MAAFCAKAP 1.7.2020

Pada artikel sebelum ini, saya menyentuh mengenai video bos-bos Mydin Malaysia yang berpakaian ala-mafia sambil menari dalam video Tik-Tok! Sekali pandang, kita akan tertawa melihat gelagat mereka. Tetapi kemudian terfikir pula mengapa mereka sanggup muncul dalam video sosial Tik-Tok? Bukankah media ini mainan budak-budak yang entah apa-apa?

Sebenarnya, media sosial pada hari ini adalah juga platform pemasaran yang berkesan. Kesemua pasaraya pesaing Mydin seperti Tesco, Aeon dan Giant turut muncul di pelbagai media sosial terkenal seperti Twitter, Instagram termasuk juga Youtube. Justeru itu, ia bukannya sesuatu yang ganjil atau tindakan mentah pasaraya Mydin.

Kita adalah manusia yang punyai paradigma pemikiran. Ia bagus kerana memudahkan kita mengendalikan kehidupan seharian. Namun, apabila sesuatu yang sama datang dalam bentuk yang baharu, kita menjauhkan diri daripadanya. Kita tidak mahu mempelajari sesuatu yang baharu dan bimbang tidak pandai mengendalikannya.

Sebelum ini pun, apabila Facebook mula diperkenalkan pada orang awam pada tahun 2004, ramai yang meremehkannya. Ramai di antara kita yang menganggap Facebook itu tidak lebih dari sebuah permainan dan membuang masa. Namun, lama kelamaan ia menjadi platform perniagaan, persahabatan dan juga dakwah. Namun, apabila ia mula diterima sebagai salah sebuah media yang boleh dimanfaatkan, muncul pula Twitter, Instagram dan YouTube. Sekali lagi, kita menolaknya dahulu sebelum menerimanya.

Tik-Tok jugabukan sekadar memaparkan video tarian dan insiden yang kelakar dan gila-gila, malah sudah mula dipenuhi dengan video-video yang mempunyai nilai. Tatkala kes George Floyd sedang panas di Amerika, terdapat banyak sekali video demonstrasi dari merata pelosok Amerika yang dikongsikan oleh pelayar Tik-Tok. Malah, suasana Masjidilharam yang sunyi berikutan dengan covid-19 turut dipaparkan dengan banyaknya melalui Tik-Tok.

Maka benarlah kata penulis British, Andrew Smith. Ujarnya, “Kita adalah musuh kepada apa yang kita tidak tahu.” Dahulu, orang Melayu tidak mahu anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris kerana takut anak-anak mereka menjadi Kristian. Terdapat kes orang Melayu membuang televisyen kerana dikatakan merosakkan akidah. Terdapat juga kepercayaan bahawa menjadi kakitangan kerajaan itu lebih selamat kerana kerjanya tetap dan berpencen sedangkan berniaga itu dianggap tidak akan menjamin masa depan seseorang.

Yang terkini pun, ramai di kalangan kita yang paranoid dengan covid-19. Di sebalik kesibukan orang ramai yang keluar rumah, masih terdapat di kalangan masyarakat yang tidak mahu keluar kerana bimbang dijangkiti. Kita kenalah terima hakikat bahawa covid-19 tidak akan terhapus sama sekali seperti juga aids, denggi dan juga batuk kering. Dalam pada itu, kita patut menjaga diri dari covid-19 dengan mengamalkan penjarakkan sosial dan membasuh tangan. Selepas itu, kita hanya berdoa agar terhindar dari apa jua penyakit sebgai senjata terakhir.

Salah satu ciri yang jelas dalam masyarakat kita ialah ketakutan secara berjemaah. Maksud saya, kebimbangan terhadap sesuatu itu mudah sahaja mengakibatkan penolakan total oleh masyarakat tanpa usul periksa. Suatu ketika dahulu, apabila stesen TV Astro muncul menawarkan khidmat mereka, ramai di kalangan kita beranggapan tawaran berpuluh-puluh saluran TV itu akan merosakkan masyarakat. 

Imejnya mula berubah apabila ia mewujudkan saluran Astro Oasis yang memaparkan rancangan agama secara keseluruhan. Saluran ini mendapat sambutan dan TV3 mula memperbanyakkan rancangan agamanya dan pihak kerajaan membuka saluran TV Hijrah. 

Kita patut menerima sesuatu dengan fikiran yang terbuka namun berhati-hati. Tetapi, jika kita lihat sesuatu itu bertentangan dengan nilai dan hukum, di era kuasa pengguna ini, kitalah yang boleh mengubahnya. Kita tidak perlu lagi takut secara berjemaah dengan menjauhi sesuatu yang dianggap memudaratkan kita akhirnya. Sebaliknya kita patut mendekatinya secara beramai-ramai untuk mengubahnya mengikut apa yang kita mahukan. 

Andainya sesuatu itu dilihat negatif, kita patut bertindak secara berjemaah dengan mengerumuninya hingga mengubah ia menjadi positif pula. Tingkatkan kebenaran agar kebatilan itu kalah dan tenggelam.

*Gambar Utama diolah dari gambar oleh Henryk Niestrój dari Pixabay