MAAFCAKAP 18.5.2022

Saya bermesej dengan Olan bila memesan kerepek pisang tanduk daripadanya. Sambil itu saya ucapkan tahniah kerana seronok melihat foto berbalang-balang kerepek jualannya di media sosial. Sempat juga saya mengusik yang dia sudah boleh saya gelar tauke.

Katanya, perniagaan pelbagai kerepek hanyalah usaha kecil-kecilan. Jika ditolak dengan segala kos, dia hanya memperoleh RM3.00 untuk sebalang kerepek. Purata jualannya ialah  lima balang sehari, dan dia hanya dapat untung bersih RM450 sahaja sebulan.

Olan pandai bertukang. Dia sering dipanggil oleh temannya jika kawannya itu tidak cukup tangan untuk menyiapkan kerja-kerja membetulkan rumah. Olan adalah salah seorang mangsa PKP. Pendapatan keluarganya tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Dia tidak lagi dibenarkan isterinya bekerja selepas bersalin. Katanya, kos pengangkutan dan makan minum lebih mahal dan isterinya tidak dapat membantu kewangan keluarga walaupun bekerja. Olan sendiri diberhentikan kerja sebagai staf perkhidmatan di bidang perhotelan.

Dalam keadaan kita melihat mereka yang mewah berbelanja di musim perayaan, apakah ia gambaran kemakmuran? Tidak banyak syarikat memberi bonus. Barangkali, pengeluaran khas KWSP memberi rezeki kepada ramai untuk berbelanja lebih. Namun, sekejap sahaja RM10,000 wang akan habis kerana pelbagai pembayaran dan perbelanjaan perayaan.

Pada tahun lalu, 37,415 perniagaan dilapor gulung tikar berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 26,007 merupakan usahawan mikro diikuti 2,738 lagi membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), yang menjalankan survei menganggarkan 580,000 perniagaan, mewakili 49 peratus dari sektor PMKS berisiko menutup perniagaan menjelang Oktober depan sekiranya mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.

Persatuan Majikan Malaysia pula turut menyuarakan bahawa banyak perniagaan berdepan dengan kesukaran apabila kerajaan mewajibkan penggajian minima RM1,500 mulai Mei ini. Banyak perniagaan yang baharu hendak pulih terpaksa berdepan dengan kenaikan gaji kakitangan yang dianggap mendadak.

Apa yang kita boleh buat? Beruntunglah sekiranya kita masih mempunyai pekerjaan dan juga mempunyai majikan yang mampu membayar gaji walaupun tanpa bonus mahupun kenaikan. Jika kita pandang di sekeliling, kita mula nampak riak wajah-wajah yang hilang senyuman bila mendepani kesukaran mengawal perbelanjaan kerana kenaikan harga barang.

Jika kita bukan dari golongan yang membeli kereta baharu secara tunai, rumah baharu, makan-makan, terbang-terbang ataupun boleh menabur wang merata-rata, kita semua adalah golongan yang perlu berhati-hati mengawal perbelanjaan.

Yang penting, kita perlu saling bantu membantu sesama sendiri agar masing-masing dapat terus berdiri. Kita perlu bantu orang seperti Olan. Jika kita biasa membeli kerepek dalam paket yang dibeli di pasaraya, pastikan kita beli sebalang dari Olan. Jika kita biasa membeli kek dari kedai yang popular, belilah dari mereka yang menjual melalui media sosial ataupun dari grup Whatsapp setaman.

Mari kita bantu mereka. Biarlah mereka kaya kerana kita membantu mereka kaya. Bukankah kita sudah selalu sangat membantu yang kaya menjadi lebih kaya? Bila kita membeli dari jenama-jenama terkenal antarabangsa, kita mengkayakan yang sudah kaya. Mereka tidak akan miskin jika kita tidak membeli dari mereka. 

Kita bukannya hendak boikot jenama-jenama yang sudah jadi citarasa kita. Kita cuma hendak bantu juga saudara-saudara kita juga untuk hidup. Niat itu penting. Bila kita membeli dengan niat untuk membantu, kita akan dapat pahala. Ini sama sekali tidak sama dengan bila kita membeli dari jenama besar. Sebab, bila kita membeli tanpa niat untuk membantu perniagaan yang besar itu, dari mana datangnya pahala?