MAAFCAKAP 30.8.2023
Isu pengajaran modul Hadis 40 Imam Nawawi boleh dianggap selesai bila MCA menyatakan mereka kini berpuas hati dengan rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selepas mendapat penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pertikaian timbul susulan perkataan ‘rintis’ seperti yang dilaporkan beberapa media dan membawa gambaran ia akan diperluaskan kepada institusi selain dari sekolah agama.
Sebelum itu, Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menolak pengajian penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana beranggapan modul itu akan melibatkan para pelajar bukan Islam.
Tentangan Majlis Perundingan itu telah mendapat reaksi daripada pelbagai NGO Muslim seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Parti politik Muslim seperti Pemuda Perikatan Nasional, Pemuda UMNO dan Lajnah Pendidikan Pas Pusat telah bersuara untuk mengingatkan pihak-pihak yang menentang agar tidak masuk campur hal ehwal yang tidak melibatkan pelajar bukan Islam.
Kita semua perlu sedari bahawa rasa curiga terhadap Islam memang sudah berakar di negara ini. Ia bermula apabila Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran pada tahun 1985. Banyak pihak menyuarakan rasa bimbang seolah-olah kerajaan pada waktu itu mahu menjadikan negara ini sebagai negara Islam.
Walhal, yang mahu diterapkan hanyalah 11 nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur. Apabila nilai-nilai ini diteruskan dengan amalan Islam Hadhari oleh Perdana Menteri berikutnya, Tun Abdullah Badawi, beberapa pihak menganggap dasar itu cuba menyekat kebebasan beragama.
Namun, tidak banyak pihak yang membantah apabila konsep Islam Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Barangkali ketika itu suasana tenang selepas PRU-15 membolehkan pihak-pihak bukan beragama Islam meneliti konsep ini dengan fikiran terbuka. Tambahan pula mereka yakin dengan pendekatan Anwar yang mereka anggap lebih mesra dengan golongan bukan Islam.
Bagaimana pun, iklim politik di negara ini yang sentiasa hangat kerana dikaitkan dengan nama Islam. Meningkatnya sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional di mana parti Pas menjadi tunjangnya dilihat dengan penuh curiga. Pas dianggap membawa Islam yang ekstrim. Kemenangan Perikatan Nasional dilihat sebagai gelombang hijau, iaitu gelombang Islam.
Padahal, Pas tidak banyak berubah dari segi kepimpinan yang memungkinkan ia menukar nada menjadi sebuah parti yang lebih ekstrim. Tetapi kerana kepentingan politik, naratif ini dimainkan sehingga mereka yang bukan Islam secara keseluruhannya menyokong DAP.
Kerana politik, Islam dijadikan momok. Islamophobia sudah menular di minda masyarakat bukan Islam di negara kita. Dan, selagi orang politik mendapat ruang untuk bercakap, maka selagi itulah imej Islam menjadi mangsa. Sebabnya, rata-rata orang politik Islam akan bercakap berdegar-degar bila memperkatakan mengenai agamanya. Kata-kata bersemangat mereka ditafsir sebagai garang.
Perangai orang politik sememangnya begitu. Tetapi imej dan pendekatan dengan suara lantang menimbulkan rasa bimbang dan takut mereka yang bukan Islam terhadap agama ini. Dan, kebimbangan ini tidak boleh dipadamkan oleh orang politik, kerana maaf cakap… orang politik sukar dipercayai. Ini persepsi umum.
Justeru itu, pihak-pihak yang lain harus tampil dengan lebih aktif dalam memperkenalkan agama Islam agar ia tidak menjadi agama yang dibimbangi dan dicurigai. Untuk itu, NGO-NGO agama bukan Melayu seperti Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA) dan Multi-Racial Reverted Muslims (MRM) perlu lebih aktif dalam memperkenalkan Islam kepada bukan Islam. Aktiviti yang sedang dilakukan masih tidak mencukupi.
Institusi masjid melalui Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid perlu menggembleng aktiviti konsisten ‘mesra Islam’ kerana masjid-masjid kita berada di tengah-tengah masyarakat pelbagai agama. Apabila kita dicurigai setiap kali kita menyebut perkataan ‘Islam’ ia bermakna tindakan tabligh iaitu penyampaian kita belum menyeluruh.
Setelah 65 tahun Merdeka pun, kita belum berjaya menormalisasikan agama yang mulia ini. Malah, apabila disusur, ia kembali kepada diri kita sebagai seorang Islam. Pernahkah kita bercerita mengenai Islam kepada teman bukan Islam yang setiap hari kita temui?