Site icon LayarMinda

Jualan Gudang Karangkraf Capai Sasaran

SHAH ALAM – Karnival Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 yang berlangsung selama 10 hari melabuhkan tirainya semalam dengan jualan buku melebihi 500,000 naskhah termasuk al-Quran.

Pengurus projek, Muhd Hazani Sukri berkata, jumlah jualan itu mencapai sasaran awal sebanyak 200,000 naskhah.

Menurutnya, jualan gudang itu adalah acara tahunan sejak 2015 dan diadakan tiga kali setahun sejak beberapa tahun lalu.

“Jualan gudang seterusnya dijangka diadakan pada Julai dan November depan.

“Pelbagai genre bahan bacaan yang berkualiti tinggi ditawarkan kepada pengunjung dan ini adalah kali pertama kami menawarkan buku berharga 50 sen, selain potongan harga yang menarik untuk bahan bacaan lain.

“Terdapat juga pengunjung terdiri dalam kalangan pihak sekolah dan pelajar yang tidak melepaskan peluang mendapatkan bahan bacaan secara pukal untuk kegunaan pusat sumber dan peribadi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Muhd Hazani berkata, selain al-Quran dan buku, produk Ensiklopedia Little Adib adalah antara yang mendapat sambutan apabila harganya dikurangkan kepada RM180 daripada harga asal RM980.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Afiffah Fathiyyah Mohd Yusof berkata, jualan gudang berkenaan turut dimeriahkan dengan penglibatan syarikat penyediaan maskot tempatan, Dunia Maskot dan beberapa penaja yang lain.

Menurutnya, menerusi ruangan Kid’s Corner, kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan.

Exit mobile version