MAAFCAKAP 11.1.2023
Baru-baru ini saya bertemu dengan Pak Warsan yang berkunjung ke kedai buku IqraRead. Katanya, dia ke Malakat Mall selepas berurusan di Putrajaya. Pak Warsan yang tinggal di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor mengenali kedai buku IqraRead melalui media sosial.
Setelah berkenal dan berbual secara berbasa-basi, interaksi kami menyentuh bab ekonomi. Dia yang memulakan hal ini kerana tahu mengenai tujuan wujudnya Malakat Mall ini adalah untuk membantu meningkatkan ekosistem ekonomi umat Muslim di negara ini. Langsung perbualan kami melarat menyentuh hal-hal ekonomi dunia.
Pak Warsan hanya tersenyum bila saya menyentuh mengenai mendung ekonomi dunia yang dikatakan akan turut mengerhanakan kita semua pada tahun 2023 ini. Sebagai pesara dari sebuah kolej swasta perniagaan, Pak Warsan yakin dengan ulasannya.
Menurut beliau, kegawatan ekonomi memang akan memberi kesan terhadap ekonomi negara-negara di dunia. Bagaimana pun yang lebih penting diawasi ialah kesannya kepada ekonomi kita sendiri. Prinsip pertama ialah mengawal apa yang boleh dikawal tetapi meminimakan risiko apa yang di luar kuasa.
Bagi yang bekerja, mereka perlu pastikan tidak hilang kerja dengan menjadi aset syarikat. Usah cepat-cepat cari kerja lain walaupun gaji tak naik. Asalkan gaji masih dibayar, ia menunjukkan syarikat masih mampu. Dengan bekerja di tempat lain, ia belum menjamin kestabilan pendapatan. Meskipun dapat kerja di syarikat besar pula, bila-bila masa syarikat itu boleh membuang kita kerana kita yang paling baharu menyertai syarikat itu. Semakin besar sesebuah syarikat itu, semakin mudah ia ambil keputusan membuang pekerjanya.
Fikir dua kali sebelum buat pinjaman, membeli kenderaan dan peralatan baharu kerana ia semua adalah hutang yang faedahnya kini tinggi dan hampir pasti tidak akan turun, bahkan meningkat. Kos makan minum khususnya berbelanja di luar kini setanding atau lebih tinggi dari kos pengangkutan seseorang. Bila teringin nak makan sedap-sedap, bolehlah buat konsep cheat day untuk makan sekehendak rasa pada hari-hari tertentu seperti orang berdiet.
Salah satu cara untuk menyeimbangi kekurangan pendapatan setelah berjimat ialah dengan menambah pendapatan. Ada banyak cara yang boleh dilakukan jika rajin mencari ruang dan peluang khususnya di media sosial. Buatlah dengan tujuan untuk cukupkan belanja yang terjejas. Jika berasa teruja dengan peluang berpendapatan tambahan itu, barulah aktif. Bukannya terikut-ikut dengan semangat orang yang akhirnya masa terbuang dan modal lesap.
Saya bertanya Pak Warsan, apakah orang kampung sepertinya terkesan dengan kemelesetan ekonomi? Dengan senyum, dia berkata, ‘Ekonomi yang bergolak itu terjadi seperti gelombang di tengah lautan. Kita ini di tepi pantai. Kalau nampak ombak besar pun masih sempat lari jauh.’
Menurutnya, orang kampung juga terkesan. Selain dari bil elektrik, hutang kereta dan pendidikan anak, dia terkesan dengan harga minyak. Namun, Pak Warsan tidak langsung mempunyai masalah dari segi makanan kerana dia mempunyai tanaman sayur dan ulam-ulaman di sekeliling rumah. Ikan pun dia dapat dengan harga yang murah kerana membelinya di jeti, Sekinchan. Ayam dan telur pun tidak menjadi hal kerana dia membela ayam dan memperoleh telurnya.
Pak Warsan juga mengingatkan, teruk atau tidaknya kita dengan kesan ekonomi ini bergantung pada diri kita sendiri. Jika kita asyik membaca berita-berita dari media besar dunia seperti perang Rusia dan Ukraine, hal-hal kerugian syarikat-syarikat besar dunia, kita akan berasa risau, seolah-olah tak boleh lari dari terkena bahananya.
Katanya, kemelesetan ekonomi akan tetap berlaku kerana ia adalah putaran. Sebelum ini berlaku krisis ekonomi besar dunia pada tahun 20an, 40an, 70an, krisis Ekonomi Asia pada 1997 dan kemelesetan pada tahun 2007. Yang paling terkesan ialah krisis pada tahun 1997. Yang penting, kita perlu sentiasa berada di tepian dan tidak tersedut ke dasar pusaran bila ia mendatang.
Pandemik Covid-19 yang terjadi pada awal tahun 2020 memaksa kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan itu lebih hebat tamparannya. Boleh dikatakan seluruh ekonomi kita lumpuh. Kita semua hanya duduk di rumah tak boleh buat apa-apa. ‘Tapi apa yang paling penting pada masa itu? Makanan,’ kata Pak Warsan.
Sebab itu, selagi kita masih ada makanan, insya-ALLAH kita tidak perlu bimbang. Katanya, perhatikan berapa banyak makanan di rumah yang tak habis hingga terpaksa dibuang dan berapa banyak lagi makanan yang memenuhkan peti sejuk.
Kesemua itu masih menunjukkan yang kita masih boleh berada berbanding dengan mereka yang tak cukup makanan. Untuk golongan ini, kita pula yang perlu peka pada mereka yang tak mampu. ‘Kita tak mahulah ada rumah yang pasang bendera putih kerana perlukan makanan,’ kata Pak Warsan.
‘Jadi, kita perlu bantu golongan ini samada secara berkumpulan atau secara sendiri-sendiri. Kita juga yang akan dapat pahala sedekah kerana ALLAH akan jaga kita pula dengan kecukupan, sebab segala sedekah akan ALLAH ganti berkali ganda,’ kata Pak Warsan menamatkan perbualan.