Site icon LayarMinda

Duduk Di Atas Lombong Emas

MAAFCAKAP 23.2.2022

Saya menerima sebuah video yang menarik dari seorang sahabat Whatsapp. Sekali pandang, video itu bagai video untuk suka-suka. Bagaimana pun saya membukanya dan terhibur pula dengan lagu di video itu. Tetapi saya lebih kagum apabila mendapati penyanyi lagu itu adalah seorang penjual kacang putih!

Bhuban Badyakar adalah seorang penjual kacang putih jalanan di Bengali Barat, India. Tiada sesiapa pun yang peduli dengannya setiap kali dia sampai ke pekan-pekan dengan motorsikal buruknya untuk menjaja kacang. Bagi menarik perhatian, Bhuban menjaja sambil bernyanyi ala-ala rap. Rentaknya yang unik itu telah menarik sebuah syarikat tempatan Godhulibela Music membuat remix hingga lagu itu menjadi tular.

Kegilaan yang dicetuskan oleh lagu itu telah menarik lebih 77 juta tontonan dan 2.4 juta tanda suka dalam masa dua bulan! Di mana-mana laman sosial, lagu ini menjadi pilihan. Ia memunculkan Kacha Badam Challenge di Tik Tok. Kini, syarikat Godhulibela Music telah menerbitkan versi rap dengan mengundang Bhuban Badyakar sendiri sebagai penyanyinya. Dengan bayaran awal berjumlah RM15,000 dari syarikat itu, kehidupan Bhuban bakal berubah kerana sudah menjadi sensasi di dunia!

Pepatah Melayu mengatakan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Benar, tuah seseorang manusia tiada sesiapa yang tahu. Tetapi ia boleh disedari dengan dua cara iaitu oleh orang lain dan juga diri sendiri. 

Dari semasa ke semasa mereka yang berada hampir dengan seseorang itu akan nampak bakat terpendamnya. Terdapat ribuan contoh di mana bakat seseorang anak disedari oleh ibubapanya. Yang terkini kita ketahui ialah mengenai Adik Haziq yang terkenal sebagai ‘wartawan cilik.’ Sikapnya yang pandai berceloteh dan memasak dipupuk oleh kedua ibubapanya. Bakatnya tular apabila videonya melapor mengenai ‘penemuan ular sawa yang amat dahsyat’ telah mengangkatnya sebagai selebriti muda.

Ramai mereka yang menyandang jawatan tinggi di pelbagai sektor perkhidmatan awam dan korporat juga berjaya kerana disedari oleh guru-guru mereka. Guru-guru yang mengajar merekalah yang seterusnya mencadangkan mata pelajaran dan aliran pendidikan hingga mereka mencapai cita-cita kerjaya mereka. Di dalam syarikat-syarikat korporat, adalah menjadi kebiasaan di mana staf-staf yang muda dan berpotensi diberi peluang oleh ketua atau majikan mereka untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi dan akhirnya mencemerlangkan potensi dan prestasi seseorang.

Dalam pada itu, jika kita merenung ke sekeliling, kita akan dapati ada di kalangan teman-teman kita yang mempunyai bakat terpendam seperti menjadi pengacara, perunding, motivator, inisiator, jurujual, malah pemimpin kerana personalitinya amat trampil dan menyenangkan kita. Sekiranya, bakat yang ada itu digilap dan diketengahkan, kawan gurau senda kita itu mampu menjadi hebat.

Cuma yang sukar disedari ialah menyedari kebolehan yang ada di dalam diri kita. Bakat itu tiada sesiapa pun yang tahu. Namun, ALLAH Maha Adil. Setiap insan dilahirkan unik dengan jodoh, ajal, maut dan rezekinya yang telah ditetapkan. Rezeki bukan sahaja berupa material, tetapi juga dalam bentuk bakat dan kebolehan. Bawalah diri menelusuri jalan kenangan untuk mengingati apakah kebolehan dan kegemaran yang pernah kita ada. 

Dengarlah suara hatimu. Bila bermuhasabah, kita akan dapati bahawa kita punyai satu atau lebih dua bakat yang tidak ternilai. Oleh kerana tidak menganggapnya suatu anugerah Illahi yang khusus untuk diri, kebolehan ini tidak diasah hingga ia malap, tumpul dan tenggelam di dalam diri. 

Hati tiba-tiba akan menjadi riang bila kita teringatkan kebolehan yang kita ada ini. Semangat akan muncul tatkala imaginasi mula melingkar di minda. Inilah lombong emas atau goldmine yang kita ada. Terlalu lama kita duduk di atasnya. Angkat dan gilaplah kebolehan ini. Letakkan sasaran, mulakan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.

Insya-ALLAH, lombong emas yang merupakan khazanah tersimpan ini bakal memberi dimensi dan sinar baharu buat masa depanmu. Selongkar dan gali ia. Sesungguhnya lombong dan emasnya itu adalah milik mutlak kamu.  

Exit mobile version