MAAFCAKAP 14.6.2023

Tugas pertama saya bila menyertai Kumpulan Karangkraf pada tahun 1991 ialah sebagai Pengarang Urusan majalah humor ~ Gelihati. Tanggungjawab saya ialah untuk memberi nafas baharu kepada majalah itu agar setanding dengan majalah kartun Gila-Gila iaitu majalah humor terunggul di Malaysia.

Di antara perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari definisi istilah ‘humor’ itu sendiri. Pada ketika itu tiada internet. Untuk mendapatkan maklumat mengenai humor, saya berkunjung ke Perpustakaan Negara Malaysia yang pada ketika itu bertempat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Rujukan utama kita sebelum adanya Google tentulah Encyclopedia Britannica. Di halaman-halaman itulah saya temui tidak kurang daripada 20 jenis-jenis humor. Di antara jenis humor yang saya masih ingat ialah slapstick, iaitu humor yang menggunakan aksi bodoh-bodoh alang. Aksi di dalam siri Bujang Lapok arahan P. Ramlee banyak menggunakan genre slapstick.

Ada juga situation comedy atau sitcom iaitu humor berdasarkan salah faham. Di Tik-Tok kini terdapat seorang pemilik akaun yang bermain emosi penumpang di dalam tren. Dia berpura-pura membedung bayi dalam kain selimut sambil berdiri. Akan ada penumpang yang kasihan lalu memberinya tempat duduk. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung, ‘selimut bayi’ itu dibuka dan terus disangkut ke bahu. Para penumpang lain akan tertawa kerana tertipu dengan lakonan pemuda itu.

‘Pun’ pula adalah humor berdasarkan permainan perkataan dan sebutan. Akhir-akhir ini di Malaysia, ‘pun’ ini disampaikan dalam bentuk teka-teki. Kini ia di antara jenis humor yang popular di media sosial. Contohnya, ‘Apakah air yang paling sedap sekali?’ Jawapannya; ‘I love you!’ Perkataan ‘air’ dan ‘I’ dekat-dekat konsonan katanya.

Namun, ada juga jenis humor dari genre ‘black humour.’ Humor ini agak ganas kerana ia bermain dengan situasi di antara sakit dan kelakar. Contohnya, seseorang yang tergelincir kerana terpijak kulit pisang akan berasa sakit. Namun, mereka di sekelilingnya boleh tertawa terbahak-bahak. Sakit bagi yang mengalami, lucu bagi yang memerhati.

Dalam dunia persembahan, humor itu sesuatu yang kelakar dan menghiburkan. Di negara kita, terdapat banyak sekali persembahan humor berkumpulan yang mendapat tempat di kaca televisyen seperti kumpulan Sepahtu, Shiro dan Bocey. Terdapat individu yang membuat persembahan komediri seperti Harith Iskander dan Douglas Lim. Di media sosial dua personaliti iaitu Ryan Bakery dan Dediy Sulaeman (DD Chronicle) menjadi ikutan kerana lawak mereka.

Pokoknya, humor itu ialah sesuatu yang kelakar dan menghiburkan. Ia menjadikan mereka yang menonton tertawa hingga senak perut. Sebaliknya, mereka yang membuat lawak itu biasanya tidak ketawa pun dengan aksi mereka. Bila yang membuat lawak berbuat aksi selamba, inilah yang semakin menghiburkan penonton.

Jadi, pelik sangat apabila seseorang pelawak itu lebih banyak mentertawakan lawaknya sendiri daripada penonton. Jika ini terjadi, orang yang membuat persembahan sepatutnya berundur ke belakang pentas. Apatah lagi, apabila lawak seseorang itu dicemuh, tidak kelakar, malah menimbulkan kemarahan, seseorang pelawak itu tidak profesional bila dia menyalahkan penonton kononnya tidak dapat membaca di mana kelakarnya persembahan itu.

Inilah yang terjadi pada seorang komediri bernama Jocelyn Chia yang membuat persembahan di sebuah kelab komedi di New York, Amerika. Beliau mengambil genre black humour iaitu melihat yang kelakar dari kesakitan orang lain. Dia menyentuh tragedi kehilangan MH370, syarikat penerbangan MAS dan kemajuan Singapura berbanding Malaysia.

Namun, lawaknya menjadi keterlaluan dan kelihatan dipaksa-paksa. Dia bukan melawak, tetapi mempersenda dan memperlekeh. Dia lebih banyak mencebir sambil tergelak-gelak ketika menyampaikan lawaknya.

Akibatnya, Kementerian Luar Negeri dan Pesuruhjaya Singapura di Malaysia terpaksa mengeluarkan kenyataan membidas pelawak itu. Para pelawak dari Malaysia dan Singapura pun menyuarakan kekesalan mereka. Laporan polis telah dibuat dan terkini, pihak PDRM telah meminta bantuan Interpol untuk mengenalpasti lokasi pelawak itu. Ini bukan lawak lagi!

Namun, atas nama lawak, Jocelyn Chia pula mengatakan masyarakat tidak boleh menerima jenis lawaknya. Beliau harus mengambil kira, dalam ramai-ramai pelawak, kenapa ramai yang marahkan lawaknya? Akibat berdegil dan tidak mahu mengendurkan pendiriannya, kini Jocelyn Chia sendiri yang menjadi bahan lawak!