MAAFCAKAP 16.3.2022

Hari Jumaat, 13 Mac lalu, genap dua tahun tertubuhnya Malakat Mall, sebuah pasaraya Muslim yang terletak di Cyberjaya. Walaupun dirempuh badai Covid-19, Malakat Mall masih bertahan hingga ke hari ini. Apa signifikan mall ini berbanding dengan ratusan lagi mall di negara ini?

Nama ‘malakat’ ini dipilih kerana ia adalah nama asal Melaka yang membawa maksud tempat pertemuan para pedagang. Di zaman kegemilangannya, Pelabuhan Melaka adalah yang terbesar di Nusantara. Ia terkenal seantero dunia sehinggakan pedagang dari Barat, China dan India datang untuk berdagang.

Malakat Mall juga bukan sebuah pasaraya semata-mata. Ia amat bersignifikan kepada ekonomi Melayu Muslim. Usahawan dan Pengasas Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim mendapat inspirasi Malakat Mall dengan mengambil contoh pasar Madinah yang didirikan Nabi Muhammad saw sebagai pasar alternatif kepada pasar Yahudi pada ketika itu.

Idea membuka sebuah pasaraya ini tercetus apabila beliau semakin memahami punca kenapa usahawan Muslim tidak mampu meningkatkan syer ekonomi negara. Ketika berdiskusi dengan ramai para usahawan, beliau mendapati mereka tidak mampu menjalankan operasi di dalam pasaraya kerana peraturan ketat yang juga memerlukan kos pengurusan yang tinggi.

Maka timbul hasrat beliau untuk membuka sebuah pasaraya untuk usahawan Muslim. Tetapi, kos untuk membina mall sangatlah tinggi dan mengambil masa yang lama pula. Jalan yang cepat ialah mendapatkan dead mall atau ‘mall yang mati.’ Dan, wujud sebuah pasaraya yang kosong di Cyberjaya dan di situlah tempatnya bermula.

Malakat Mall bukan bertujuan untuk bertanding dengan mana-mana mall konservatif yang lain. Sebaliknya ia adalah sebuah medan perdagangan tersendiri untuk memperbetul ekosistem ekonomi Islam. Apa pula ekosistem ekonomi itu?

Statistik 2019 menunjukkan, daripada RM112 bilion perbelanjaan di sektor ekonomi di negara ini, 60 % dimiliki oleh pihak asing. 32 % pula oleh pihak bukan bumiputera tempatan, tetapi hanya 8 % dimiliki oleh bangsa Melayu dan juga bumiputera.

Mengapa pihak asing dibiarkan membolot pemilikan hingga 60 %? Kalaulah mereka melabur di negara kita untuk membuat empangan, lapangan terbang, buat roket atau kereta terbang, memang patutlah mereka melabur.

Mengapa mereka dibenarkan melabur di negara ini dalam sektor peruncitan yang  menjual keperluan seperti beras, gula, garam, ikan, sayur-sayuran dan produk pengguna.  Takkanlah orang Malaysia tak pandai jual beras sendiri, sampai benarkan pihak asing jual beras pada orang kita?

Orang kita memang tidak berfikir jauh bila berbelanja. Asalkan sedap, asalkan murah, mereka akan kerumuni. Mereka tidak terfikir, apabila berbelanja untuk mendapatkan gula, garam dan tepung mana-mana kedai itu boleh mereka pindahkan ke kedai-kedai Muslim. Inilah bentuk pertolongan yang mereka boleh lakukan.

Agensi-agensi kerajaan hanya memberi ilmu, modal dan perundingan kepada mereka yang berminat menjadi usahawan. Mereka tidak melatih mereka membina jaringan dan menggabungkan para usahawan ini menjadi rakan kongsi dan seterusnya konsortium. Maknanya, mereka dilatih dan kemudian dilepaskan ke medan perniagaan yang luas dan mencabar secara sebatang kara!

Kumpulan Malakat cuba menjawab permasalahan ini dengan  menyediakan ruang niaga kepada mereka sebagai tempat latihan. Tiada sewa dikenakan tetapi hanya keuntungan yang dikongsi agar mereka dapat terus bertatih dan bernafas.

Perjuangan Kumpulan Malakat ini berwawasan besar dan tersusun. Tetapi ia memerlukan sokongan para usahawan dan juga para pengguna. Alangkah bagus jika para pengguna yang membeli-belah di mana-mana secara beramai-ramai memindahkan perbelanjaan mereka ke satu-satunya pasaraya Muslim yang ada? Jika tidak, apalah akan berlaku kepada anak bangsa seandainya jaguh di kampung pun mereka tak jadi!