MAAFCAKAP 29.11.2023

Kita berada di era ketamadunan sedunia. Komunikasi melalui jalan darat, laut dan udara mampu  menghubungkan manusia secara global. Kini, sesebuah ciptaan atau penemuan baharu dari sesebuah tempat, pantas tersebar ke seluruh dunia secara digital dalam beberapa saat sahaja. 

Dahulu, tamadun hanya meliputi sesebuah wilayah seperti tamadun Mesopotamia, Mesir, China dan Inca. Kemudian, wilayah sesebuah tamadun itu meluas dan mempunyai pengaruh melalui empayar seperti Rom, Parsi, Russia, Mongol dan Uthmaniyyah.

Sesebuah tamadun itu biasanya diterajui oleh golongan pemimpin seperti Maharaja dan Sultan. Apabila satu demi satu empayar runtuh, penubuhan negara-negara mula muncul. Malangnya, golongan yang memimpin menggantikan Maharaja dan Sultan seperti Presiden, Perdana Menteri, mahupun golongan yang berpengaruh seperti golongan aristokrat, politikus dan seniman sudah tidak lagi berkata mengenai tamadun.

Tamadun itu seolah-olah sesuatu yang understood atau sudah dimaklumi sentiasa ada.  Kita mengandaikan yang kita sudah tentunya manusia yang bertamadun sementelah mewarisi tamadun manusia terdahulu. Soalnya, benarkah?

Bila diteliti pandangan Ibn Khaldun, sejarawan Islam melalui karyanya Al-Mukadimmah; tamaddun itu mempunyai dua ciri iaitu Hadharah yang meliputi aspek  akidah, syarak, akhlak, falsafah, kebudayaan dan peradaban. Ciri yang satu lagi iaitu Madaniyyah pula menjurus kepada aspek kebendaan dalam kehidupan yang lebih bersifat umum kepada semua manusia.

Ahli falsafah sejarah British,  Arnold J. Toynbee pula menjelaskan tamadun sebagai suatu sistem masyarakat yang memperkasakan sistem politik, ekonomi, sosial serta kesenian dan kebudayaan. Justeru itu, tamadun itu adalah sesuatu yang baik, murni dan luhur yang sentiasa menjadi amalan serta anutan sesebuah masyarakat.

Tetapi, apakah kita sedar yang kita adalah manusia yang bertamadun dan berperangai seperti insan bertamadun? Rasanya tidak, kerana istilah tamadun itu sendiri sudah begitu asing buat kita. Ia sudah lama tidak disebut, malah kita berasa pelik bila menggunakan istilah itu pada hari ini.

Lihatlah di sekeliling kita. Apakah kita manusia yang mengamalkan tamadun? Jika dahulu, kita mengutamakan norma-norma masyarakat, kini kita mengutamakan pilihan dan perbuatan yang individualistik. Malah, kebebasan individu diberi hak melebihi kepentingan ramai. Hal ini melemahkan institusi masyarakat.

Dalam hal kekeluargaan, seseorang itu berumahtangga untuk menambah zuriat bagi generasi akan datang. Kini, tingkah laku seksual yang songsang ingin dinormalisasikan. Perbahasan sudah diganti dengan pertengkaran; bukan lagi mengkritik tetapi mengata, bukan hanya membidas tetapi mengutuk. Dewan Parlimen yang dianggotai oleh mereka yang sepatutnya membawa tamadun telah menormalisasikan sesuatu yang anti-tamadun.

Jika kita perhatikan dalam kehidupan seharian, kita sukar bertegur sapa dengan orang lain, meskipun sekadar bertukar senyuman. Lontaran senyuman pun disambut dengan  jelingan penuh curiga. Bersalaman pun sekadar menyentuh jejari. Jika cium tangan pun, mencium tangan sendiri.

Kesedapan menjamah makanan yang sedap tidak lagi diekspresi melalui kunyahan yang perlahan dan penuh asyik. Sebaliknya, dihadap dengan penuh lahap  hingga tidak peduli mulut yang bersememeh. Makan dengan penuh adab dan beretika sudah tidak dipedulikan.

Gaya kita, perangai kita seolah-olah menunjukkan yang kita bukan insan dari spesies homo sapien, sebaliknya dari spesies homo erectus. Homo sapien adalah spesies manusia dari keturunan Adam a.s., sedangkan spesies homo erectus adalah keturunan manusia sebelumnya. 

Inilah spesies jenis manusia kuno, berotak kecil, tidak punyai kepandaian bertutur membina sukukata, apatah lagi ayat. Mereka tinggal di gua, berburu dan sentiasa bergaduh untuk menguasai kumpulan yang lain.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada adat dan adab. Sudah tiba masanya kita hidupkan semula perkara baik yang menjadi amalan kehidupan seorang manusia. Tetapi jika manusia yang berperangai binatang seperti Zionis itu disokong, di manakah keinsanan kita? Adalah satu ironi bila membunuh itu dilihat sebagai satu cara untuk membina sebuah kehidupan.

Sudah sampai masanya kita semua reset segalanya bermula dengan diri kita sendiri. Bermulalah dengan satu soalan: Apakah aku ini sekadar seorang manusia atau seorang insan?