MAAFCAKAP 5.4.23
Selepas tarawih di surau, saya lebih suka moreh di restoran mamak sahaja. Di situ hidangan saya hanya sekadar segelas teh tarik. Sambil menghirup teh bersendirian, saya melihat berita dan mesej di telefon sebelum pulang.
Tapi, pada satu malam minggu lalu, saya terdengar perbualan sepasang remaja di meja sebelah. Oleh kerana mejanya begitu hampir, tidak boleh tidak saya terdengar perbualan mereka. Saya percaya mereka berdua adalah pasangan pelajar sebuah kolej yang berhampiran.
‘You selalu ponteng kuliah. Tugasan pulak, tak hantar. Lepas itu, asyik bertengkar dengan pensyarah bila kena tegur. You kata, nak berubah. Tapi perangai you sama, aje.’ bebel si gadis. ‘Pandailah aku. Aku tahu punca masalah aku. Nanti aku berhentilah.’ jawab si lelaki.
Saya mengagak lelaki itu dinasihati agar berhenti dari sesuatu yang buruk. Si gadis berkata, tabiat itu sudah menjadi ketagihan, membazirkan wang dan menjejaskan kesihatan temannya. Namun di sepanjang ‘sesi’ itu, si lelaki asyik memandang ke mana-mana asalkan bukan ke wajah gadis di depannya. Tentunya, dia bosan.
Tidak tahulah apa kesudahan sesi mereka berdua kerana saya tidak boleh berlama-lama di restoran itu. Namun, suasana tegang begitu biasa terjadi dalam adegan tegur menegur. Pasti akan berlaku pergeseran hujah dan boleh bertukar panas.
Kita semua pernah berdepan dengan situasi menasihat ataupun dinasihati. Kadangkala apabila kita minta dinasihati dari seseorang, kita akan tersentap juga dengan kata-kata orang yang menasihati walaupun asalnya kita juga yang meminta nasihatnya. Dalam situasi yang sebaliknya, kita juga pernah berasa malas untuk menegur, bila orang yang ditegur itu menarik muka masam mencuka.
Kita juga tahu bahawa nasihat itu baik. Secara logiknya kita mahu menerima nasihat. Namun, bila tiba masa berdepan dengan orang yang memberi nasihat, secara lumrah, kita akan menjawab untuk mempertahankan diri. Malah, kadang kalanya kita boleh bersikap degil walaupun kita tahu nasihat itu adalah untuk kebaikan diri jua.
Ini berpunca dari mekanisme pertahanan semulajadi manusia. Mereka yang ditanya ketika dinasihati akan berasa tercabar kerana kelakuannya dipersoalkan. Caranya untuk melegakan rasa tertekan ialah dengan menafikan teguran kerana tidak mahu berasa diadili. Tidak boleh tidak, dia akan menjawab untuk mempertahankan dirinya.
Manusia juga sukar untuk berubah kerana akan berasa kehilangan. Perokok atau penghisap vape misalnya, akan menafikan nasihat agar dia menghentikan tabiat itu kerana ia menakutkan bila dia sudah menganggap tabiat itu sesuatu yang berharga buat dirinya. Apatah lebih-lebih lagi apabila tabiat itu sudah menjadi suatu ketagihan.
Jangan terkejut apabila ada juga di kalangan mereka yang diberi nasihat menolaknya berlapikkan pelbagai alasan kerana berasa perubahan itu tidak diperlukan kerana ia tidak membantu apa-apa untuk kebaikan diri mereka.
Faktor-faktor inilah yang boleh membuatkan seseorang itu berubah fikiran untuk menolak nasihat, meskipun pada mulanya dia mungkin memintanya dari orang yang dipercayainya. Jadi, apabila berada dalam kedudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu berhati-hati ketika melakukannnya.
Hadis Rasulullah saw menyebut, “Berkatalah yang benar, walaupun pahit.” Walaupun kita berkata yang pahit seperti saranan Baginda, kita perlu salutkan gula pada kata-kata yang pahit itu dengan penuh hikmah.
Walau siapa pun dia, yang penting ialah pendekatan yang penuh kefahaman dan empati. BKita yang menasihati pun sudah menang kerana berada di premis kebenaran. Tetapi kita boleh tewas dan nasihat kita boleh mentah-mentah ditolak apabila ia disampaikan dengan cara marah-marah, sinis dan penuh emosi.
Dalam hal ini, bila kita dalam kedudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu ingat yang kita ingin membantu. Kita tidak rugi jika yang dinasihati itu menolaknya. Tetapi kita juga akan turut beruntung bila nasihat itu diterima. Tambahan pula, kita juga tidak mahu kehilangan seorang teman apabila dia menjauhkan diri dari kita semata-mata kerana tidak mahu lagi mendengar nasihat kita.
Ketahuilah, perhubungan yang sampai ke tahap boleh nasihat menasihati itu adalah perhubungan yang akrab. Perhubungan ini tetap kekal meskipun salah satunya sudah tiada berjasad. Dalam keadaan begitu, yang tinggal akan berasa kehilangan seorang sahabat.