ADA orang kata, menulis novel cinta ni amat mudah. Kisah kahwin paksa, kahwin kontrak, kahwin selepas ditangkap khalwat, mula-mula benci atau lama-lama rindu. Ah, sebut apa pun jalur plotnya, akhirnya boy dan girl tu kahwin juga. Mudah sangat.

  1. Itu orang kata. Tapi cuba tanya novelis. Apa yang mereka akan jawab? Mereka akan ceritakan bahawa menulis novel cinta ini bukan mudah. Sebabnya? Sebut apa sahaja jalur plot… cinta tiga segi, empat segi, lapan segi… cinta sebelum nikah, cinta selepas nikah, berpisah dan bertemu dan berpisah, hero mati kemudian hidup balik… hampir kesemuanya sudah jadi jalur cerita orang lain.
  2. Novel cinta akan berakhir dengan hanya dua kesudahan. Pertama, pasangan kekasih itu melangkah ke jinjang pelamin. Kedua, angan pelamin mereka musnah. Kahwin atau tak kahwin, itulah kesimpulan yang akan mengakhiri cerita.
  3. Bagaimana pun jika anda penulis baru dan nak menulis novel cinta juga? Macam mana nak tulis jika semua jalan cerita dah boleh diagak kesudahannya? Bila boleh diagak, tentu pembaca tak akan suka. Bila tak suka, mereka tak akan beli novel kita. Jadi, bagaimana? Kerana itu, menulis novel cinta ini bukannya senang.
  4.  Tetapi jangan risau. Sebab, menulis novel genre lain seperti thriller, sejarah, bisnes, fantasi sci-fi atau apa sahaja, memang pun sukar juga. Kerana itu, tulis sahaja cerita cinta anda. Walaupun plotnya sama seperti cerita cinta orang lain, jangan pula lupa, nama watak, latar tempat, latar masa, dialog dan gaya penulisannya adalah tulisan anda. Orang lain tak boleh tiru. Itulah kelainan yang orang cari.
  5. Sama jugalah jika kita lihat semua manusia ada dua biji mata, dua lubang hidung dan satu mulut. Meskipun pada asasnya muka manusia adalah sama, tetapi mengapa kita tidak jemu-jemu melihat wajah-wajah manusia kalau kita duduk bersidai di kompleks membeli-belah untuk memerhati manusia?
  6. Sebabnya, walaupun ada persamaan di antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain, terdapat perbezaan yang membuatkan manusia itu berbeza. Selain daripada sifat-sifat asas manusia seperti dua tangan, dua kaki dan satu kepala, ciri-ciri lain seseorang manusia seperti suaranya, ketawanya, senyumannya, reaksinya apabila berdepan dengan kejutan misalnya akan menjadikan seseorang manusia itu unik. Malah sifat-sifat yang unik itulah yang menjadikan seseorang itu menarik.
  7. Cinta umpama makanan bagi manusia kerana ia adalah fitrah insan. Manusia lahir hasil daripada perhubungan cinta. Kerana itu, walaupun terdapat lain-lain genre novel, pembaca masih boleh kekal menyukai novel cinta. Malah, mereka tidak akan jemu dengan novel-novel cinta.
  8. Kerana itu, novel cinta adalah umpama nasi lemak. Meskipun semalam kita sudah menjamah nasi lemak untuk sarapan, pada pagi ini kita masih boleh menjadikan nasi lemak sebagai sarapan. Esoknya pun boleh.
  9. Yang patut dibuat oleh penulis novel ialah menjadikan hidangannya itu sebagai santapan yang terbaik. Oleh itu, ia perlu punyai asas ramuan yang lengkap seperti nasi lemak; ia perlu ada nasi, timun, ikan bilis, sepotong telur dan secubit sambal. Asas ramuan yang lengkap sudah cukup baik untuk menarik pelanggan menjamahnya.
  10. Sama juga, apabila menulis novel cinta, ia perlu ada ramuan asas yang lengkap seperti pandang pertama, pertemuan pertama, berkenalan, mengingat, mengenang, merindu lalu menyintai. Yang membezakannya daripada novel yang lain ialah latarbelakang watak, karektornya, pemilihan perkataannya, latar masa, latar tempat serta kerjaya.
  11.  Seperti nasi lemak, pelanggan akan mencuba resipi kita. Penulis kena cari resipi rahsia agar pembacanya tak lari, malah akan datang lagi.