MAAFCAKAP 28.6.23
Saya berkenalan dengan Nisah di kafe Tea Amo bila dia menemani seorang sahabat penulis, Nurul untuk satu perbincangan mengenai buku. Sebuah panggilan tiba di telefon Nurul. Oleh kerana ia mengenai urusan pejabatnya, dia memohon izin untuk beralih seketika ke meja sebelah di kafe itu untuk menjawab panggilan.
Kerana itu, saya mengisi masa untuk mengenali Nisah dengan lebih dekat. Saya terpempan seketika bila gadis itu bercerita yang dia baharu sehari berhenti kerja! Puncanya, baru-baru ini dia dinaikkan pangkat. Ini menimbulkan rasa iri hati teman-temannya kerana dia kini menjadi ketua kepada mereka sedangkan sebelum ini mereka kesemuanya setaraf dalam perjawatan.
Oleh kerana satu kesilapan, Nisah telah tersalah hantar sebuah dokumen sebutharga kepada syarikat pelanggan. Harga yang ditawarkan oleh syarikatnya adalah harga lama yang lebih rendah, sedangkan harga baharu adalah lebih tinggi mencecah ribuan ringgit!
Mujurlah syarikat pelanggan memahami dan bersedia untuk menerima harga baharu yang lebih tinggi bila menerima surat baharu sebut harganya. Malangnya, kesilapan Nisah itu menjadi isu ketidakcekapannya sebagai seorang ketua.
Rakan-rakannya menjauhkan diri dan tidak mahu mengeluarkan pendapat dalam perbincangan. Malah, mereka tidak lagi mahu mengajaknya bersama untuk makan-makan atau pergi menonton. Mereka tidak lagi bekerja sebagai satu pasukan dan berekreasi sebagai sahabat.
Selama ini, Nisah menganggap rakan-rakan sepejabatnya seperti saudara. Mereka sentiasa bersama di waktu pejabat dan di luar pejabat. Malah, seandainya mereka berjauhan pun, mereka tetap dapat berhubung melalui Zoom.
Walaupun bercerita dengan ringkas, saya dapat melihat wajah sugul dan kesalnya kerana terlalu baik dengan rakan-rakannya itu. Kata orang; teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar didapati.
Kawan, walaupun betapa baik pun, hanya seorang-dua sahaja yang benar-benar dapat bertahan di sepanjang hayat. Sebaliknya, lebih ramai akan meninggalkan semakin masa berlalu. Dugaan besar akan tiba bila kita berdepan dengan musibah. Ramai yang segera menghilang.
Saudara-mara pula, walaupun sebilangan besar sentiasa tiada di sekeliling kita, mereka yang akan tampil apabila kita berdepan dengan musibah, sekurang-kurangnya untuk menghulurkan simpati.
Kesilapan yang ramai di antara kita lakukan ialah membelanja kawan tetapi hanya membeli persaudaraan. Kita sanggup siang malam bersama kawan-kawan sedangkan selagi mereka hanya kawan, mereka tidak berasa rugi bila kita tiada. Sebaliknya, bila kita hanya ‘membeli’ saudara, mereka sukar dicari apabila kita hilang arah.
Sebab itu, kita seharusnya merapati saudara-mara sementelah perhubungan dengan mereka adalah perhubungan silaturrahim. Orang kata, air dicincang tidak akan putus. Sekiranya kita membelanja saudara melalui masa dan tenaga kita, wang menjadi perkara ketiga.
Kebanyakan perhubungan yang terbina hasil dari kerjasama kerja, perniagaan mahupun perjuangan adalah persahabatan yang hanya ‘dibeli.’ Sebaliknya, perhubungan yang terbina dari jalur kekeluargaan adalah persaudaraan yang harus kita ‘belanjakan.’
Kita perlu membuat anjakan dengan memperbetul jajaran perhubungan. Kawan-kawan hanya perlu dibeli, tetapi kepada saudara-maralah yang harus kita belanjakan. Bunyinya agak kasar, tetapi kita akan fahami realitinya apabila tiba masanya.