LEAH ASMELASH/CNN/FEB 27 2020

Clive Cussler, 88, novelis dan pelayar, telah meninggal dunia pada Isnin lalu. Keluarganya mengumumkan perkara itu di laman Facebook beliau.

Menurut balunya Janet Horvath, berada di sampingnya adalah suatu keistimewaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada anda, para peminat dan rakan-rakan di atas segala sokongan kerana berada bersamanya di waktu senang dan di waktu kembara yang telah anda hadiri bersamanya. Beliau adalah lelaki paling berbudi yang pernah saya temui. Saya menyintainya dan akan tetap mengasihinya. Betapa pun, saya tahu pengembaraannya akan diteruskan.”

Pada masa hayatnya, Cussler dikenali dengan buku-buku mengenai penemuan di kapal yang tenggelam samada yang fiksyen mahu pun yang bukan fiksyen.

Antara buku-buku yang telah diterbitkan oleh Clive Cussler.

Mendiang menulis lebih 50 buah buku yang mana dua daripadanya telah difilemkan iaitu Raise the Titanic (1980) dan Sahara (2005). Buku-bukunya telah diterjemah ke dalam 40 bahasa dan terjual di lebih 100 buah negara.

Karyanya kerap menggunakan watak Dirk Pitt, seorang pengembara. Namun Cussler bukan sahaja seorang novelis. Sebaliknya mendiang amat menggemari penerokaan maritim. Kerana itu, beliau mewujudkan sebuah yayasan, National Underwater and Marine Agency yang menumpukan aktivitinya dalam pencarian kapal karam, tinjauan arkeologi dan pemuliharaan artifak kapal karam. Yayasan itu telah pun menemui lebih 60 kawasan kapal karam. Semua kembara dibiayai melalui royalti buku-bukunya.

Peminat-peminat cilik Clive Cussler bersama buku penulis kegemaran mereka.

Dalam sebuah temubual dengan CNN pada tahun 2002, beliau menceritakan mengapa beliau amat meminati pencarian maritim. Katanya, “Tentulah kerana misteri, intrig dan sejarahnya. Ia adalah suatu cabaran kerana apabila berjaya, kita akan berasa gembira. Tetapi apabila gagal menemui apa-apa, saya akan terus mencarinya.”