DAVID BALDACCI adalah salah seorang novelis aksi thriller Amerika yang berjaya. Beliau adalah seorang peguam sebelum menulis sepenuh masa. Novelnya yang pertama Absolute Power, terbit pada 1996. Setahun kemudian ia dijadikan filem oleh bintang filem lagenda Clint Eastwood. Di antara novel-novelnya yang terkenal adalah The Camel Club, True Blue, Wish You Well dan The Forgotten.

Novel-novel David Baldacci. Pixcredit: Author Don Masszendio

Ikuti temubual dengan beliau:

Bila anda siap menulis, apakah anda berasa mahu menjauhi karya anda?

Saya bukan penulis yang mengira berapa perkataan yang saya tulis pada setiap hari. Ramai rakan-rakan penulis lain yang misalnya mempunyai sasaran 2,000 perkataan sehari. Apabila mereka capai sasaran itu, mereka tutup komputer dan pergi bermain golf.

Saya pula tidak menentu. Saya akan menulis panjang pada satu-satu masa. Kemudian saya boleh tinggalkan menulis hingga seminggu!

Apakah ia tidak membimbangkan saudara kerana segala idea akan tersimpan di dada?

Pada masa dulu, saya akan berasa bimbang bila tidak menulis. Tapi saya tidak pernah melewati tarikh dalam tempoh 14 tahun ini. Cuma sebab mengapa saya begitu suka menulis ialah, saya gemar mengejutkan orang melalui penulisan saya. 

Bagaimana anda menjaga diri sebagai penulis? Contohnya, saudara mesti menjaga tangan saudara sebagai alat menulis. Dengan itu saudara tidak akan ambil sukan lasak seperti bungee jump…

Saya main bolasepak dan juga bergusti di kolej. Saya banyak juga belayar. Dalam keadaan itu, tangan saya biasa tercedera. Saya tak terfikir pun untuk menjaga tangan saya sampai macam tu.

Apakah hak mutlak anda sebagai penulis?

Hak mutlak saya ialah mengubah realiti mengikut apa yang saya mahu. Saya boleh memindahkan bangunan, negara, waktu dan juga generasi. Saya juga boleh mengubah sejarah. Apa yang ahli politik tak boleh buat, saya boleh buat.

Oleh kerana saudara banyak sangat menulis tentang CIA dan FBI, apakah mereka datang mencari saudara? 

Selalu! Saya pernah di telefon oleh pihak agensi angkasa lepas NASA. Mereka mahu saya melawat ke pusat operasi mereka kerana berasa saya mungkin boleh menjadikan tempat itu sebagai lokasi novel saya yang akan datang. 

Saya terima pelawaan dan pergi melawat ke pusat operasi itu. Di sana salah seorang pegawai mereka berkata, mereka berasa bengang dengan sebuah filem berjudul ‘Enemy of the State.’ Dalam filem itu, para pegawai National Security Council yang mengendalikan satelit digambarkan sebagai jahat. 

Novel terkini Walk The Wire. Pixcredit: amazon.in

Sedangkan mereka di NASA adalah lebih jahat daripada itu. Kerana itu pegawai itu meminta saya menulis tentang mereka dengan imej yang lebih jahat!

Ramai daripada mereka dalam pelbagai badan kerajaan membaca novel saya. Ramai di antara mereka yang memberitahu saya, jika mahukan apa-apa bantuan dalam penulisan, saya boleh hubungi mereka. 

Saya pernah ke CIA pada suatu waktu untuk membuat penyelidikan. Mereka amat bekerjasama. Saya ditemukan dengan pelbagai staf dan dibenarkan bertanya. Ketika menaiki lif bersama pegawai yang mengiringi saya, tiba-tiba seorang ejen yang berselisih dengan kami tiba-tiba mengacukan pistol dan menjerit… ‘Hey, you!’ 

Saya terkejut dengan perlakuan itu. Dia bertanya saya, ‘Apakah awak David Baldacci?’ Saya menjawab, ‘Saya tak tahu! Tapi awak ada baca ke, novelnya?’

Ejen itu menjawab, ‘Oh saya suka baca novel dia!’ 

Saya pun lantas berkata, ‘Sayalah David Baldacci!’ 

Kata ejen itu, ‘Saya berasa lega bila awak mengaku yang awak adalah David Baldacci.’

‘Kenapa awak rasa lega?’

‘Saya nampak awak dan saya rasa saya kenal awak. Tapi saya tak tahu bagaimana saya kenal awak. Saya terfikir-fikir apakah awak orang yang saya kenal, atau seseorang yang saya pernah tangkap!’

Video temubual:

Gambar Utama: David Baldacci. Pixcredit: UPI.com