MAAFCAKAP 27.12.2023
Secara puratanya, 45% aktiviti yang kita lakukan setiap hari adalah rutin. Rutin bermakna, aktiviti yang kita buat pada waktu yang sama pada setiap hari. Mandi, berus gigi, membuat kopi dan memandu ke pejabat adalah di antara aktiviti rutin. Demikian menurut kajian Tim Ranzetta, seorang Pengurus Kewangan dari Next Gen Personal Finance, Manhattan.
Ini bermakna bagi orang biasa, 55% atau lebih separuh dari aktiviti harian kita adalah yang bukan rutin, yang berbeza setiap hari. Persoalan di sini ialah, apakah kita tergolong di kalangan mereka yang biasa iaitu melakukan 45% aktiviti rutin dan 55% aktiviti di luar rutin? Jika begitu, kita hanyalah orang biasa yang hidup di bawah tempurung kebiasaan.
Orang biasa adalah, maaf cakap… orang ‘koman.’ Orang biasa melalui hidup yang hampir serupa pada setiap hari. Keadaan yang mengatur jalur hidupnya, bukan dia yang menentukan hala tuju masa depannya. Jika pun ada keluarbiasaan yang berlaku terhadapnya pada sesuatu ketika, dia tidak akan berasa selesa dan akan memberontak. Ini menjadikan dia mudah koyak!
Seorang Jurulatih Prestasi, Chris Sparks yang melatih ramai Ketua Pegawai Eksekutif dari New York telah menggunakan konsep forcing function atau paksaan untuk berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Secara ringkasnya, forcing function ialah bertindak untuk melakukan sesuatu tugas hingga menunjukkan hasil.
Sudah tentu, sikap yang berlawanan dengan konsep forcing function ini ialah procrastination ataupun sikap bertangguh. Di antara punca sikap bertangguh ini akibat kurang pengetahuan terhadap tugas yang harus dilakukan, bimbang akan kegagalan atau faktor kurang fokus.
Bagaimanakah kita dapat mengaplikasikan konsep forcing function iaitu seperti memaksa diri berbuat sesuatu hingga kita menjadi manusia yang berorientasikan tindakan? Perkara pertama yang harus dikenalpasti ialah apakah aktiviti rutin dan bukan rutin harian kita 45%-55% mewakili golongan orang biasa? Lebih buruk lagi jika rutin seharian kita melebihi 70%! Ini boleh berlaku jika kita adalah orang yang asyik menekur menatap telefon melayari pelbagai media sosial atau permainan komputer. Telefon dikenalpasti menjadi di antara faktor yang melalaikan seseorang.
Jika begitu, apakah kita tergolong di kalangan mereka yang mempunyai masalah prestasi kerja? Kita boleh kesan apabila kita berdepan dengan banyak kerja-kerja kita lewat siap, kerap membuat kerja lebih masa atau mendapati kerja-kerja kita semakin sehari semakin menimbun.
Yang penting ialah bagaimana kita dapat mengurangkan rutin agar menjadi lebih produktif. Cara yang mudah ialah mengenal pasti manakah rutin yang wajib dan manakah rutin yang boleh diubah menjadi sesuatu yang tidak rutin. Mandi, memberus gigi dan makan minum adalah rutin yang wajib.
Berjalan-jalan ke meja rakan sepejabat, bersembang sambil minum-minum di gerai termasuk juga waktu kita menekur melihat telefon atau menonton TV adalah di antara rutin tidak wajib yang boleh dijarak atau dipendekkan masanya. Ini akan memberi ruang masa untuk aktiviti-aktiviti di luar rutin.
Bina sebuah jadual harian sebagai monitoring tool yang berkesan. Melalui penjadualan, kita boleh merekod aktiviti seharian. Buatlah jadual mengikut format jadual waktu di sekolah dahulu. Ia pula seharusnya bersifat holistik, bukan sahaja merekod kerja-kerja rasmi tetapi termasuk aktiviti peribadi seperti menghantar kereta untuk diservis, berkebun atau memvakum ruang tamu. Kita adalah orang yang sama, samada kita berada di pejabat, di rumah atau di mana-mana.
Era pandemik di mana kerja di rumah atau work from home telah menjalin kehidupan di mana kita membuat kerja pejabat di rumah dan membuat hal peribadi pada waktu pejabat. Konsep ‘hal pejabat jangan dibawa ke rumah’ sudah tidak praktikal kerana ‘urusan rumah sudah banyak dibawa ke pejabat.’ Jadi, usah asingkan aktiviti kerja dan juga peribadi.
Jadual yang dibina nanti akan memperlihatkan betapa banyak aktiviti rutin yang kita lakukan berbanding dengan aktiviti di luar rutin yang kita amalkan. Malah, jangan terkejut bila kita lihat betapa banyak masa yang kita bazirkan.
2023 mula terbenam. 2024 pula hampir menjelma. Begitu pantas masa beredar. Sedar, sedar kita sudah berada di penghujung tahun. Dalam skala 1 hingga 10, berapakah angka pencapaian yang terlintas di minda kita? Jika angkanya kurang 6, maka banyak yang perlu kita lakukan untuk mengubah diri dan masa depan sendiri.