MAAFCAKAP 11.5.2022

Di antara amalan masyarakat kita pada Hari Raya Aidilfitri ialah dengan saling memberi ucap selamat. Walaupun ucapan menurut sunnah ialah ‘taqobalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud, ‘semoga Allah menerima amal ibadah kami dan amal ibadah kalian semua,’ kita biasa dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’ ataupun ucapan ‘Salam Aidilfitri.’

Kini ucapan-ucapan itu bukan sahaja dilafaz tatkala beraya, tetapi juga disampaikan dalam bentuk video dan audio melalui pelbagai laman sosial. Namun, yang lebih banyak kelihatan ialah catatan di Facebook, Twitter dan juga Whatsapp.

Barangkali oleh kerana masing-masing terlalu banyak ucapan ‘Selamat Hari Raya’ yang hendak ditaip, maka timbullah ciptaan singkatan ‘SHR, MZB, HMM’ iaitu Selamat Hari Raya, maaf zahir batin, halal makan dan minum. Namun yang saya lihat terkini ialah akronim ‘mat ri ya’ sebagai singkatan ‘Selamat Hari Raya.’

Dalam suasana seronok-seronok dan suka-suka hari raya, ramai yang menggunakannya. Kita yang menerima ada yang tersenyum-senyum membaca akronim itu. Tetapi, ada yang marah kerana beranggapan akronim itu telah merosakkan bahasa.

Malah ada yang memberi amaran akan‘unfriend’ sekiranya ada yang mengirim ‘mat ri ya,’ kepadanya. Tuanpunya sesebuah laman sosial mempunyai hak menentukan peraturannya. Pendiriannya perlu dihormati kerana ia adalah preference atau pilihan. Tapi tangguhkan dahulu andainya hendak buang kawan hanya kerana bencikan sebuah akronim. Chill, kata orang sekarang.

Pada dasarnya, saya tidak berasa bahawa mereka yang menggunakan akronim ‘mat ri ya’ itu mahu merosakkan bahasanya. Tulisan dan ejaan adalah satu bentuk komunikasi. Asalkan faham maknanya, maka komunikasi itu sempurna. Selama ini, bukankah kita biasa gunakan akronim? Walaupun begitu, bahasa kita tetap utuh dan tidak terjejas.

Sebagai contoh, akronim ‘kugiran’ itu bermaksud ‘kumpulan gitar rancak.’ ‘Pawagam’ pula adalah ‘panggung wayang gambar.’ Kedua-duanya kalau tidak silap saya mula dituturkan oleh Seniman Agung allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kita juga ada banyak singkatan yang kita sendiri gunakan di waktu sekolah kerana hendak cepat menulis nota. Kita gunakan ‘yg’ untuk ‘yang,’ ‘dll’ untuk ‘dan lain-lain lagi’ serta ‘sbgnya’ untuk ‘sebagainya.’ Kita okey sahaja dengan singkatan ini. Bahasa tidak rosak, pun.

Di era SMS yang memberi ruang mesej hanya untuk 160 huruf, kita guna singkatan perkataan. Kita gunakan ‘akum’ untuk ‘assalamualaikum,’ ‘wbh’ untuk ‘wabarakatuh’ dan ‘saw’ untuk ‘salallahu alaihi wasalam.’

Oleh kerana dunia digital ini digemari oleh anak-anak, maka timbullah ejaan ‘katne’ untuk ‘di mana,’ ‘takleh’ dan untuk ‘tidak boleh.’ Kini ada stail menggunakan perkataan berganda dengan dua huruf ‘I’ seperti ‘suka II’ menggantikan ‘suka-suka.’ Jika kita ke laman Wattpad, yang digemari golongan remaja, kita akan temui ejaan yang lebih memeningkan.

Apakah selama ini, penggunaan akronim dan singkatan itu merosakkan bahasa? Tidak dan tidak pernah. Sebabnya, kita tahu bila hendak menggunakan yang baku. Apabila kita berurusan secara rasmi, kita sendiri akan gunakan bahasa dan ejaan yang standard, sesuai di tempatnya.

Berlainan pula bila kita berkomunikasi secara tidak rasmi. Kita cakap dan sebut apa sahaja asalkan difahami oleh orang lain. Bahasa pasar, bahasa rosak, slanga, malah loghat tidak pernah merosakkan bahasa. Ia tidak mengusik bahasa jika yang dimaksudkan ialah bahasa persuratan.

Bagi saya, cakaplah apa sahaja menggunakan gaya apa pun, mengejalah mengikut apa yang boleh difahami orang. Yang tidak boleh ialah mencaci, mengutuk, memfitnah dan apa sahaja yang berdosa samada secara tulisan mahupun ejaan. Maaf cakap…tiada dosanya bila menggunakan ‘mat ri ya.’ Mana tahu, di tahun hadapan ia diterima dan dimasukkan ke dalam kamus seperti juga akronim ‘kugiran’ dan ‘pawagam.’