MAAFCAKAP 23.9.2020
Di zaman persekolahan, kita mempelajari pelbagai ilmu. Pengukur kepada kefahaman pelajaran yang diikuti ialah dengan cara permarkahan. Namun, ada markah aras di antara lulus dan gagal sebagai pengukur tahap kefahaman. Biasanya markah 50 daripada markah penuh 100 digunakan sebagai markah lulus yang paling minima. Jika memperoleh 49, seseorang itu dianggap gagal dalam kefahaman sesuatu mata pelajaran.
Lulus dan gagal ini juga diukur mengikut abjad. A adalah kelulusan terbaik, diikuti dengan B dan juga C sebagai kelulusan yang lebih lemah. Abjad D, E dan F pula biasanya adalah simbol kegagalan di mana F adalah kegagalan yang paling teruk.
Di zaman persekolahan juga, kelulusan dan kegagalan akan menimbulkan reaksi yang berbeza. Yang lulus mendapat A, B atau C akan mendapat pujian di mana yang lulus terbaik akan memperoleh anugerah kecemerlangan. Sebaliknya yang gagal dengan mendapat D, E dan F dianggap gagal dan bodoh. Yang gagal mungkin menerima hukuman dimarahi ataupun dirotan.
Oleh kerana itu, terdapat ramai para pelajar berlumba-lumba untuk memperoleh markah A. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, memberi perhatian di kelas, membuat kerja rumah, mengikuti kelas tuisyen, menekuni latihan, menjawab soalan peperiksaan tahun-tahun terdahulu selain menghafal.
Sebaliknya ada juga yang mengambil jalan selesa dan selamat iaitu dengan secara lulus cukup makan. Adalah okey walaupun mendapat C. Okey juga jika mendapat 50 markah, asalkan ia ditulis dalam dakwat biru. Malangnya, golongan yang mengambil jalan selesa dan selamat inilah yang majoriti. Yang disasar hanyalah keputusan yang ala kadar.
Sikap ini dibawa langsung dari bangku sekolah hingga ke alam kehidupan. Secara tidak disedari, ia menjadi matlamat pencapaian peribadi. Cukuplah baginya dengan gaji cukup makan, perbelanjaan cukup makan, malah juga kehidupan yang cukup makan. Ibadahnya juga cukup makan apabila bersolat di akhir waktu, tidak buat solat sunat tatkala para jemaah lain bersolat badiah dan qabliah. Buat yang wajib sahaja sudah cukup kerana akhirnya masuk syurga juga.
Benar, dia tidak menyusahkan orang lain kerana dia di dalam dunianya yang santai. Namun, apabila dia tidak mahu berusaha untuk jadi yang terbaik dan terhandal, kehidupan cukup makannya kerap menggelongsorkannya dalam situasi ketidakcukupan. Bila dalam keadaan sebegitu, dia akan berusaha untuk naik dari tahap tidak cukup kepada aras cukup makan. Bila dia berasa cukup, dia akan relaks kembali.
Apakah manusia sebegini tidak ada perjuangan di dalam hidupnya? Ada. Dia berjuang. Tetapi dia asyik berjuang dengan dirinya sendiri. Sikap cukup makannya sentiasa membuat dia tenggelam timbul dalam arus kehidupan. Kerana itu dia terpaksa menjaga dirinya sahaja di sepanjang hayat hingga tidak mampu membantu orang lain.
Justeru itu, bukankah sikap cukup makan ini menjadikan seseorang itu hanya mementingkan dirinya? Dia tidak punyai cukup masa, tenaga, fikiran dan wang untuk membantu orang lain. Inilah akibat yang berlaku kepada mereka yang bersikap cukup makan.
Namun jika kita renungi, siapakah yang melarang dia daripada menjadi yang lebih baik, malah yang terbaik? Tanpa apa-apa sebab, sebenarnya dia sendiri yang menghadkan dirinya untuk menjadi terbaik.
Seandainya dia tidak memilih sikap cukup makan dan menjadi yang terbaik dalam segala hal, dia akan punyai segala masa, tenaga, fikiran dan wang untuk membantu ahli keluarga, jiran tetangga, malah sesiapa sahaja yang memerlukan. Malah, dia akan membantu majoriti mereka yang hidup cukup-cukup makan sepertinya sebelum ini. Golongan ini hanya memerlukan sedikit motivasi untuk melonjak dari aras ketidakcukupan ke situasi serba ada.
Jangan pula percaya pada tanggapan bahawa sikap cukup makan itu bersederhana dan kaya raya itu akan menjadikan seseorang itu sombong dan bongkak. Sikap manusia seperti itu hanya ada di dunia TV. Di dunia realiti, terdapat ramai insan-insan kaya raya yang sentiasa memberi. Jadilah salah seorang daripadanya. Bukannya manusia sombong dan bongkak dalam dunia cukup makanmu!
Image by Igor Ovsyannykov from Pixabay