Site icon LayarMinda

Kenapa asyik terlupa lagi?

MAAFCAKAP 23.12.2020

Saya menerima sebuah video dari beberapa buah kumpulan Whatsapp. Video itu memaparkan majlis perkahwinan seorang wanita Melayu dengan seorang lelaki berbangsa Sikh di India. Agakan saya benar apabila terdapat komen-komen panas dan pedas mengkritik tindakan wanita itu. Malah ada yang sudah menganggap dia sudah menganut agama Sikh kerana terpapar adegan yang menunjukkan wanita itu mengikut adat budaya kaum itu.

Akibat kritikan yang begitu bersemarak, wanita itu terpaksa membuat kenyataan tentang duduk perkara yang sebenar. Beliau mengatakan yang pasangannya telah memeluk Islam dan dia juga tidak menukar agama. Isu panasnya terus jadi suam. Namun, apa jadi dengan komen-komen pedas yang ramai telah keluarkan? Bila kebenaran terhebah, baru kita tersedar yang kita sudah tersilap. Tetapi kita hanya duduk diam-diam.

Tidakkah masing-masing hendak buat kenyataan meminta maaf kepada wanita itu kerana terlanjur kata, dengan menarik balik kenyataan atau memadamkannya sahaja? Biar sekali lagi laman sosial dipenuhi dengan mesej-mesej memohon maaf pula. Saya mengharapkan begitu kerana kalau kita dah buat silap, kenalah mohon maaf.

Maaf cakap… tidak hendaklah saya pula komen secara over tentang ‘adegan merangkak di padang Mahsyar kerana mencari seseorang kerana hendak memohon maaf.’ Namun, hal fitnah di media sosial ini amat menjejaskan timbangan mizan, esok! Jika kita bertanya kepada golongan alim pun, itulah jawapan mereka.

Buat sekian kalinya kita mudah sangat ribut mengata dan menghukum. Segala-galanya terjadi kerana kita bertindak secara spontan kerana gopoh. Kerapkali juga apa yang kita kritikan itu tak betul pun. 

Tidak dinafikan penggunaan media sosial punyai kesan positif jika dikendalikan dengan baik.

Ia boleh mempromosi rasa gembira, prihatin dan kasih. Ia juga memberi kita bantuan melalui pandangan rakan-rakan. Lontarkan apa sahaja soalan di media sosial, walaupun hanya bertanya ‘nak masak apa hari ini?’ Dalam beberapa minit kita akan dapat berbelas jawapan dan cadangan dari teman-teman media sosial. Secara maya, kita tidak sendirian. Inilah media yang mempererat silaturrahim. 

Dalam pada itu, ia juga  memberi kesan negatif terhadap psikologi seseorang. Bukan sedikit kajian yang menunjukkan setiap kali seseorang itu menatap laman media sosial di telefonnya, fikirannya mudah terangsang untuk segera memberi reaksi. 

Begitu juga, respon orang lain terhadap apa yang kita tulis di laman sosial akan menyeronokkan kita. Sebenarnya, tanpa kita sedari pada waktu itu, hormon dopamin dirangsang keluar dari otak. Inilah yang menjadikan kita berasa gembira. Siapa yang tidak mahu rasa gembira? Kerana inginkan perasaan itu, maka kita ulangi perbuatan yang akan menggembirakan teman-teman media sosial. dan juga menggembirakan kita sendiri.

Apabila teman-teman akan memberi respon positif yang menggembirakan,  kita ulang dan ulang lagi tindakan itu sehingga kita ketagih untuk mendapat ‘tanda suka’ atau ‘kongsi’ teman-teman. Dalam waktu yang sama, hormon dopamin semakin banyak mengalir dari otak. Bila kadarnya berlebihan, apa akan jadi setelah itu? Kita akan jadi ketagih. 

Akhirnya apa sahaja perkara yang sampai kepada kita akan kita komen kerana secara bawah sedar kita inginkan respon teman-teman. Dan tanpa kita sedari, kita akan komen untuk mendapat perhatian. Instant gratification atau kepuasan spontan adalah apa yang kita dambakan. 

Bilakah ketagihan ini akan berhenti? Sampai bila kita hendak hentikan perangai mengkritik dan menghukum tanpa usul periksa akibat terlebih guna media sosial ini? Saya tanya anda, saya juga tanya diri saya sendiri… hingga bilakah kita semua terlupa bahawa apa yang kita buat itu ada dosa dan pahala? 

Dan, Tuhan kita itu Al-Hasib iaitu yang Maha Mengira!

Exit mobile version