Site icon LayarMinda

Ke Mana Kita Nak Kelek Sijil?

MAAFCAKAP 28.7.2021

Sudah lebih setengah tahun 2021 berlalu. Hampir pasti kemelut Covid-19 akan berlegar hingga ke penghujung tahun. Dengan kemunculan varian ganas terkini Lambda yang kemungkinan terlepas ke negara kita, (nauzubillah) kita tidak boleh menjangkakan tahun 2022 bakal disambut meninggalkan Covid-19 jauh-jauh dalam lipatan sejarah.

Namun, jika kita berpegang kepada prinsip alam bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini dan dengan menyakini bahawa ALLAH swt sahaja Yang Baqa, maka kita menaruh harapan pandemik Covid-19 akan beransur-ansur pergi. Apakah tempo kehidupan akan merancak kembali atau mungkinkah akan ada cabaran yang lebih getir yang bakal kita depani?

Betapa pun, kita kena akui dan menerima hakikat bahawa kita sudah mengasimilasi normal baharu sebagai normal biasa. Dalam apa jua aspek kehidupan, kita sudah belajar untuk reset; iaitu untuk unlearn apa yang selama ini kita lakukan dan relearn cara baharu mengharungi kehidupan ini.

Di antara bidang yang paling memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan kita ialah bidang pendidikan.  Yang bersekolah kini mengikuti Pelajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Yang menuntut di institusi pengajian tinggi pula mengikuti pelajaran secara online. Pendek kata, kita kena belajar cara belajar!

Diam tak diam, sudah hampir dua tahun pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi kita lalui dengan medium skrin komputer. Bagaimana pun, mereka yang telah melepasi zaman pendidikan formal turut berasa kurang selesa dengan penyampaian pelajaran dengan cara ini. 

Mereka yang old-school masih memikirkan bagaimanakah masa depan generasi akan datang apabila pembelajaran dihadapi dengan cara begini. Sehinggakan ramai yang memandang sinis apabila pihak Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata pencapaian Gred Purata Nasional calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Rata-rata mereka lebih sangsi dengan cara Kementerian Pendidikan menetapkan kaedah penggredan. Mungkin kerana PdPR, pihak kementerian menurunkan gred permarkahan. maknanya menurunkan standard! Padahal, tinggi atau rendah peratusan akademik sudah tidak penting lagi dalam keadaan sekarang. Sebab yang lebih perlu kita semua tumpukan ialah dari aspek pembinaan kemahiran hidup.

Apakah dalam tempoh hampir dua tahun anak-anak kita berada di rumah, kita sempat beri mereka pendidikan dan asuhan yang membina akhlak seperti budi bahasa, adab sopan, rajin, bertanggungjawab, amanah, menepati masa dan mengutamakan ibadah? Apakah kita memahamkan mereka betapa pentingnya berdisiplin, mematuhi peraturan dan mengutamakan kepentingan ramai berbanding dengan kepentingan peribadi?

Atau apakah kita masih lagi risau kerja rumah mereka yang tidak siap, bimbang bagaimana peperiksaan yang anak-anak akan hadapi dan betapa nanti jika keputusannya nanti tiada ‘A’ lagi? Pentingkah deretan ‘A’ lagi jika kita duduk dan merenung apa akan jadi pada masa depan anak-anak jika masih berfikiran ‘belajar rajin-rajin nanti lulus periksa?’ Bukankah agama mengamanahkan ibubapa mendidik anak? Sudah lama ibubapa terlupa akan amanah yang akan dipersoal oleh Al-Hakim  nanti.

Akan adakah kerja baik lagi jika kita masih mempunyai imej bahawa pekerjaan di bilik berhawa dingin, di bangunan pencakar langit, berpakaian sut dan tali leher itu kerjaya bagus? Akan adakah nanti kehidupan jet set terbang ke sana ke mari, melancong ke sana-sini sebagai imej kejayaan?

Semua itu entah ada, entahkan tidak. Kehidupan dalam dunia yang bermewah penuh glamor tidak keterlaluan jika dikatakan sedang beransur-ansur menjauh. Kita akan berdepan dengan hari-hari sukar. Jika anak-anak dapat survive pun dalam kehidupan, syukurilah. 

Maaf cakap… universiti yang benar-benar akan mengajar mereka ialah Universiti Kehidupan. Jika pun mahu belajar tinggi-tinggi, ia adalah kerana penghormatan dan cinta kita kepada ilmu itu sendiri. Dunia ilmu akan kembali  disanjung secara tulin dan luhur.  

Kelulusan tidak akan lagi menjadi penentu mutlak kejayaan masa depan.

Exit mobile version