MAAFCAKAP 16.8.2023
PRN di enam negeri baharu sahaja berlalu. Keputusannya 3-3 mengekalkan status quo iaitu Perikatan Nasional masih menerajui kerajaan di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pula mengekalkan penguasaan ke atas negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Berlalu sudah segala kempen yang disaluti sindir menyindir, kritik mengkritik, malah maki hamun di antara kedua-dua belah pihak. Nampaknya pertengkaran, sorak sorai termasuk menggunakan bahasa celupar di Parlimen telah dibawa oleh ahli-ahli politik ke khalayak ramai. Selama berminggu-minggu, rakyat diajar untuk menormalisasikan berbahasa kasar!
Walau apa pun, peribahasa Melayu ada menyebut, ‘Kalah jadi abu, menang jadi arang.’ Ia membawa maksud, dalam sesebuah pertelingkahan ia tidak menguntungkan mana-mana pihak. Keputusan PRN yang telah berlangsung itu sudah tentu tidak menjamin pertelingkahan di antara kedua-dua belah pihak akan terhenti.
Siapa saya atau kita yang hendak menasihatkan agar orang yang berpolitik menghentikan segala perang mulut? Kita tidak mampu untuk mengatakan ‘sudah-sudahlah, bergaduh, tu,’ kepada ahli-ahli politik. Mereka lebih tahu, malah mereka lebih pandai untuk menjaga ‘kesopanan dan kesusilaan’ seperti yang termaktub sebagai teras Rukunegara yang kelima.
Namun, oleh kerana ia hanyalah lakonan orang politik untuk memanipulasi perasaan rakyat, rakyat sendiri harus ingat dan perasan bahawa selepas ini, kesemua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari mana-mana parti akan bersalaman dan bergelak ketawa sambil minum kopi di kafe dewan negeri masing-masing.
Rakyat dari mana-mana pihak yang memilih parti seharusnya menghentikan polemik di media sosial. Kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat handai perlulah menghentikan segala pergeseran kerana pilihanraya yang sudah pun berlalu.
Kita semua hanya ada satu undi yang kita turunkan dalam bentuk pangkah untuk memilih calon yang kita fikirkan layak untuk menjaga kepentingan kita. Setelah kita memangkah, sebenarnya kita tiada kuasa terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang kita pilih.
Kuasa untuk memilih atau menurunkannya hanya boleh kita lakukan pada lima tahun akan datang. Lama lagi. Apa yang kita ada hanyalah harapan agar mereka yang kita pilih itu menunaikan amanah yang diberi oleh kita sebagai rakyat.
Kalau mereka tidak berbuat apa, malah mengkhianati janji-janji mereka, kita hanya boleh bising-bising melepaskan perasaan di media-media sosial. Kita tiada kuasa lain. Jika ada pun, kita mengharapkan ahli-ahli politik lain, aktivis politik atau mereka daripada NGO yang prihatin untuk menegur..
Sememangnya kita akan menjadi rakyat yang terbiar bila mempunyai para pemimpin yang tidak menepati janji. Kita akan malang apabila pemimpin yang korup atau yang salah laku berbuat tidak tahu kepada segala pembohongan dan penipuan yang mereka lakukan.
Mereka berkata baik dan bermulut manis seolah-olah segala kekotoran yang telah mereka lakukan itu bukan mereka yang buat meskipun banyak tertayang video, foto dan dokumen mengenai salah laku mereka telah tersebar luas.
Kita yang tergelincir dan jatuh basikal pun malu seminggu kerana menjadi bahan lawak orang kampung. Tetapi mereka yang telah melakukan segala kerosakan kepada alam dan manusia masih boleh tersengih-sengih berdepan dengan masyarakat yang ditipunya tanpa jatuh air mukanya.
Kerana itu, berpada-padalah bila kita menyokong atau menentang mana-mana parti politik. Kita berdoa agar mereka yang menang akan menjalankan tanggungjawab. Namun, apa jua keputusan yang mereka buat akan mengambil masa.
Apa jua dasar untuk memberi kemudahan kepada rakyat akan dimulakan bulan hadapan; sedangkan kita harus selesaikan segala masalah peribadi dan keluarga kita pada hujung minggu ini ataupun malam ini!
Sebagai individu, kita yang harus memberi janji kepada diri dan keluarga apa kemudahan yang kita harus bekalkan untuk melestarikan kehidupan kita. Jika kita inginkan pemimpin yang bertanggungjawab, jangan lupa, kita juga adalah pemimpin dalam keluarga.
Kita pun pernah berjanji. Jangan lupa janji kita!