MAAFCAKAP 6.12.2023
Akhbar Sinar Harian melaporkan, pada tahun 2022, rakyat Bumiputera yang berjumlah 22.85 juta, berbelanja RM28 bilion sebulan. Ertinya, mereka berbelanja RM336 bilion setahun. Laporan ini dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kaum Cina yang berjumlah 7.4 juta pula berbelanja RM12.3 bilion sebulan, diikuti kaum India yang berjumlah 2.2 juta penduduk, berbelanja RM3.2 bilion sebulan. Bumiputera berbelanja paling tinggi kerana peratus mereka ialah 69.9 juta penduduk; hampir 70 % jumlah penduduk Malaysia.
17.7 % perbelanjaan mereka diperuntukkan untuk makanan dan minuman, restoran dan perkhidmatan penginapan 16.3 %, pengangkutan 11.8 %, maklumat dan komunikasi 6.7 %, penjagaan diri, perlindungan sosial, barangan dan perkhidmatan, 6.3 %, hiasan kediaman 4.5% dan pakaian dan kasut 3.1 %.
Patutlah kita nampak seolah-olah orang Melayu sahaja yang memenuhi kafe di hotel dan pasaraya, di pelbagai restoran makanan segera, medan-medan selera dan warung, serta orang Melayu juga yang berbaris untuk membeli sebungkus nasi lemak di gerai tepi jalan.
Oleh kerana jumlah mereka yang ramai, ia memberi kesan kepada kempen tular untuk memboikot produk dan perniagaan yang berkaitan dengan Zionis. Tiba-tiba, banyak restoran-restoran makanan segera menjadi lengang!
Kempen tular anti-Israel sudah banyak kali diadakan. Apabila berlakunya pengeboman besar di Palestin, orang Islam di Malaysia akan bertindak balas dengan cara memboikot. Meskipun selama ini ia bersifat sementara, tidak mustahil pada kali ini kempen boikot ini akan berpanjangan, malah berkekalan.
Orang Melayu kian sedar dan semakin bijak membuat perkiraan. Jika sebelum ini kempen untuk Buy Muslim First berbaur politik, pada kali ini kempen Buy Muslim First sudah berubah semangatnya.
Mereka hanya boikot produk pro-Israel, tetapi tidak memboikot keluaran bukan Bumiputera tempatan. Selain daripada jenama Adabi, Habhal, Jalin dan Saji, orang Melayu masih membeli produk Alagappas, Aik Cheong, Yeo’s, Massimo, Old Town White Coffee, mengunyah asam Mo Far Ko dan membeli pil Chi Kit Teck Aun untuk pulihkan sakit perut anak mereka.
Ini menjadikan kempen anti produk pro-Israel sudah menjelma menjadi kempen Buy Malaysian First. Sebab itu pada kali ini kita tidak mendengar perniagaan bukan Melayu bersuara menyatakan kebimbangan mereka ke atas kempen ini kerana orang Melayu yang menjadi pengguna terbesar tahu produk kepada siapakah sasaran mereka.
Yang menarik, kempen anti produk pro-Israel kali ini tidak dijuarai sesiapa samada mana-mana parti politik mahupun mana-mana NGO. Tiada wajah-wajah yang muncul di dada media sebagai ikon anti produk pro-Israel. Sebaliknya kempen tetap melata dan menular di media-media sosial kerana orang Melayu sudah faham peranan mereka dalam kempen ini.
Apakah yang kita boleh nampak dari senario ini? Kemakmuran Ekonomi. Kita nampak kuasa beli orang Melayu kerana jumlah mereka yang besar. Orang Melayu boleh makan dan guna apa sahaja, buatan sesiapa sahaja asalkan ia halal. Tetapi apabila mereka curiga di atas apa sebab pun, mereka hanya berpaling dan meninggalkan sesebuah produk meskipun ia sudah mendarahdaging di dalam diri mereka.
Orang Melayu amat bertimbangrasa. Mereka tidak akan sampai hati untuk memboikot mana-mana produk semata-mata kerana sentimen kaum. Betapa pun, adalah diharapkan tiada permainan politik dalam menentukan pola pembelian orang Melayu kerana mereka lebih tahu apa yang mereka mahu dan tidak mahu. Mana-mana pihak yang menggunakan sentimen perkauman sebagai senjata politik akan kecundang.
Justeru itu, para pengusaha di Malaysia tidak kira kaum tidak perlu bimbang dengan tabiat kepenggunaan orang Melayu. Buatlah apa sahaja yang murah, sedap, molek dan halal. Orang Melayu akan raikan apa jua jualan yang akan menguntungkan sesiapa sahaja.
Jika sesebuah produk itu baik dan halal, meskipun dibuat oleh yang bukan Islam, jangan ada sesiapa pun yang mengkritik. Ada orang Melayu yang akan membela!