MAAFCAKAP 29.7.2020

Sabtu lalu 25 Julai, hari menarik buat warga Masjid Tanah, Melaka. Pada hari itu, telah berlangsung program Ayuh Bangkit, sebuah program motivasi bisnes yang dikendalikan oleh Coach Fadzil Hashim, seorang usahawan Melayu. Program yang bertempat di M Mall, sebuah bangunan MARA yang telah empat tahun kosong itu dihadiri oleh golongan usahawan Muslim.

Pendaftaran untuk 250 peserta yang ditempah secara online telah penuh; menyebabkan mereka yang ingin walk-in terpaksa pulang berputih mata. Di bandar yang kecil itupun terdapat ramai usahawan Melayu. Mereka bukan sahaja usahawan yang menjual, malah ada yang mengedar dan mengeluarkan pelbagai produk. Malah, di setiap bandar di Malaysia sudah terdapat ratusan ribu usahawan Melayu yang menceburi bidang perniagaan.

YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah hadir untuk merasmikan program itu. Turut bersama YB Datuk Wira Ar Ismail Othman, EXCO Kerajaan Negeri Melaka serta Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM yang juga merupakan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia, KoPPIM.

Program Ayuh Bangkit itu amat signifikan dari pelbagai segi. Untuk para usahawan daerah itu, sebuah medan perniagaan yang baharu telah dibentang luas di depan mata. Bangunan M Mall tempat berlangsungnya program, bakal dibuka sebagai Malakat Mall, sebuah mall Muslim sepenuhnya pada Disember 2020. Ia akan mempamer produk-produk keluaran usahawan Muslim. Apabila disebut keluaran usahawan Muslim atau orang Melayu, kita akan terpandang pelbagai kerepek, kek, tudung dan jubah. Tidak begitu.

Malakat Mall yang dipersembahkan kepada khalayak masyarakat Muslim adalah sebuah mall yang moden. Pasarayanya mempunyai imej yang setanding dengan grocer yang moden. Selain daripada pasar, akan terdapat kedai pakaian, peralatan sukan, D.I.Y, alatulis serta restoran yang dikendalikan oleh cef-cef yang ada bintang.

Inilah salah satu kebangkitan imej syarikat Melayu yang cuba ditonjolkan oleh Coach Fadzil, Pengasas Malakat Mall. Kita sudah ada banyak juga rangkaian kedai runcit seperti Az-Zain, Lesong Mart, Pasaraya Ikhwan dan Elewsmart. Terdapat juga pasaraya besar seperti Mydin. Namun, orang Melayu belum ada mall yang mengisi pelbagai jenis perniagaan di kompleksnya sepertimana Malakat Mall.

Semangat untuk mengubah kedudukan bisnes orang Melayu ini tercetus setelah Coach Fadzil menganjurkan beberapa siri latihan susulan Ayuh Bangkit kepada para usahawan. Beliau melihat potensi pelbagai bisnes orang Melayu tetapi berdiri rapuh kerana mereka tidak mempunyai mall. 

Kerana ingin merealisasikan kesimpulannya, beliau memperoleh sebuah mall yang kosong di Cyberjaya dan dijelmakan menjadi Malakat Mall. Menyedari bahawa membuka mall memerlukan dana yang besar, maka kerjasama dengan PPIM diperoleh melalui keahlian KoPPIM. 

Dalam tempoh 10 bulan koperasi itu diaktifkan, ia berjaya mengumpul lebih 25,000 ahli dengan dana yang kini sudah mencapai belasan juta. Walaupun ada yang berkata, apa yang koperasi boleh buat, mereka harus melihat betapa beberapa buah koperasi di Amerika  yang di antaranya CHS  dan Coop Group yang telah mencapai status berjaya di dalam Fortune 500. 

Semoga Malakat Mall akan berkembang pesat hingga menjadi simbol kebanggaan orang Melayu. Bangga kita bukan setakat menumpang bangga, malah bangga kerana kita juga menjadi tuanpunya mall itu melalui saham sebagai ahli KoPPIM. Sambutan terhadap Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya begitu memberangsangkan. Petanda bahawa Malakat Mall kedua di Melaka mendapat sambutan, amat cerah kerana kini ia menjadi bualan hangat di daerah itu.