MAAFCAKAP 22.11.2023
Jika kita ke beberapa kawasan di bandar-bandar besar dan bandar-bandar kecil, kita akan terjumpa beberapa tempat yang didiami oleh oleh pendatang asing. Orang Indonesia, Myanmar, Vietnam, Rohingya, Bangladesh dan juga mereka yang berkulit hitam telah membina koloni masing-masing.
Mereka bukan sekadar mendiami di sesebuah kawasan, malah mereka telah membina sebuah perkampungan. Kediaman mereka dilengkapi dengan kemudahan seperti elektrik, peti sejuk dua pintu, paip dan alat penapis air dan akses kepada internet.
Kampung mereka juga kelihatan lebih selesa daripada sesetengah kampung orang tempatan. Mereka juga nampaknya punyai wang untuk berbelanja. Tidak boleh dinafikan yang mereka bekerja keras untuk memperolehi kesemua itu. Dahulu mereka berjuang untuk hidup. Kini mereka sudah mempunyai sebuah kehidupan.
Bila kita mengunjungi ke perkampungan ini, kita boleh terpana kerana di situ juga terdapat kedai kopi, kedai runcit, gunting rambut, bengkel kenderaan dan juga dobi. Mereka berjaya membina suasana penempatan seperti di tempat asal mereka.
Pergilah ke kedai runcit mereka. Ia bukan sekadar dipenuhi oleh pelbagai jajan dan rempah ratus buatan negara ini, malah banyak sekali produk-produk dari negara asal mereka terdapat di situ. Siapakah yang menjadi para pelanggan di kedai runcit ini? Tentulah penduduk kampung di situ. Mereka menjual sesama mereka dan membeli sesama mereka.
Inilah yang membolehkan sebilangan di kalangan mereka yang mempunyai wang untuk melabur dan membuka perniagaan di kawasan perumahan kita, kemudian ke mall-mall kecil dan akhirnya bertapak di pasaraya.
Pada suatu ketika, kawasan Petaling Street di Kuala Lumpur dipenuhi oleh para peniaga China. Kini ia dikendalikan oleh para peniaga Bangladesh. Begitu juga pasaraya Low Yat yang suatu ketika dahulu dipenuhi oleh para peniaga China, tetapi kini dikendalikan oleh peniaga-peniaga Pakistan.
Golongan pendatang yang bermusafir ke negara orang begitu kuat menjaga perhubungan sesama mereka. Mereka menjaga keselamatan, adat resam, untung nasib, agama dan ekonomi sesama mereka. Maka tidak hairanlah sebagai golongan yang berhijrah, mereka mempunyai networking yang kukuh hingga dapat bangun, berdiri, berlari dan kemudiannya meninggalkan pula status kehidupan rakyat tempatan.
Berpuluh tahun dahulu di era sebelum dan baharu selepas merdeka, terdapat peniaga-peniaga China yang membuka perniagaan kedai runcit di kampung-kampung Melayu. Penduduk kampung tidak perlu ke pekan lagi untuk membeli barangan keperluan harian. Akhirnya, satu-satunya orang China di kampung Melayu boleh hidup senang.
Dua senario ini iaitu pembinaan ekonomi pendatang asing dan juga peniaga China di kampung Melayu, kejayaan mereka itu berpunca dari pembinaan sebuah ekosistem ekonomi. Dalam konteks ini, pendatang asing membina ekosistem ekonomi sesama mereka. Peniaga China di kampung Melayu itu masuk ke dalam ekosistem ekonomi Melayu.
Membina ekosistem ekonomi adalah sesuatu yang amat penting. Dalam keadaan pertukaran matawang kita yang tidak kukuh, ekonomi domestik negara kita sendiri perlu diperkukuhkan. Kita pernah mengadakan kempen ‘Membeli Barangan Buatan Malaysia.’ Barangkali, dalam keadaan mewah, sambutan rakyat tempatan pun tidak seberapa.
Namun, dalam keadaan ekonomi yang kian getir, kempen membeli barangan buatan Malaysia boleh membantu. Barangan kita sendiri pun punyai standard yang setanding dan juga mempunyai produk yang sama bagi setiap kategori. Sebut sahaja samada biskut, coklat, minuman, alat pencuci, mekap, alatulis atau makanan tambahan, kita juga ada produk sendiri.
Yang penting ialah kempen yang berkesan agar rakyat dapat menukar jenama bagi memperkukuh ekosistem ekonomi. Lagi pula, peruncitan adalah keperluan harian setiap penduduk Malaysia. Ia mudah difahami dan dimalkan.
Dalam pada itu, pemboikotan barangan yang dipercayai pro-Israel secara selarinya akan menjadi mangkin kepada pembinaan ekosistem ekonomi. Pemboikotan itu kini disertai dengan kempen memperkenalkan jenama-jenama tempatan sebagai ganti kepada jenama-jenama yang diboikot. Kempen ini sudah tular dan merakyat. Bila ia berterusan, rakyat Malaysia akan selesa mengutamakan produk tempatan lantas membantu memperkukuh ekosistem ekonomi negara.