MAAFCAKAP 9.8.2023
Pada Sabtu 12 Ogos ini, pemilih untuk Pilihanraya Negeri bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan membuang undi. Mereka akan memilih Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Walaupun hampir semua calon-calon itu adalah dari kumpulan parti-parti yang bertanding, sesiapa yang menang sebagai ADUN di mana-mana kawasan diberi amanah untuk membela dan menjaga kebajikan rakyat setempat.
Kita memilih wakil kawasan kita di Dewan Undangan Negeri. Wakil kita itu pula mewakili parti yang menang dalam Pilihanraya Negeri, bukannya Pilihanraya Umum yang menukar parti yang akan menerajui negara.
Walaupun ada pandangan bahawa PRN ini dilihat sebagai referendum parti mana yang rakyat pilih, ia hanyalah naratif kempen. Apa jua kemungkinan pergolakan politik yang akan terjadi selepas keputusan pilihanraya negeri, adalah cerita lain sama sekali. Pepatah Inggeris berkata, ‘We will cross the bridge when we come to it.’
Dua kumpulan parti besar iaitu gabungan Pakatan Harapan/Barisan Nasional serta Perikatan Nasional bertanding untuk membentuk kerajaan di negeri-negeri ini. Sebagai pemilih, kita hanya memangkah di kertas undi individu yang kita ingin mewakili kita.
Apabila kita memilih berdasarkan parti, kita perlu memilih parti yang kita fikir layak untuk memerintah negeri kerana ini adalah pilihanraya negeri, bukannya pilihanraya umum di mana kita memilih parti yang akan memerintah negara.
Melalui pertimbangan ini, tentulah kita perlu memilih parti berdasarkan prestasi mereka. Jika ia memuaskan, kita boleh terus memilih parti itu lagi. Sebaliknya, jika kita tidak berpuas hati, kita boleh memilih parti lain dengan syarat parti itu layak mengganti parti yang ada, seperti punyai rekod pengalaman, idea baharu dan yang penting diwakili oleh kumpulan mereka yang dipercayai ‘boleh buat kerja untuk negeri’ dan bukannya untuk ‘mengerjakan hasil mahsul negeri.’
Oleh itu, segala kempen berupa ceramah, dialog, lawatan dan ziarah hanyalah mekanisme pemasaran calon dan parti yang bertanding. Dalam mana-mana bentuk pemasaran, adalah lebih bagus jika produk yang ditawarkan itu adalah yang terbaik, tanpa merendahkan produk saingan.
Kita jadi sukar memilih sekiranya parti A kata, parti B tidak bagus dan begitulah sebaliknya. Bila A mengata B dan B mengutuk A, ertinya kedua-dua pihak ada bagus dan tidak bagusnya. Maknanya, kita sebagai pemilih perlu membuat pertimbangan tersendiri melalui sumber-sumber lain seperti membuat carian di internet seperti Youtube dan laporan-laporan di Google. Carian sebegini memenatkan lebih-lebih lagi bila maklumat yang lebih mudah dan menyerlah adalah melalui media sosial Facebook, Twitter dan TikTok.
Maklumat-maklumat dari media sosial yang popular ini banyak yang bersifat baharu dan semasa. Akhirnya, kita akan terpengaruh untuk melihat apa sahaja yang muncul di depan mata dan bukannya apa yang dicari. Maklumat-maklumat yang diperolehi itu muncul di skrin telefon atau komputer kerana algorithm media sosial itu akan menyerlahkan apa yang popular.
Tanpa kita sedari, kita akan memilih apa yang popular bukannya apa yang terbaik. Maka keadaan ini memberi ruang kepada kedua-dua parti besar yang meletakkan calon. Mereka mengasak minda kita dengan pelbagai maklumat.
Samada maklumat itu betul atau tidak, kita boleh mencari kesahihannya. Namun, berapa ramaikah di antara kita yang ada masa mahupun tahu di mana letaknya maklumat yang ingin dicari?
Dengan kesibukan harian yang ditambah dengan asakan kempen, kita jadi bingung. Minda yang penat akhirnya akan mengalah. Siapa yang dilihat betul, itulah yang dipercayai. Siapa yang dilihat tidak betul itulah yang dihindari.
Bagaimana pun, bila kita ingin diwakili oleh calon yang bertanggungjawab, kita juga perlu memainkan tanggungjawab. Walaupun saya belum terjumpa lagi fatwa hukum mengundi, Imam Hassan Al-Banna dan Yusuf Al-Qardhawi melihatnya sebagai wajib. Oleh itu, saya cenderung untuk melihatnya sebagai fardu ain. Mari kita mengundi!