MAAFCAKAP 2.8.2023
Para netizen kini tidak seronok untuk ‘berkicau’ apabila baru-baru ini, Elon Musk mengubah logo Twitter dari seekor burung biru kepada abjad ‘X.’ Beliau yang membeli syarikat Twitter pada Oktober 2022 dengan nilai USD40 billion, mengubah logo burung biru itu kerana mempunyai impian yang lebih besar iaitu mencipta sebuah ‘super application’ melalui Twitter.
Aplikasi serba mampu ini diharap akan membolehkan para pelanggannya bermesej, bersosial, membuat transaksi bayaran dan juga berurusan dalam e-dagang. Impian ini bukannya sesuatu yang baharu. Di negara China, Wechat adalah super application yang sudah berjaya memperoleh lebih 1.7 bilion pelanggan. Twitter pula hanya mempunyai 350 juta pelanggan pada hari ini.
Perjalanan Twitter terlalu jauh. Apatah lagi, jumlah pelanggannya dijangkakan kian merosot lebih 5 % pada 2024. Dikatakan para pengguna Twitter sudah tawar hati dengan media sosial itu kerana sikap Elon Musk yang suka meredah dalam tindakannya untuk berubah, seolah-olah tidak peduli dengan sentimen khalayak ramai.
Manusia mempunyai perangai yang pelik. Mereka akan jemu pada sesuatu yang tidak berubah lalu meninggalkannya. Namun, apabila sesuatu itu berubah, mereka tidak boleh menerima perubahan lalu meninggalkannya juga. Justeru, apakah perubahan itu untuk kebaikan atau keburukan, keuntungan atau kerugian?
Mari kita lihat perubahan dalam lanskap politik tanahair sebagai contoh. Gabungan parti Bersatu, Pas dan Gerakan yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional cuba dipalit dengan imej kesangsian kerana dikatakan membawa gelombang hijau yang kononnya akan mengakibatkan amalan Islam yang lebih ekstrim apabila mereka memerintah negara.
Dalam waktu yang sama, perubahan UMNO yang bekerjasama dengan DAP dalam gabungan kerajaan perpaduan bersama parti PKR digambarkan sebagai gabungan parti-parti berseteru yang tidak mungkin akan berjaya sepakat dalam memerintah negara.
Dalam sebuah jabatan misalnya, perubahan kedudukan rakan sekerja bernama Jamil yang dinaikkan pangkat; kini menjadi ketua kepada rakan-rakannya. Perubahan ini sukar diterima pada peringkat awal. Bagaimana pula misalnya dengan Jamilah yang pada hari ini bertudung, sedangkan semalam asyik menayangkan rambutnya yang diperangkan? Perubahan dia juga sukar diterima.
Kita, sebagai orang yang berdepan dengan apa jua perubahan akan berasa tidak selesa. Pertama sekali ia berpunca kerana kita akan kekok memberi reaksi terhadap apa jua yang baharu. Membeli kasut baharu itu adalah perubahan yang kita ingini. Namun, kita tetap berasa kurang selesa pada hari pertama kita memakainya walaupun ia cantik dan berergonomik.
Betapa pun, perubahan yang berlaku di sekeliling itu memerlukan masa untuk kita menyesuaikan diri. Lain orang, lain beza masa yang diperlukan untuk berasa selesa dengan perubahan itu. Perubahan dari luar itu wajib kita terima kerana ia menjejaskan kita. Jika tidak, kita harus meninggalkan sesiapa atau apa yang berubah.
Dalam pada itu, bagaimana pula bila kita pula yang menjadi objek perubahan itu sendiri? Kita yang berubah samada dari segi penampilan, pemikiran dan pendirian itu juga perlu mengambil masa; iaitu tempoh kita memberi peluang kepada orang lain menerima kita yang sudah berubah.
Kita yang berubah pula harus kental bertahan dengan mereka yang terkesan dengan perubahan yang kita bawa itu. Apabila kita tahu mengapa kita mahu berubah, mempunyai niat serta iltizam, maka kita akan dapat beristiqamah dengan tindakan kita itu. Kita tidak akan goyang dengan apa orang lain kata, malah ampuh untuk mempertahankan perubahan itu.
Yang penting, perubahan yang kita lakukan itu bukan penamat kepada perubahan yang kita lakukan. Pada hari esok, bulan esok atau pada tahun hadapan, kita akan berubah dan berubah lagi. Inilah dinamika minda yang harus menjadi anutan seseorang yang ingin terus memperbaiki diri dengan perubahan.
Tetapi, seandainya kita berasa diri sudah baik dan tidak mahu berubah, ketahuilah bahawa sebahagian besar dari apa yang berada di sekeliing kita sentiasa berubah. Jika kita duduk diam dalam zon selesa, kita akan ditenggelami oleh arus perubahan. Di kala itu, kita sebenarnya dipaksa oleh perubahan itu sendiri.