MAAFCAKAP 14.11.2023
Suatu fenomena yang menarik dapat kita lihat bila tercetusnya Taufan Al-Aqsa mulai 7 Oktober yang lalu. Kita mula nampak watak-watak yang terlibat mula memperlihatkan wajah-wajah hodoh masing-masing!
Di peringkat antarabangsa, kita lihat sikap angkuh Israel yang mentulikan telinga dari bantahan umat manusia di serata dunia. Malah, tanpa segan silu, mereka menggiatkan tindakan memerangi tentera Hamas secara membabi buta dengan membunuh wanita, kanak-kanak dan orang awam.
Sidang kemuncak tergempar Liga Arab dan juga Negara-negara Islam hanya sidang yang retorik. Tidak ada keputusan konkrit samada dari segi politik dan ekonomi, apatah lagi ketenteraan berhubung dengan tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin. Inilah padah normalisasi yang telah dipersetujui oleh banyak negara-negara Timur Tengah sejak tahun-tahun 70an lagi. Seolah-olah normalisasi itu telah menjadikan kekejaman Israel itu sesuatu yang normal.
Di negara kita sendiri kita mula nampak tanda-tanda lemau pendirian sesetengah pemimpin. Larangan bertakbir, larangan mengutuk Israel, berpakaian dan mengibarkan bendera Palestin, malah memberi komen yang seimbang iaitu sama-sama memuji atau mengutuk Israel dan Palestin juga disarankan. Wajah apakah yang ingin mereka serlahkan?
Malah, di tengah-tengah panasnya kritikan dan kutukan kita terhadap kekejaman Israel, sudah ada suara-suara yang tidak teragak-agak memihak kepada Israel, malah mengkritik tentera Hamas yang membela kelangsungan hidup rakyat Palestin.
Namun, suara-suara yang cekal dan semakin tegar ialah suara-suara rakyat jelata. Dan suara-suara itu semakin lantang menggaung hingga memberi kesan kepada banyak pihak yang mula kendur dalam menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Para pejuang Hamas adalah orang awam yang bernafaskan semangat juang yang kental untuk berjihad. Mereka berjuang untuk kemenangan; samada menjulang kemenangan di dunia atau memperoleh kemenangan akhirat apabila ruh syahid mereka dijulang para malaikat naik ke langit. Mereka tidak takut mati kerana kemenangan itu pasti buat mereka.
Berbalik kepada ramai di kalangan kita, suara-suara yang menentang kezaliman Israel kerana mahukan keadilan itu semakin jelas. Selepas berarak menunjukkan bantahan, mereka ligat menyuarakan pendirian di media-media sosial. Mereka menyebar maklumat dan turut membuat komentar secara terbuka.
Siapakah mereka ini? Kebanyakan mereka bukannya selebriti dan bukan juga pempengaruh. Tiba-tiba mereka muncul kerana berasa terpanggil mahu melontarkan pandangan dan menyatakan pendirian. Siapakah mereka? Mereka adalah orang biasa yang kita tidak pernah kenal sebelum ini. Orang biasa seperti juga pejuang Hamas yang terdiri daripada orang awam.
Tanpa kempen besar-besaran dan terencana, mereka meniup semangat para netizen untuk bertindak. Selain dari menggalakkan kita menyumbang kepada dana untuk rakyat Palestin, ada juga netizen yang pantas memberi amaran kepada kita agar menjauhi pautan-pautan scammers yang mengambil kesempatan. Tidak kurang yang menyebar berita terus dari rakyat Palestin medan perang, mengalahkan laporan media-media besar antarabangsa.
Tetapi yang paling jelas ialah tindakan boikot. Tidak ada sesiapa mahupun ada struktur rancangan untuk memboikot. Ia berlaku kerana masing-masing sudah memahami malah menjiwai semangat menentang Israel mengikut cara yang mereka mampu.
Bila masing-masing membuat pengeposan video premis-premis yang lengang ia memberi mesej bahawa boikot sedang berjalan. Dan, kesannya benar-benar terasa bila mana ramai yang menjauhi tempat-tempat yang mereka percayai ada kaitan dengan Israel. Boikot ini mula menjalar kepada produk-produk di pasaraya.
Ini bukannya kuasa rakyat semata-mata. Ini adalah kuasa kebenaran menentang kebatilan. Alhamdulilah, ramai yang peka dan terus menyokong dengan tidak membeli produk-produk yang mereka yakini memihak kepada kejahatan.
Mereka seperti riwayat seekor burung yang cuba memadam api yang membakar Nabi Ibrahim as dengan menitiskan air dari paruh kecilnya. Walaupun ia tahu usahanya tidak akan memadam api, namun ia percaya usahanya itu dipandang ALLAH swt. Kita juga seperti burung itu. Kita berusaha menentang musuh menurut kadar kemampuan kita. ALLAH swt sahaja yang menentukan hasil usaha kita menurut kehendak-NYA.