Site icon LayarMinda

Tiga Aspek Tumpuan Kabinet 2020

MAAFCAKAP 12.3.2020

Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berjaya membariskan Jemaah Menteri Kabinet 2020. Alhamdulilah kerana beliau diberi ruang untuk berfikir dengan lebih selesa apabila dua pemimpin parti UMNO dan Pas telah menyatakan bahawa mereka tidak mahu dipilih untuk menganggotai kabinet.

Kenyataan Dauk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak menyertai kabinet sebenarnya mematikan hasrat ahli-ahli parti UMNO dan Pas untuk mendesak dengan pelbagai formula, sifir dan kuota untuk parti masing-masing.

Satu lagi faktor yang penting dalam pertimbangan pemilihan TSMY ialah kesemua nama mereka yang tersenarai itu telah melepasi tapisan SPRM dan juga PDRM. Moga-moga anggota kabinet ini juga telah melepasi piawaian Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Malaysian Qualification Agency (MQA) dari segi akademik!

Perdana Menteri kita nyata berpandangan jauh. Beliau mengutamakan tiga aspek dalam pembinaan manusia iaitu aspek mental, emosional dan material. Beliau memilih untuk menyentuh tiga buah kementerian berkaitan secara khusus di dalam teks ucapan pembentukan kabinet baharunya.

Dari segi mental, beliau telah mengumumkan untuk memisahkan pendidikan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengurangkan beban bidang tugas di antara pendidikan sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Kita mengharapkan warga kerja di sektor pendidikan dapat mengangkat kembali prestasi kualiti pendidikan di Malaysia hingga kembali menjadi rujukan negara-negara lain seperti sebelum ini.

Sudah lebih separuh abad kita daripada pelbagai kaum di Malaysia dapat hidup bersama secara bertoleransi, muhibbah dan berharmoni. Namun akhir-akhir ini kita tidak pandai menjaga dan mengambil hati.

Kita berpolitik hingga menjejaskan hubungan sesama kita. Kementerian Perpaduan Negara yang ditubuhkan harus peka dengan gelodak emosi rakyat Malaysia. Aspek emosi inilah yang patut diurus dengan baik. Banyakkan berbicara mengenai titik persamaan bukannya jurang perbezaan. Seperti harapan TSMY, perpaduan itu penentu kelangsungan atau survival negara kita.

Aspek material juga disentuh oleh Perdana Menteri kita. Hal menangani ekonomi yang kian mencabar menjadi agenda jangka pendeknya. Namun yang menjadi agenda jangka panjang sebenarnya ialah material atau benda untuk masa depan.

Kementerian Alam Sekitar yang akan diwujudkan itu sebenarnya mempunyai agenda jangka panjang tentang bagaimana kita mengurus alam sekeliling. Jika kita berpandangan jauh, dunia tempat kita tinggal inilah satu-satunya material bernilai yang harus kita jagai dan wariskan kepada anak cucu kita.

Jemaah Kabinet 2020 harus juga mengambil semangat ini an menyematkan elemen mental, emosional dan material ini di dalam agenda kementerian masing-masing.

Exit mobile version