MAAFCAKAP 5.7.23

Seorang pelajar universiti Rashifa Aljunied, bimbang seandainya menjalani latihan amali tanpa diberi apa-apa elaun di syarikat tempatnya bertugas. Lantas pelajar ini menzahirkan kebimbangannya dengan cara menggantung kad di lehernya yang tertulis ‘Intern bukan buruh percuma’ untuk menarik perhatian umum.

Dan, tindakannya telah benar-benar menarik perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri yang memberi ulasan bahawa pihak majikan sekurang-kurangnya harus mempertimbangkan sumbangan untuk menampung kos perjalanan dan perbelanjaan harian para pelajar intern.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pula berkata, pelajar intern tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma. Menurutnya,  Persidangan Buruh Antarabangsa telah menggesa pihak kerajaan di seluruh dunia memandang serius akan hal ini.

Latihan industri dimasukkan sebagai salah satu komponen kebanyakan jurusan pengajian. Ia penting kerana peratus tinggi pendidikan di universiti adalah dalam bentuk teori. Jadi, latihan industri itu perlu bagi mendedahkan para pelajar supaya dapat mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari di alam pekerjaan.

Ada majikan yang melihat para pelajar intern sebagai mereka yang datang untuk belajar. Justeru, mereka tidak harus dibayar. Sebaliknya, para pelajarlah yang patut membayar kerana mendapat ilmu dari syarikat yang mengambil mereka.

Sebenarnya tiada paksaan bagi sesebuah syarikat untuk mengambil pelajar intern. Jika tidak mahu rugi satu sen, usah ambil walau seorang pun. Oleh kerana tiada paksaan tetapi mereka hendak ambil juga pelajar intern dan tidak mahu mengeluarkan wang elaun, apa niat mereka?

Logikkah alasan bahawa pelajar intern yang datang untuk berlatih dan menimba ilmu semata-mata? Apakah para pelajar itu sendiri tidak punyai ilmu langsung untuk dipindahkan kepada pihak syarikat?

Saya punyai pengalaman yang pelbagai dengan para pelajar intern ini. Di sepanjang tempoh berkhidmat, saya telah mengambil lebih 20 orang pelajar intern. Ada ketikanya, saya mengambil empat orang sekali gus. Sebabnya, saya yakin akan memperoleh sesuatu daripada mereka dan saya juga boleh mengajar mereka. Ilmu kita akan bertambah bila kita mengajar orang lain..

Seseorang pelajar intern itu harus dilihat sebagai aset sementara, bukannya mereka yang tidak tahu apa-apa. Apabila mereka datang sarat dengan ilmu-ilmu teori, inilah masa pihak majikan menyemak apakah pendekatan bisnes yang dilakukan selama ini masih mempunyai lunas-lunas dan prinsip perniagaan yang sepatutnya.

Pelajar intern itu pula akan dapat menyemak atau membuat rumusan apakah ilmu teori yang dipelajarinya di universiti itu boleh dipraktikkan di alam pekerjaan. Ini adalah proses timbal balik, knowledge sharing yang menghasilkan win-win situation. Pelajar intern dan majikan sama-sama untung dapat berkongsi ilmu.

Pelajar intern biasanya adalah mereka yang akan taat dan patuh kepada majikan sementelah kerana dia mahu keputusan latihan dengan markah yang baik. Barangkali ada pelajar yang degil. Tetapi bukankah itu adalah proses pendidikan bagi pelajar itu dan juga pihak majikan? Kalau pun mereka kompelin tentang cara kerja tempatnya menjalani latihan, ia baik jika dilihat sebagai maklum balas.

Pelajar intern yang tidak mencapai kehendak syarikat akan meninggalkan premis tempat dia menjalankan latihan bila tamat tempohnya. Jadi, usah gusar dengan kehadiran sementara mereka. Jika pelajar intern itu bertugas dengan cemerlang, pihak majikan mempunyai pilihan untuk menawarkan jawatan kepadanya.

Dalam situasi ini, majikan tidak perlu bersusah payah membuat iklan mencari kerja, menemuduga, memberi latihan dan tempoh percubaan kepada pelajar intern. Sebaliknya, pelajar intern yang menjalani latihan akan mudah diserapkan bekerja kerana dia sudah sebati dengan budaya kerja, SOP, misi dan visi syarikat. Dari segi kos melatih pekerja, pihak majikan sudah membelanjakannya.

Baik atau tidaknya kehadiran seseorang pelajar intern di dalam sesebuah syarikat itu bergantung pada persepsi syarikat itu sendiri. Jika majikan melatih dan melayani mereka sebagai pekerja sendiri, majikan berpeluang mendapat sumber tenaga baharu. Sebaliknya jika majikan hanya menyuruh pelajar intern itu membuat teh atau menjilat setem, majikan sebenarnya membuang masa. Mereka tidak perlu pun membuka peluang untuk menerima pelajar intern.