Site icon LayarMinda

Sahabat Di Sepanjang Usia

MAAFCAKAP 13.10.2021

Baru-baru ini sebaik sahaja memberi salam, saya terpandang sisi tubuh seseorang yang saya kenal di saf hadapan. Dia kelihatan sedang berdoa. Hati saya berbolak-balik samada hendak menegurnya atau tidak. Tak berani menerjah kerana tidak mahu tersilap orang. Sambil menunggu dia selesai berdoa, saya membuka telefon lalu terpandang sebuah mesej. Ia berbunyi, ‘Din, aku dekat surau Malakat Mall. Kalau hang free, aku ingat nak jumpa hang.’

‘Mail! Hang buat apa kat sini?’ Sebaik sahaja Ismail bangun, saya menyapanya sambil mengunjuk mesejnya di telefon saya. Kami bersalaman dan berbalas renungan. Mengira berapa garis kedut di dahi dan uban di kepala masing-masing. Ismail adalah rakan sekelas saya di kampus. Sudah lebih 40 tahun kami bersahabat.

Selepas tamat belajar, kami memilih haluan masing-masing. Namun ALLAH mengizinkan kami terus berhubung dari dahulu hingga ke hari ini berbanding dengan kawan-kawan lain yang kini hanya hadir di alam maya. Ada sahaja insiden yang membuatkan kami terserempak lalu terus pergi minum-minum atau makan-makan. Tahun berlalu dan masing-masing akhirnya saling bertukar jemputan perkahwinan anak atau menyampai berita sedih kepulangan kawan-kawan ke negeri abadi.  Dengan adanya aplikasi Whatsapp, perhubungan jadi mudah.

Di sepanjang perjalanan hidup, kita membina persahabatan. Pada waktu kita mula berkenalan kita tidak tahu apakah bentuk perhubungan yang kita akan lalui dengan seseorang. Barangkali sekadar teman sekolej atau teman sekerja yang kita akan lupakan bila terpisah. Jumlah yang hanya sekadar kawan sememangnya ramai. Yang menjadi karib amat sedikit.

Bersama dengan teman-teman yang karib inilah kita sama-sama melihat perubahan fizikal, mental dan spiritual. Jika dahulu masing-masing berambut panjang, berombak dan berkilat. Kini, kilatnya ada juga, tetapi dari kulit kepala yang dipanah cahaya matahari. Dahulu, cara berdiri gaya pendekar, kini sudah berubah lutut hampir bertemu lutut.

Walaupun pertuturan masih penuh dengan lawak jenaka, namun ada kalanya perbualan terhenti kerana ada perkataan yang tidak muncul di fikiran akibat ingatan tiba-tiba menghilang. Perbualan tentang hakikat kehidupan dan kematian sering berselang-seli dengan cerita semasa.

Persahabatan yang lama memberi erti tentang perjalanan usia. Masing-masing memahami dan mengingati zaman jahiliah di usia muda. Segala fragmen cabaran seharian dalam pembelajaran, perhubungan malah percintaan kini teradun menjadi diri kita. Bersama kawan-kawan lama, segala nostalgia mudah melonjak dari bawah sedar ke kotak memori. Inilah yang menjadikan persahabatan yang lama begitu membahagiakan.

Sahabat-sahabat lama yang dikumpul sepanjang usia inilah cermin kehidupan yang memancarkan bukan wajah semasa semata-mata tetapi juga wajah-wajah semalam yang ada di antaranya ingin kita lupakan. Cermin-cermin ini mampu bercakap untuk mengingat dan menasihati agar perjalanan mampu direntas dengan langkah-langkah yang cermat agar tidak terjerlus di penghujung usia. 

Beruntunglah seandainya kita punyai kawan-kawan yang sentiasa memberi kita ingatan sebagai bekalan kita di alam sebelah sana. Tidak kena pula seandainya mempunyai kawan-kawan yang mahu kita terus menerus berkelakuan seperti orang muda meskipun atas alasan untuk suka-suka. Maklumlah orang tua mudah melatah dan pelupa. Lebih-lebih lagi akan berbahaya seandainya lupa daratan pula kerana mabuk di laut kehidupan.

Untuk itu, pandainya memilih kawan bukan sahaja untuk kita yang baharu hendak kenal dunia sebaliknya untuk kita yang akan meninggalkan dunia. Betapa pun, untuk mendapat kawan-kawan yang akan kekal hingga ke dunia sebelah sana berbalik juga dengan perangai kita sendiri. 

Tanya juga diri apakah kita menjadi pilihan mereka untuk menjadi kawan mereka? Beruntunglah sekiranya kita masih menjadi pilihan mereka sejak zaman muda lagi. Jika dahulu teman berdikir, kini menjadi teman berzikir.

Exit mobile version