah ada yang baharu.
Memori semalam banyak yang manis dari yang pahit. Tetapi bagaimana pula jika kita kembali ke tempat kerja lama setelah meninggalkannya? Apakah memori semalam kita di situ manis-manis atau banyak yang kelat dan pahit?
Buat permulaan, biasanya kita tinggalkan tempat kerja yang lama kerana ingin beralih angin kerana mahukan pendapatan yang lebih baik, mahu melanjutkan pelajaran atau mengikut suami yang diarahkan berpindah ke tempat kerja yang lain.
Walau apa pun, oleh kerana tempat kerja bukanlah tempat kita membesar dan bukannya tempat tumpah darah rakan sekerja yang lain, kembalinya kita ke tempat kerja yang lama tidak banyak menimbulkan nostalgia indah-indah hari semalam.
Barangkali kita akan bertemu rakan-rakan sepejabat yang sudah naik pangkat. Ataupun bos garang yang sudah jarang menyinga sejak diserang penyakit jantung. Kita beruntung jika dapat bertemu Makcik Kiah yang masih menjual nasi lemak di bawah pokok di depan pejabat.
Betapa pun, kita akan menyarung topeng untuk memaparkan wajah ‘okey’ pada rakan-rakan sepejabat yang lama. Andainya kita sudah menaiki tangga menjadi seseorang, kita tidak mahu rakan-rakan sekerja yang lama berasa tidak setaraf dengan kita pula. Sebaliknya, jika nasib kita kurang baik di tempat baharu, kita juga menunjukkan wajah yang okey kerana tidak mahu memaparkan wajah kesal meninggalkan syarikat lama itu.
Walau apa pun, samada kenangan lama itu baik atau buruk, kita harus melangkah terus. Apa yang kita telah tinggalkan itu sebenarnya telah mencorak diri kita pada hari ini. Malah kita beruntung sekiranya kita mengetahui bahawa pengalaman hidup itulah yang semakin mengkayakan kita. Samada kampung halaman mahupun tempat kerja yang telah ditinggalkan, ia memberi kita pengalaman yang mengajar kita untuk memperbaiki diri.
Yang lebih penting ialah keupayaan kita untuk move on dan menjadi insan yang berusaha ke arah kesempurnaan. Perhatikan teman-teman lama sekampung atau teman-teman sepejabat lama yang menemui kita. Apakah kenangan indah tentang kita terpamer di wajahnya apabila mata bertemu mata?