Oleh: Nurhidayah Hairom.SinarHarian

SHAH ALAM – Sebahagian besar penerbit buku yang menjalankan operasi jualan buku secara e-commerce berkemungkinan terpaksa menghentikan jualan kerana masih belum menerima surat kebenaran beroperasi daripada Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) menzahirkan kekhuatiran itu dan memohon perhatian kerajaan bagi menangani masalah tersebut.

Menurut Mabopa, sebahagian besar ahli masih belum menerima surat kelulusan operasi seperti yang diperlukan.

“Dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini, semua kedai buku fizikal ditutup. Oleh itu, para penerbit buku menjalankan jualan buku secara e-commerce dan jualan edisi ebook, sepertimana yang telah dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP).

“(Namun) sehingga jam 4 petang ini, dianggarkan 90 peratus penerbit yang terlibat dalam jualan e-commerce masih menunggu surat ini.

“Tanpa surat ini, operasi jualan e-commerce buku akan terhenti esok. Kami memohon perhatian pihak kerajaan dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

*****

Dalam satu perbualan melalui Whatsapp, Presiden MABOPA Saudara Arief Hakim Sani Rahmat menjelaskan sejak Khamis lalu, semakin banyak penerbit yang menerima kelulusan beroperasi. Ini bermakna,s emakin banyak penerbit akan mendapat kelulusan beroperasi pada PKP 3.0 ini.

“Hujung minggu ini nampaknya sudah ada penerbit yang terima. Saya ingat boleh settle,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke e-pasaraya seperti Shopee, Lazada dan Lamboplace mendapati jualan buku nampaknya tidak terjejas langsung. Transaksi dilihat berjalan seperti biasa di mana para penjual masih mempromosikan buku masing-masing.