MAAFCAKAP 13.12.2023
Bolehkah kita menjadi seorang jutawan dengan menulis? 50 tahun yang lalu, persoalan ini boleh dianggap bermimpi pada siang dan juga di malam hari. Namun, pada hari ini, ia bisa terjadi. Malah, ia mula menjadi sesuatu yang biasa.
Bagaimana ia boleh dilakukan? Tulis sebuah buku dan jual buku itu dengan harga RM50.00 kepada 20,000 orang pembaca. Darabkan RM50,000 dengan 20,000 orang dan kita akan beroleh jumlah jualan RM1,000,000!
Hujung minggu lepas, saya ke seminar HIPS 23 (Himpunan Penulis Swaterbit 2023) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Aziz Shah, Shah Alam. Seminar yang diberi tajuk ‘Jana 7 Angka Dengan Buku’ itu menarik perhatian saya untuk menyertainya.
Tentunya saya masih skeptikal dengan tajuk seminar itu. Ketika menerajui syarikat penerbitan Alaf 21 mulai 1997 dahulu, kami sepasukan berhempas pulas untuk mendapat sejuta yang pertama. Hanya selepas tiga tahun, baharulah jualan kami mencecah ke angka melebihi RM1 juta.
Sebaik melangkah ke dewan seminar, saya kian teruja bila mendapati lebih 250 peserta memenuhinya. Ada wajah-wajah yang saya kenal tetapi lebih ramai wajah-wajah yang saya belum pernah saya temui.
Terdapat beberapa orang penerbit, pereka, pencetak, pengedar buku fizikal dan online yang hadir. Namun yang lebih ramai ialah para penulis yang baharu menulis 1-2 buah buku dan ramai lagi yang baru hendak belajar menjual buku. Ini bukan seminar bagaimana hendak menjadi seorang penulis. Sebaliknya, ini adalah seminar tentang bagaimnana hendak menjual hasil karya.
Tuan Ahmad Isa, penulis buku Ustazah Basikal; Tuan Hairul Faizal Adli, CEO BookCafe, dan Tuan Syaizul Amal, Pengasas Syarikat Blink adalah mereka yang telah mencapai jualan 7 angka. Mereka memotivasi para peserta dengan berkongsi pengalaman mereka menjual buku.
Sebagai penulis, seseorang itu perlu menyedari bahawa diri sendiri adalah sebuah jenama. Inilah permulaan perjalanan seseorang penulis yang mahu menjual karyanya. Dato’ Roslan Ab Hamid, sebagai seorang storyteller berkongsi idea dengan topik Branding Diri Sebagai Penulis.
Forum bertajuk ‘Terbit, Terbit Tak Jual’ menitik beratkan kepada betapa pentingnya merangka strategi menjual sebelum kita menulis sesebuah buku. Tuan Firdhaus Muntazar, Tuan Danial Arif dan Tuan Aqif Azizan, adalah tiga pemuda yang berkongsi pengalaman korporat dalam menghasilkan pelan media dan pemasaran.
Tajuk-tajuk kuliah oleh Paeh Brian (Menjual Skil Dengan Buku), Hafizul Faiz (Khurafat Dalam Marketing) dan Masniza Mohd Nor (Terbit Buku Sendiri) melengkapi acara di seminar itu.
Oleh kerana ia adalah sebuah seminar penulis tentang pemasaran, program itu disulami dengan banyak selingan dan kejutan seperti seminar-seminar bisnes yang lain. Tuan Hafiz Latiff yang juga Presiden Persatuan Booktube Malaysia sebagai pengacara dan teman penyampai Baiduri MRosli sentiasa menghangatkan suasana dingin di dewan itu.
Usaha dua tulang belakang seminar Puan Siti Nazuha Ghazali Lee (Book Hero) dan Puan Jeehan Adam (Teebook House) patut dihargai sebagai mereka yang turut membara industri buku dengan menganjurkan seminar ini.
Berbalik kepada persoalan, apakah kita boleh menjana 7 angka dengan menulis? Saya mendapat jawapan yang tuntas apabila melangkah ke parkir. Terlintas di fikiran saya, rupa-rupanya menjual buku adalah satu keupayaan untuk memahami dan mengaplikasi ilmu matematik. Jika kita pandai mengira, mencapai tujuh angka lalu menjadi seorang penulis jutawan tidak sesukar yang difikirkan.
Namun, terlintas juga di sanubari kata-kata tinggalan orang tua-tua, ‘Sikit-sikit Lama-lama Jadi Bukit.’ Rata-rata para penyampai seperti sepakat mengingatkan peri pentingnya kita konsisten dalam berusaha meskipun secara sedikit demi sedikit. Iya, saya akan berusaha supaya sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Semoga ia bukannya sikit-sikit lama-lama langsung tak menjadi!