MAAFCAKAP 8.12.2021

Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan baru-baru ini adalah satu rancangan yang amat wajar bagi menangani kenaikan harga barang. Ia mendapat respons yang amat positif dari kalangan rakyat. 

Setelah kerajaan berhempas pulas dengan tanggungjawab menjaga nyawa para warganya menangani pandemik Covid-19, kini pemerintah mengorak langkah memberi kelegaan bagi rakyat untuk terus hidup dalam ertikata yang sebenarnya.

Jika sebelum ini, golongan frontliners yang menangani pandemik Covid-19 adalah terdiri daripada keseluruhan warga Kementerian Kesihatan, PDRM, Bomba dan RELA, bagi PJKM pula ia merangkum lebih banyak agensi-agensi kerajaan. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), KPDNHEP, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan terlibat sama dengan agensi-agensi di bawah kementerian masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kempen jualan murah yang bermula Sabtu 4 Disember 2021 itu menawarkan harga di antara 20 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. 

Kawasan yang menjadi sasaran ialah lokasi di mana terdapat ramai golongan B40 dan juga M40. Masing-masing memuji program ini kerana ia memberi kelegaan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan keperluan makanan dengan harga yang amat berpatutan.

Perdana Menteri merancang agar kesemua 222 kawasan Parlimen melancarkan PJKM, namun hanya 13 lokasi yang dapat memulakan program itu pada tarikh pelancaran. Sebenarnya, inilah program yang harus dipikul oleh wakil-wakil rakyat kerana ia memenuhi keperluan penduduk di kawasan mereka. Pada waktu ini, rakyat bukan hendak jalan bertar, jambatan konkrit, lampu jalan, masjid, sekolah dan balai raya. Sebaliknya, keutamaan mereka ialah untuk mendapatkan bantuan keperluan hidup.

Inilah juga peluang untuk ADUN dan juga Ahli-ahli Parlimen untuk secara langsung berkhidmat kepada rakyat. Untuk itu, seandainya pihak pemerintah lambat menyediakan tapak untuk tempat PJKM ini, merekalah yang seharusnya mengambil jalan proaktif untuk menggembling pasukan gerak kerja mereka bagi menyediakan tapak PJKM, berhubung dengan agensi-agensi MAFI, pemborong tempatan, golongan petani dan penternak dalam usaha yang bersepadu untuk rakyat di kawasan mereka. 

Kesegeraan perlaksanaan perlu dilakukan. Rakyat patut lekas dibantu. Dan, pilihanraya juga semakin dekat. Kesan mileage politiknya sememangnya menjangkau jauh dan meluas. Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN akan dapat berhubung dengan jaringan pemain ekonomi tempatan serta jiwa dan raga rakyat di kawasan mereka. 

Modal yang diperlukan untuk program seperti ini pun jauh lebih rendah berbanding dengan cara menabur bantuan wang ringgit kepada pelbagai individu dan kumpulan yang selama ini menjadi beban tanggungjawab wakil-wakil rakyat. Ini akan menggembirakan rakyat apabila dapur mereka terus berasap. 

PJKM dirancang untuk terus berjalan selagi harga barangan perlu tidak diturunkan. Jadi, program ini akan menjadi sebuah program yang panjang. Rakyat tidak perlukan sekampit beras setiap kali menjelang pilihanraya. Tetapi perlukan harga beras yang lebih murah agar mereka sendiri dapat membeli berkampit-kampit beras. 

Memikat hati rakyat ‘secara plastik’ melalui wayang pacak, pementasan, konsert dan segala rupa pelancaran kempen sudah tidak praktikal lagi. Rakyat tidak boleh digula-gula. Tetapi mereka akan memberikan ‘senyuman bergula’ kepada pemerintah seandainya pihak berwajib itu membantu agar hidangan sentiasa ada di meja kediaman mereka.

Rakyat tidak mahu lagi dibeli sebaliknya dibela.