Site icon LayarMinda

Mari Bina Ekosistem Ekonomi Islam

MAAFCAKAP 11.11.2020

Ekosistem ekonomi ialah sebuah komuniti yang disokong oleh pelbagai organisasi dan individu. Komuniti ini menghasilkan produk dan perkhidmatan kepada para pelanggan yang mana mereka adalah ahli di dalam ekosistem itu. Ekosistem ekonomi Islam pula adalah sebuah jemaah yang mengandungi pengeluar, pemborong,  penjual dan juga pengguna sebagai ahli-ahlinya. 

Secara tamsilannya ia seperti sebuah aktiviti ekonomi di dalam sebuah kampung di mana hasil tanaman petani sebagai pengeluar dibeli oleh pemborong dan kemudiannya diagihkan kepada penjual yang memasarkannya kepada orang-orang kampung sebagai pembeli. 

Pada hari ini, ekosistem ekonomi Islam kita amat longgar, tidak sistematik kerana ia tidak diusahakan secara sengaja. Hanya sebahagian kecil sahaja yang punyai semangat ‘hendak tolong sama seagama atau sebangsa’ sementara sebahagian besar yang lain berasakan ia tidak mustahak. 

Dalam ekosistem peruncitan misalnya, pengeluar Muslim seperti nelayan, petani dan penternak, menjual hasil pengeluaran mereka kepada sesiapa sahaja yang boleh memberi pulangan yang tinggi. Begitu juga, pihak pemborong dan pengedar mengambil apa sahaja barangan yang laris di pasaran. Kita pula sebagai pengguna, membeli dari mana-mana dan dari sesiapa yang kita suka. 

Akibatnya, hanya mereka yang punyai perniagaan besar dan hebat sahajalah yang sentiasa menguasai pasaran.

Melalui modal yang besar mereka mengaut segala hasil pengeluaran dengan harga yang lebih murah kerana mereka membeli dari kuantiti yang besar. Dengan prasarana perngangkutan, komunikasi, pengiklanan dan pemasaran, yang besar akan terus besar, sementara yang kecil tak akan besar-besar. 

Inilah yang dikatakan sebagai situasi yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Padahal, yang miskin boleh juga membesar dan menjadi kaya sekiranya semua pihak di dalam ekosistem itu sepakat untuk membantu di antara satu sama lain bagi menegakkan seluruh ekosistem ekonomi itu.

Namun pada hari ini, usaha secara kolektif dan sistematik boleh dikatakan tiada dilakukan. Bagaimana pun, jika dilihat pada susunan ekosistem ekonomi kaum lain, hal ini amat dititikberatkan. Malah, ia sudah menjadi budaya kehidupan mereka. 

Jika diperhati secara rambang, dalam sektor peruncitan misalnya, kita akan dapati orang Cina tidak ramai ke pasar mini orang Melayu sedangkan orang Melayu membeli di mana-mana sahaja yang mereka ingini. Keadaan ini berlaku kerana generasi asal mereka berhijrah ke negara ini. Jadi, konsep tolong menolong sesama mereka amat kukuh sebagai suatu budaya hingga ke hari ini.

Tidak salah pun apa yang mereka lakukan kerana ia adalah pendirian untuk mendahulukan kaum sendiri. Justeru itulah, kita sendiri perlu mengamalkan hal yang sama. Itupun bukannya dengan cara menolak mahupun memboikot ekonomi kaum lain. Tetapi dilakukan dengan memperbanyak jumlah urusniaga kita dengan bangsa sendiri. Kita patut meniru apa yang baik dilakukan oleh kaum lain untuk menegakkan ekosistem ekonomi kita. 

Mengapa ini belum terjadi? Ia belum berlaku kerana kita belum memahami peri pentingnya menegakkan ekosistem ekonomi Islam. Lagi pula, tiada yang mentarbiahkan masyarakat mengenai hal ini. Kita punyai ramai sekali ahli ekonomi, bisnes dan kewangan tetapi mereka tidak berkebolehan menyeru secara massa.

Para ustaz pun walaupun punyai pengaruh dalam penyampaian, namun tiada yang mengkhususkan penyampaian ilmu ekonomi dan perdagangan Islam walhal berniaga itu adalah sunnah Rasulullah saw. Orang politik yang punyai kehebatan komunikasi dan pengaruh pun sibuk dengan dunia mereka sendiri.

Tanpa ekosistem ekonomi Islam, kita akan terus tewas dalam percaturan perniagaan kerana kita berurusniaga dalam sistem, peraturan dan undang-undang orang lain. Selagi aktiviti ekonomi diamalkan menurut sistem kapitalis yang mengutamakan siapa kuat, dia menang, selagi itulah kita terus ketinggalan kerana tak boleh mengangkat muka.

Kita kena bina ekosistem ekonomi Islam. Tapi siapa hendak gerakkan?

Exit mobile version