Site icon LayarMinda

COVID-19: Kedai Buku Giat Niaga Secara Online

TERENCE TOH.THE STAR. 21.3.2020

KEDAI-KEDAI buku tempatan dan kumpulan sastera diramalkan terjejas teruk berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan pada 16 Mac lalu. Apabila perniagaan mereka diarahkan tutup buat sementara, ramai yang bimbangkan masa depan mereka. Ada juga di antara mereka yang mengubah kaedah operasi agar tetap bertahan.

Menurut Elaine Lau, rakan kongsi kedai buku Lit Books di Petaling Jaya, Perintah Kawalan Pergerakan itu telah memaksanya menutup kedai dan menangguhkan dua acara dalaman. Beliau, suami dan rakan kongsi Min Hun tidak menjangka keadaan ini begitu cepat berlaku sehingga membataskan pergerakan mereka.

“Kami merancang untuk mewujudkan sebuah laman ecommerce tidak lama lagi kerana ia bukan sahaja memerlukan modal untuk mewujudkan portal itu, tetapi juga untuk menambah stok buku. Min Hun sedang menyiapkan pangkalan data di blog kami supaya para pelanggan dapat membuat pesanan,” kata Lau.

Pengasas Kedaibuku Tintabudi Nazir Harith Fadzilah, di Kuala Lumpur pula mencadangkan skim subsidi untuk perniagaan kecil dapat membantu mereka.

Kedaibuku Tintabudi tumpu pada jualan online

“Perniagaan mula lembab apabila berita virus ini diumumkan di peringkat awal lagi. Orang ramai tidak mahu ke kedai dan jualan pun terjejas. Saya harap, akan ada ubat untuk penyakit ini. Andai kata Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, kita tiada pilihan melainkan menunggu sehingga keadaan pulih.”

Bagi Amir Muhammad, penerbit dan tuan punya Kedai Buku Fixi, perniagaannya boleh dikatakan baik kerana lokasinya di Sunway Putra Mall. Bagaimana pun, penutupan perniagaan selama dua minggu itu menghilangkan pendapatan sedangkan kakitangannya akan mendapat gaji penuh.

Beliau dijangka memperoleh pendapatan kasar sekitar RM500,000 jika Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini tidak ditangguh. 

“Kami terpaksa menangguhkan cetakan enam buku-buku terbaharu. Sebaliknya hanya menjual melalui ebuku.”

LitBooks bergantung kepada media sosial untuk kekalkan pelanggan

Rumah Attap Library and Collective di Kuala Lumpur mungkin ditutup. Namun ia masih bersemangat dalam melayani peminat buku melalui media Facebook. Ini termasuk mempromosikan buku-buku mengenai penyakit seperti The Plague tulisan Albert Camus dan Ilness As Metaphor karya Susan Sontag. 

Kedai Buku Gerakbudaya di Petaling Jaya pula telah melancarkan promosi #StayHome&ReadBooks di portalnya dengan buku-buku berharga serendah RM10.

“Perintah Kawalan Pergerakan memang mengejutkan kami. Tetapi kami akan beroperasi seperti biasa bila keadaan pulih nanti.” Demikian menurut status terkini di laman Facebooknya.  

Pautan asal:

https://www.thestar.com.my/lifestyle/culture/2020/03/21/covid-19-so-much-time-to-read-and-malaysia039s-bookstores-closed-what-nex

Exit mobile version