Site icon LayarMinda

TIDAK AKAN LARI KERUSI DIKEJAR

Banyak pihak dapat mengagak yang PKP akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Dan, benar. Perdana Menteri telah mengumumkan PKP ke atas negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, kelmarin. PKPB pula untuk negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan ialah Perlis dan Sarawak.

Pada pagi semalam pula, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah mengusulkan pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak diperkenankan. Namun, pada kali ini pertimbangan semula dibuat oleh baginda dan diperkenankan berikutan dengan menularnya Covid-19.

Apa pun, kedua-dua pengumuman ini disambut baik oleh rakyat jelata. Mereka mahukan pihak kerajaan melaksanakan PKP demi mengekang pandemik Covid-19. Malah pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan tindakan yang jitu meskipun ada pihak yang masih mengatakan ia adalah taktik Tan Sri Muhyiddin untuk kekal berkuasa. Yang bercakap begitu hanya orang politik. Rakyat jelata tidak lihat begitu.

Yang penting, suara rakyat yang rata-rata mahukan PKP diperketatkan telah didengar oleh pemerintah. Dan pengisytiharan darurat pula juga memberi kesan kepada orang politik kerana mereka tidak boleh lagi memaksa pilihanraya diadakan pada ketika kegawatan kesihatan rakyat, malah kesihatan mereka sendiri. Tidak keterlaluan jika pengisytiharan darurat itu adalah satu bentuk PKP – Perintah Kawalan Politik!

Tak akan lari kerusi dikejar. Apabila pengisytiharan darurat diumumkan, tiada lagi kerusi akan bertukar tempat, tiada pula yang boleh dirampas melalui pilihanraya kecil mahupun umum. Status quo, kekal. Malah parti-parti politik memperoleh masa untuk benar-benar memenangi kerusi dengan cara anak jantan iaitu melalui pilihanraya umum. Tidak perlu melalui cara menarik sokongan hingga neraca politik kerap naik turun seperti papan jongkang-jongkit. Bila ada yang menuduh kerajaan sekarang adalah kerajaan tebuk atap, tindakan mereka juga persis menebuk ~ menebuk buritan bahtera negara hingga kesemuanya boleh lemas tenggelam.

Pertimbangan sekarang ialah pertimbangan untuk memelihara nyawa. Itu lebih penting daripada hayat politik, sebab hayat politik masih kekal apabila PKP dan darurat diisytihar. Jika ia tidak dilakukan sekarang dan pilihanraya diteruskan, mana-mana pihak yang menang tidak boleh menjamin bahawa pandemik Covid-19 akan hilang begitu sahaja secara magis selepas pilihanraya umum.

Pemimpin politik sepatutnya membela rakyat, bukannya menganiaya rakyat dengan pertaruhan nyawa atas nama demokrasi. Dalam tempoh ini, rakyat mahu meneruskan hidup, menyara keluarga dengan sesuap nasi dalam waktu yang penuh kepayahan ini. Mereka juga tidak mahu ahli keluarga mereka tiba-tiba hilang dari mata bila diserang virus Covid-19 jika pemerintah menurut telunjuk puak-puak dalam politik yang mahukan PRU. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa di antara sebab menularnya kembali Covid-19 adalah berpunca daripada Pilihanraya Negeri Sabah tidak lama dahulu.

Betapa pun pengisytiharan darurat hingga Ogos adalah satu tamparan hebat untuk semua kerana ia memakan masa 8 bulan. Ertinya lebih separuh kebahagiaan 2021 telah hilang dari kita. Hampir keseluruhan 2020 telah berlalu begitu tanpa banyak pencapaian. Janganlah ada pihak yang hendak rosakkan masa depan kita meskipun secara retorik.

Biarlah pelabur luar hendak melabur ke negara mana pun hingga menjejaskan ekonomi negara. Ia adalah keputusan yang terpaksa diambil walaupun kita berada dalam situasi diluah mati emak, ditelan mati bapak. Banyak negara lain yang lebih teruk berdepan dengan soal hidup mati. Jika soal banyak atau sikitnya duit atau ekonomi menjadi kayu ukur, mereka dah salah keutamaan kerana seolah-olah ingin membawa wang hingga ke mati!

Exit mobile version