MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI.KOSMO.1.10.2020

Sasterawan Prof. Dr. Lim Swee Tin telah menulis buku himpunan puisi berjudul Merentas Gempita: Pandemik 2020. Antologi yang dikarang khas oleh dirinya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia merupakan sebuah buku yang menghimpunkan 57 puisi.

Buku itu juga telah diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai puisi pandemik Covid-19 terpanjang (longest Covid-19 pandemic poem).

 “Pandemik ini memberi banyak kesan dan mengubah norma kehidupan manusia. Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk menghasilkan puisi berkaitan Covid-19,” katanya.

Puisi-puisi yang terkandung di dalam buku tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kesan, kebimbangan serta pengajaran yang wujud daripada penularan virus tersebut.

Swee Tin menegaskan, pandemik Covid-19 memberi banyak kesan kepada kehidupan dan ancamannya juga telah menghiruk-pikuk ketenteraman hidup manusia di seluruh dunia.

Dia percaya itu semua adalah ujian Tuhan untuk umat-Nya bagi melihat sejauh mana kita bersabar dalam menempuh sesuatu ujian.

“Saya terkesan melihat pengorbanan barisan hadapan. Pengorbanan mereka dalam memerangi penularan wabak ini begitu besar. Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan menyarung pakaian khas yang panas selama berjam-jam.

“Selain itu pasukan polis dan tentera juga sanggup berhujan dan berpanas melakukan pengawasan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” ujar Swee Tin.

Dalam pada itu, Swee Tin juga mendedikasikan dua puisi khas di dalam naskhah tersebut kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang juga merupakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Swee Tin menjelaskan, dia kagum melihat bagaimana Noor Hisham berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Swee Tin merasakan, penulisan kumpulan puisi berkaitan pandemik Covid-19 merupakan satu rekod penting yang boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Sumber asal berita:
https://www.kosmo.com.my/2020/10/01/puitis-puisi-khas-covid-19/

*Gambar Utama: Prof. Dr. Lim Swee Tin bersama naskhah puisinya Merentas Gempita. Pixcredit: kosmo